Penyakit Leukemia – Punca, Tanda dan Rawatan

Leukemia terjadi apabila badan menghasilkan sel darah putih dengan aktif seterusnya menghalang penghasilan sel darah merah.

Leukemia merupakan salah satu penyakit barah atau kanser yang berpunca daripada darah. Leukemia terjadi apabila badan menghasilkan sel darah putih dengan aktif seterusnya menghalang penghasilan sel darah merah.

Situasi ini menyebabkan berlakunya gejala anemia pada pesakit. Keadaan ini juga akan menyebabkan pesakit kekurangan sel darah putih matang dan ia mengurangkan daya tahan terhadap jangkitan. Penghasilan sel darah putih berlebihan juga menghalang penghasilan platelet darah yang penting untuk tujuan pembekuan darah.

Di dalam aliran darah manusia terdapat komponen darah berbentuk zat cair yang dinamakan plasma darah. Terdapat juga komponen darah yang membentuk sel dan terdiri daripada 3 jenis sel yang mempunyai fungsi masing-masing seperti jadual di bawah.

Jenis SelFungsi
Sel darah merah (eritrosit)Membawa karbon dioksida (CO2) dari seluruh tubuh ke paru-paru.
Memberikan warna merah pada darah kerana jumlahnya yang paling tinggi.
Sel darah putih (leukosit)Bertugas untuk melawan penyakit.
Merupakan antibodi semulajadi dalam badan manusia.
Platlet darah (trombosit)Menutup lubang apabila terdapat kebocoran pada pembuluh darah.
Membantu dalam pembekuan darah.
Jenis sel darah dan fungsi

Ketiga-tiga jenis sel darah di atas dihasilkan di dalam sum-sum tulang iaitu bahagian tengah tulang yang berbentuk span. Semua sel darah yang masih belum matang berada dalam keadaan normal di dalam sum-sum tulang sehinggalah ianya matang.

Proses pembentukan darah di dalam badan

Sel-sel darah ini dihasilkan secara teratur dan terkawal sesuai dengan keadaan tubuh seseorang. Jika terjadi sebarang pendarahan seperti kecederaan atau menstruasi, sum-sum tulang akan menghasilkan sel darah merah dengan lebih cepat dan banyak untuk mengekalkan kadar sel darah merah (hemoglobin).

Sel Leukemia

Sekiranya terjadi leukemia, sum-sum tulang akan menghasilkan sel darah merah yang tidak normal dalam jumlah yang berlebihan. Sel leukemia kelihatan berbeza dari sel darah yang normal. Di samping rupa bentuknya, sel ini juga tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.

Perbezaan sel darah leukemia

Jenis Leukimia

Terdapat banyak jenis penyakit leukemia yang boleh menyerang tubuh seseorang. Ia dibahagikan kepada 2 jenis iaitu leukemia akut dan leukemia kronik. Leukemia akut berlaku apabila sel-sel abnormal iaitu sel belum matang yang rosak akan kekal tidak matang sehingga tidak dapat berfungsi seperti sepatutnya.

Manakala leukemia kronik pula berlaku apabila terdapat sel yang tidak matang tetapi masih terdapat lagi sel yang sudah matang. Dalam keadaan ini perjalanan penyakit agak lambat.

Sel leukemia timbul dari 2 jenis punca sel darah putih iaitu sel limfoid dan myeloid. Apabila ia mempengaruhi sel limfoid, leukemia ini dipanggil leukemia limfositik. Manakala jika ia mempengaruhi sel myeloid ia dikenali sebagai leukemia myelositik.

Jenis-jenis leukemia

Leukemia yang sering berlaku

  1. Leukemia limfositik akut
    • Leukemia jenis ini banyak berlaku pada kanak-kanak, tetapi ia juga boleh menyerang orang dewasa terutamanya yang berusia 65 tahun ke atas.
  2. Leukemia myelositik akut
    • Leukemia jenis ini juga biasa menyerang kanak-kanak dan orang dewasa.
  3. Leukemia limfositik kronik
    • Banyak menyerang orang dewasa yang berusia 55 tahun ke atas dan juga dewasa muda.
  4. Leukemia myelositik kronik
    • Biasanya menyerang orang dewasa.

Tanda dan gejala Leukemia

Di bawah adalah tanda-tanda yang biasa ditunjukkan oleh pesakit:

  • Anemia – pucat, letih dan pendek nafas
  • Mudah jatuh sakit
  • Sakit anggota badan; jika sakit pada kaki pesakit akan berjalan tempang
  • Purpura – ruam warna jingga yang tidak hilang bila di picit
  • Mudah lebam
  • Hidung kerap mengalami pendarahan
  • Hilang nafsu makan dan turun berat badan

Untuk leukemia akut limfositik, sel leukemia boleh menyerang otak dan juga saraf tunjang. Ini akan menimbulkan gejala seperti sakit kepala, muntah, bingung, gerakan tidak terkawal, kejang dan sakit otot.

Sel leukemia juga boleh menyerang buah zakar dan menyebabkan pembengkakan.

Pengesanan Leukemia

Apabila doktor mengesyaki penyakit leukemia, ujian darah akan dilakukan untuk melihat nisbah darah putih kepada darah merah. Kemudian bentuk darah akan dilihat di bawah mikroskop untuk menentukan jenis leukemia.

Rawatan Leukemia

Penyakit leukemia yang akut memerlukan rawatan kemoterapi yang intensif dan dalam kes-kes tertentu pemindahan sum-sum tulang akan dicadangkan. Tujuan rawatan adalah untuk menghapuskan sel-sel leukemia dan membenarkan sel-sel darah yang normal pulih kembali.

Leukemia kronik pula biasanya boleh dikawal dengan mengambil ubat. Penyakit Chronic Myeloid Leukemia (CML) boleh dikawal dengan amat memuaskan dengan menggunakan sejenis ubat yang bernama ‘Tyrosine Kinase Inhibitor‘.

Rumusan

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.