Penyakit Alzheimer merupakan salah satu punca masalah nyanyuk yang berterusan. Dementia atau nyanyuk merupakan terma umum yang digunakan bagi penyakit-penyakit yang menyebabkan kemerosotan fungsi otak seperti memori, pemikiran dan perlakuan. Penyakit ini akan memberi kesan kepada kehidupan harian pesakit.
Penyakit Alzheimer menyebabkan sehingga 60 ke 80% daripada kesemua penyakit dementia. Selalunya penyakit ini dikesan selepas pesakit berumur 65 tahun. Jika ianya dikesan sebelum umur 65 tahun, penyakit ini dikenali sebagai Alzheimer awal umur (early onset).
Setakat ini penyakit Alzheimer tidak dapat disembuhkan, namun rawatan perubatan dapat membantu untuk melambatkan perkembangan penyakit ini.
Fakta penyakit Alzheimer
Walaupun kita seringkali mendengar berkenaan penyakit Alzheimer, masih ramai yang belum memahami penyakit ini. Berikut merupakan sedikit fakta tentang Alzheimer:
- Alzheimer merupakan sejenis penyakit kronik (jangka panjang) yang berterusan.
- Gejala penyakit ini muncul perlahan-lahan dan kesannya akan merencatkan otak, bermaksud fungsi otak akan semakin berkurang.
- Masih belum ada rawatan untuk menyembuhkan penyakit Alzheimer tetapi rawatan perubatan dapat membantu melambatkan perkembangan penyakit ini dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
- Sesiapa sahaja boleh mendapat Alzheimer tetapi terdapat orang yang lebih berisiko. Ini termasuklah mereka yang berumur lebih 65 tahun dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini.
- Alzheimer dan nyanyuk (dementia) bukanlah penyakit yang sama. Alzheimer merupakan salah satu daripada punca nyanyuk, namun nyanyuk boleh juga disebabkan penyakit yang lain.
- Sukar untuk menjangka kesan jangka panjang kepada pesakit Alzheimer. Terdapat pesakit yang dapat hidup lama dengan sedikit kehilangan fungsi, namun ada pesakit yang mengalami perkembangan gejala yang cepat dan fungsi otak juga merosot dengan cepat.
Setiap pesakit Alzheimer akan melalui perjalanan yang berbeza.
Perbezaan antara nyanyuk dan Alzheimer
Perkataan nyanyuk atau dementia dan Alzheimer kadangkala digunakan untuk membawa maksud yang sama. Namun sebenarnya terdapat perbezaan. Alzheimer merupakan salah satu daripada punca nyanyuk, namun masalah nyanyuk boleh juga disebabkan penyakit-penyakit yang lain.
Nyanyuk merupakan terma umum yang merujuk kepada gejala berkaitan kehilangan memori seperti lupa dan keliru. Selain Alzheimer, nyanyuk juga boleh disebabkan penyakit-penyakit lain seperti penyakit Parkinson, kecederaan otak traumatik dan lain-lain lagi.
Setiap penyakit ini juga mempunyai gejala yang berbeza-beza daripada Alzheimer.
Punca dan faktor risiko
Punca sebenar penyakit Alzheimer masih belum dapat dipastikan, namun terdapat beberapa faktor risiko yang telah dikesan termasuklah:
- Umur. Kebanyakan pesakit mengalami gejala selepas berumur lebih 65 tahun.
- Sejarah keluarga. Jika terdapat ahli keluarga terdekat yang mengalami penyakit ini, risiko akan menjadi lebih tinggi.
- Genetik atau keturunan. Terdapat sesetengah gen yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer.
Mempunyai satu atau lebih faktor risiko ini tidak bermaksud anda akan menghidap penyakit Alzheimer, namun risikonya lebih tinggi. Bincang dengan doktor anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut jika anda berisiko tinggi untuk menghidap penyakit Alzheimer.
Alzheimer dan genetik
Walaupun punca penyakit Alzheimer masih belum diketahui, namun faktor genetik mungkin memainkan peranan utama. Terdapat satu gen yang masih dalam kajian dikenali sebagai Apolipoprotein E (APOE) yang dikaitkan dengan berlakunya penyakit Alzheimer pada mereka yang berumur lanjut.
Ujian darah boleh dilakukan bagi melihat jika seseorang itu mempunyai gen ini, namun harus diingat ianya hanyalah faktor risiko dan tidak semestinya seseorang yang mempunyai gen ini akan mengidap penyakit Alzheimer.
Selain itu, terdapat juga mereka yang menghidap Alzheimer tetapi tidak mempunyai gen ini jadi masih belum dapat dipastikan dengan tepat jika seseorang itu akan menghidap Alzheimer.
Terdapat juga gen-gen lain yang masih dalam peringkat kajian.
Tanda-tanda dan gejala
Setiap orang semestinya pernah lupa dari semasa ke semasa, namun bagi pesakit Alzheimer masalah lupa ini akan menjadi semakin teruk bersekali dengan gejala-gejala yang lain. Antara gejala-gejala ini adalah:
- Kehilangan memori yang boleh mengganggu aktiviti harian seperti terlupa tarikh temujanji
- Sukar melakukan aktiviti harian seperti menggunakan televisyen
- Sukar menyelesaikan masalah
- Masalah ketika bercakap atau menulis
- Sukar membuat penilaian
- Tidak menjaga kebersihan diri
- Perubahan mood dan personaliti
- Mengasingkan diri daripada kawan, keluarga dan masyarakat
Gejala boleh bertukar-tukar mengikut tahap penyakit.
Tahap-tahap Alzheimer
Penyakit Alzheimer merupakan penyakit yang berterusan atau beransur teruk yang bermaksud gejalanya semakin lama akan menjadi semakin teruk. Alzheimer boleh dipecahkan mengikut tahap berikut:
- Tahap 1. Tiada gejala pada tahap ini namun seseorang itu mempunyai sejarah keluarga yang menghidap Alzheimer dan faktor risiko yang lain.
- Tahap 2. Gejala pertama yang selalu berlaku adalah kerap lupa.
- Tahap 3. Masalah mental dan fizikal ringan akan berlaku seperti memori berkurang dan sukar menumpukan perhatian. Selalunya orang terdekat akan mula menyedarinya.
- Tahap 4. Selalunya penyakit Alzheimer dikesan pada tahap ini namun masih dikira gejala ringan. Antara gejalanya adalah kehilangan memori dan tidak boleh melakukan aktiviti harian.
- Tahap 5. Gejala sederhana dan teruk, memerlukan penjagaan dari ahli keluarga atau penjaga.
- Tahap 6. Pada tahap ini pesakit selalunya memerlukan bantuan walaupun untuk aktiviti asas seperti makan dan memakai baju.
- Tahap 7. Tahap yang paling teruk dan terakhir di mana pesakit tidak boleh bercakap dan melakukan ekspresi muka.
Apabila penyakit Alzheimer semakin beransur teruk, pesakit akan memerlukan lebih bantuan dan jagaan daripada ahli keluarga serta penjaga.
Alzheimer awal umur
Penyakit Alzheimer selalunya berlaku selepas umur 65 tahun. Namun ianya juga boleh berlaku seawal umur 40-an atau 50-an. Ianya dikenali sebagai Alzheimer awal umur. Terdapat lebih kurang 5 peratus pesakit Alzheimer dari jenis ini.
Antara gejalanya termasuklah kehilangan memori tahap rendah dan sukar menumpukan perhatian atau menghabiskan aktiviti harian. Selain itu, pesakit juga akan sukar mencari perkataan apabila bercakap dan tidak sedar perubahan masa. Terdapat juga pesakit yang mengalami masalah penglihatan seperti sukar menganggar jarak.
Sesetengah orang lebih berisiko mengalami Alzheimer awal umur.
Pengesanan Alzheimer
Pengesanan penyakit Alzheimer hanya boleh dilakukan melalui pemeriksaan fizikal dan ujian-ujian tertentu untuk menilai fungsi mental selain untuk memastikan tidak terdapat penyakit-penyakit yang lain pada diri seseorang.
Ketika pemeriksaan, doktor akan bertanya sejarah perubatan yang meliputi:
- Gejala yang berlaku
- Sejarah keluarga
- Sejarah perubatan terkini dan lampau
- Ubat yang sedang atau pernah diambil
- Pemakanan, pengambilan alkohol dan gaya hidup
Doktor juga akan melakukan beberapa ujian sebelum seseorang itu disahkan menghidap penyakit Alzheimer.
Ujian untuk pesakit Alzheimer
Tiada ujian pengesahan khas untuk pesakit Alzheimer. Namun, doktor boleh melakukan beberapa ujian termasuk ujian mental, fizikal, neurologikal dan imbasan otak.
Doktor akan bermula dengan ujian status mental. Ujian ini boleh membantu menilai memori jangka pendek, memori jangka panjang dan orientasi kepada tempat dan masa. Antara soalan yang akan ditanya adalah:
- Tarikh atau hari apa
- Siapakah nama perdana menteri
- Ujian mengingat dan menyebut semula beberapa senarai perkataan
Selepas itu, ujian fizikal akan dilakukan seperti memeriksa tekanan darah, denyutan jantung dan suhu. Kadangkala, ujian urin dan darah juga perlu dilakukan.
Sesetengah pesakit juga akan menjalani ujian neurologikal bagi melihat jika terdapat penyakit yang lain seperti jangkitan kuman dan strok. Ketika ujian ini doktor akan memeriksa refleks, kekuatan dan tona otot serta percakapan.
Doktor juga mungkin akan melakukan ujian imbasan otak. Ujian ini dapat membantu melihat keadaan otak, antara ujian imbasan yang boleh dilakukan adalah:
- Magnetic resonance imaging (MRI). Ujian MRI dapat membantu melihat jika terdapat sebarang keradangan, pendarahan atau masalah struktur pada otak.
- Imbasan Computed tomography (CT). Imbasan CT dapat membantu doktor mengenalpasti sebarang ketidaknormalan pada otak.
- Imbasan Positron emission tomography (PET). Imbasan PET dapat membantu doktor mengesan jika terdapat plak pada otak. Plak merupakan bahan protein yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer.
Ujian lain yang boleh dilakukan termasuklah pemeriksaan darah untuk memeriksa gen yang boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit Alzheimer.
Rawatan Alzheimer
Belum ada rawatan penyembuhan untuk penyakit Alzheimer. Namun terdapat rawatan perubatan yang boleh mengurangkan gejala dan melambatkan perkembangan penyakit ini supaya tidak beransur teruk dengan cepat.
Untuk penyakit Alzheimer peringkat awal hingga sederhana, antara ubat yang boleh diberikan termasuklah donepezil (Aricept) atau rivastigmine (Exelon). Ubat ini membantu mengekalkan paras acetylcholine di dalam otak. Acetylcholine merupakan sejenis neurotransmitter yang membantu memori seseorang.
Selain itu doktor mungkin akan mencadangkan pemberian ubat antidepressan, antianxiety, atau antipsikotik untuk mengurangkan gejala-gejala penyakit Alzheimer. Antara gejala-gejala ini adalah:
- Kemurungan
- Keresahan
- Agresif
- Ketakutan
- Halusinasi
Rawatan lain
Selain rawatan perubatan, perubahan gaya hidup juga boleh membantu pesakit Alzheimer. Sebagai contoh, doktor akan mencadangkan beberapa tips atau cara kepada pesakit atau penjaga untuk:
- Fokus kepada tugas yang dilakukan
- Mengurangkan kekeliruan
- Mengelakkan pergaduhan
- Mendapatkan rehat yang cukup setiap hari
- Kekal tenang
Sesetengah orang berpendapat vitamin E dapat membantu mengurangkan kehilangan fungsi otak namun ianya masih lagi dalam peringkat kajian. Bincang dengan doktor anda sebelum mengambil suplemen vitamin E atau suplemen yang lain. Ini kerana sesetengah suplemen dapat berinteraksi dengan ubat Alzheimer yang sedang diambil.
Selain perubahan gaya hidup, terdapat juga rawatan alternatif yang dikatakan mampu membantu pesakit Alzheimer namun bincang dahulu dengan doktor anda sebelum mencubanya.
Pencegahan Alzheimer
Tiada langkah pencegahan yang khusus untuk mencegah penyakit Alzheimer. Namun, ketika ini pengkaji sedang menumpukan kepada impak gaya hidup terhadap kemerosotan fungsi otak dan jika terdapat perubahan gaya hidup yang mampu mencegahnya.
Langkah-langkah pencegahan berikut mungkin dapat membantu:
- Berhenti merokok
- Kerap bersenam
- Mencuba latihan kognitif
- Memakan buah dan sayur-sayuran
- Mengambil makanan antioksidan
- Melakukan aktiviti sosial yang aktif
Bincang dahulu dengan doktor sebelum melakukan perubahan yang besar dalam hidup anda.
Penjagaan pesakit Alzheimer
Jika terdapat ahli keluarga anda yang menghidap penyakit Alzheimer, anda mungkin perlu menjadi penjaga. Ianya merupakan pekerjaan sepenuh masa yang tidak mudah tetapi dapat memberikan kepuasan.
Banyak kemahiran yang perlu dipelajari apabila menjadi penjaga pesakit Alzheimer. Selain perlu memiliki kesabaran, anda juga perlu menjadi kreatif, berstamina dan mampu berasa gembira apabila melihat orang yang anda sayangi memiliki kualiti hidup yang lebih baik.
Sebagai penjaga, anda juga perlu mengambil berat tentang kesihatan diri sendiri. Kadangkala sebagai penjaga dengan tanggungjawab yang berat ini, seseorang itu lebih berisiko untuk menjadi stres, tidak bersenam dan memakan makanan yang sihat.
Selain itu, anda juga boleh mendapatkan khidmat bantuan penjaga profesional atau ahli keluarga yang lain untuk membantu dan menyokong anda.
Rumusan
Penyakit Alzheimer merupakan penyakit yang kompleks dan masih banyak yang belum diketahui berkenaan penyakit ini. Apa yang diketahui adalah penyakit ini akan beransur teruk tetapi dengan rawatan perubatan, gejalanya akan bertambah baik dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Jika anda merasakan orang berdekatan anda menghidap penyakit Alzheimer, sila dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor dengan segera. Doktor boleh membantu mengesahkan jika seseorang menghidap penyakit ini dan mencadangkan rawatan terbaik bagi menanganinya.
Tulis Komen