Ujian Kehamilan Menggunakan Air Kencing atau UPT

Ketepatan ujian kehamilan menggunakan air kencing adalah dalam lingkungan 97% sekiranya teknik yang dilakukan adalah mengikut arahan yang diberikan.

Pemeriksaan kehamilan menggunakan air kencing (urine pregnancy test atau UPT) adalah cara menentukan kehamilan yang popular kerana ianya:

  • Mudah dilakukan
  • Mudah didapati
  • Murah (dari RM 5.00 ke atas sahaja)
  • Ada privasi
  • Keputusan segera

Ketepatan ujian ini adalah dalam lingkungan 97% sekiranya teknik yang dilakukan adalah mengikut arahan yang diberikan. Sila baca arahan yang ditulis pada label produk sebelum melakukan ujian tersebut.

Perkara-perkara yang perlu disediakan

Mereka yang ingin melakukan ujian UPT perlulah membeli alat untuk menguji air kencing. Ada beberapa jenis alat ini di pasaran dengan harga serendah RM 5.00 untuk setiap unit. Setiap alat ini hanya boleh digunakan sekali sahaja.

Ada 3 jenis alat yang boleh didapati :

  • Sehelai kertas yang anda celupkan di dalam air kencing yang telah ditakung.
  • Alat yang memerlukan anda menitis beberapa titisan air kencing ke atasnya.
  • Alat yang tidak perlukan anda menakung air kencing, sebaliknya hanya mengenakan bahagian tertentu alat tersebut pada air kencing semasa anda membuang air kecil.

Pengumpulan air kencing

  • Penggunaan air kencing yang pertama pada pagi hari adalah yang terbaik kerana kandungan hormon yang paling tinggi dalam air kencing pada masa tersebut.

Prinsip Ujian UPT

Garisan yang terbentuk adalah hasil tindakbalas hormon yang ada di dalam air kencing dengan antibodi yang telah diletakkan di atas kertas.

Garisan yang paling hampir dengan tempat air kencing anda diletakkan memeriksa kandungan hormon di dalam air kencing anda. Kehadiran garisan di tempat ini menunjukkan bahawa anda hamil. Manakala garisan yang terletak lebih jauh daripada tempat air kencing diletakkan bertindak sebagai kawalan untuk memastikan bahawa peralatan yang anda beli itu dalam keadaan yang baik.

Sekiranya ada dua garisan yang muncul, anda disahkan mengandung. Sekiranya hanya satu garisan sahaja yang timbul, iaitu di garisan kawalan, anda tidak mengandung.Sekiranya tidak ada langsung garisan yang timbul, alat yang anda beli tersebut mungkin tidak berfungsi dengan baik. Dapatkan gantian dari tempat anda membelinya.

Kehadiran 2 garisan menandakan ujian positif.

Apakah hormon yang dikesan

Hormon yang dikesan kehadirannya di dalam air kencing dinamakan human chorionic gonadotropin (hCG). hCG juga sebenarnya boleh diukur di dalam darah, tetapi ia perlu dilakukan di makmal.

hCG dalam badan manusia hanya dihasilkan oleh plasenta. hCG dari plasenta ini dikeluarkan sebaik sahaja telur yang telah disenyawakan berada di dinding uterine. 

Alat UPT yang sensitif boleh mengesan kehadiran hCG di dalam air kencing seawal 8 hingga 9 hari setelah proses ovulasi (pengeluaran telur).

Kandungan hCG dalam plasma darah meningkat dua kali ganda setiap sekurang-kurangnya 2 hari. Ia akan mencapai takat maksimum pada hari ke 60 atau 70. Selepas hari tersebut, kandungannya akan menurun dalam masa lebih kurang 10 minggu. Kandungan hCG akan berada di tahap tersebut sepanjang anda mengandung. Kandungan hCG juga mungkin masih boleh dikesan sehingga sebulan dua selepas melahirkan bayi.

Soalan Lazim Berkenaaan Ujian UPT

Bilakah saya boleh melakukan ujian kehamilan ini?

Alat yang ada di pasaran berupaya mengukur kandungan hCG di dalam air kencing serendah 20mIU/ml. Kandungan sebanyak ini boleh dikesan dengan baiknya dalam masa sehari dua selepas anda tidak datang haid pada hari yang sepatutnya.

Haid saya tidak menentu, bagaimana saya ingin memastikan hari sepatutnya haid saya datang supaya saya boleh melakukan ujian ini?

Anda harus merujuk kepada kitaran haid yang paling panjang sekiranya kedatangan haid anda selalunya tidak menentu. Gunakannya sebagai pengukur dan lakukan ujian sehari dua selepas tarikh tersebut. Sekiranya anda tidak berpuas hati kerana jawapannya negatif (tidak mengandung), lakukan ujian kedua selepas beberapa hari atau seminggu dari tarikh ujian pertama.

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya keputusan ujian menunjukkan saya mengandung?

Anda patut merujuk kepada doktor sakit puan dengan segera dan mengambil langkah-langkah yang perlu seperti pengubahsuaian dalam cara kehidupan seharian anda.

Keputusan ujian saya positif (saya mengandung) tetapi haid saya masih keluar?

Sekiranya anda mengalamai keguguran yang awal, ada kemungkinan kandungan hCG masih boleh dikesan, menyebabkan keputusan ujian positif. Anda juga dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut dan melakukan ujian lanjutan dengan segera.

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya keputusan ujian menunjukkan saya tidak mengandung?

Anda dinasihatkan melakukan ujian lagi dalam masa seminggu sekiranya haid anda masih juga tidak datang. Sekiranya keputusan yang sama diperolehi, iaitu anda tidak mengandung, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan segera. 

Ada beberapa keadaan kesihatan yang menyerupai kehamilan tetapi memberikan keputusan yang negatif seperti ovarian cysts, pendarahan tanpa ovulasi, dysfunctional uterine bleeding, pelvic inflammatory disease (PID), polycystic ovary disease, kanser ovarian dan menopause. Sila berjumpa doktor sakit puan dengan segera. 

Bagaimana sekiranya saya membuat ujian dan ia negatif, tetapi kemudiannya saya melihat garisan yang agak malap muncul pada kertas ujian tersebut?

Anda mungkin mengandung. Kandungan hCG yang rendah menyebabkan kehadiran garisan tidak begitu terang. Anda perlu membuat ujian lagi sekali. Anda juga perlu membaca arahan yang diberikan dengan teliti. Sebagai contoh, anda diperlukan menitik sebanyak 3 titis air kencing, tetapi anda mungkin hanya menggunakan 2 titis sahaja. Begitu juga, anda mungkin tidak menggunakan air kencing pada waktu yang disarankan.

Sekiranya saya tidak menggunakan air kencing pada waktu pagi, adalah keputusan yang didapati itu tepat?

Kandungan hormon yang tinggi adalah dalam air kencing pertama pada waktu pagi. Ini memberikan keputusan ujian yang terang.

Sekiranya anda tidak boleh melakukannya pada masa tersebut, anda boleh mengambil air kencing pada masa-masa lain. Bagaimanapun anda dinasihatkan tidak membuang air kencing 4 jam sebelum ujian dilakukan. Anda juga dinasihatkan tidak mengambil air terlalu banyak kerana ia mencairkan air kencing, oleh itu kandungan hCG juga menjadi cair.

Adakah pengambilan ubat-ubatan akan mempengaruhi bacaan?

Ubat-ubatan yang mengandungi hCG akan menyebabkan keputusan positif yang palsu. Sila tanyakan doktor atau ahli farmasi.

Adakah kemungkinan saya mengandung tetapi keputusan ujian saya negatif?

Ada kemungkinan, walaupun sangat jarang berlaku. Sekiranya anda percaya anda mengandung walaupun ujian kehamilan UPT menunjukkan anda tidak, dapatkan nasihat lanjut dari doktor sakit puan anda.

Selain daripada menentukan kehamilan, bolehkah UPT menentukan kehamilan yang normal?

Tidak, ujian UPT hanya mengesan hCG yang dikeluarkan oleh plasenta. Ia tidak mengesan ketidak-normalan di dalam kehamilan seperti kehamilan di luar rahim, dsb. Ini kerana kehamilan seperti ini juga menghasilkan hormon hCG yang sama.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.