Review Diet Atkins: Kelebihan dan Kekurangannya

Banyak buku dan artikel telah ditulis berkenaan diet ini dan ianya terkenal sebagai perintis kepada trend diet rendah karbohidrat.

Diet atkins merupakan diet rendah karbohidrat yang diasaskan seawal 1960-an oleh seorang pakar jantung bernama Robert C. Atkins. Diet Atkins mengehadkan pengambilan karbohidrat dan mengutamakan pengambilan protein dan lemak.

Diet Atkin dilaksanakan dalam beberapa fasa untuk pengurangan berat badan dan pengekalannya yang dimulai dengan pengambilan karbohidrat yang sangat sedikit. Banyak buku dan artikel telah ditulis berkenaan diet ini dan ianya terkenal sebagai perintis kepada trend diet rendah karbohidrat.

Tujuan diet Atkins

Tujuan diet Atkins dilakukan adalah untuk mengubah tabiat pemakanan supaya berat badan dapat dikurangkan. Ianya juga dikatakan mampu mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat, menambah tenaga serta mencegah sesetengah penyakit seperti darah tinggi dan sindrom metabolik.

Kenapa anda perlu melakukan diet Atkins

Anda mungkin ingin melakukan diet ini kerana:

  • Gembira mengamalkan corak pemakanan diet Atkins seperti jenis makanan dan jumlahnya
  • Inginkan diet yang mengehadkan pengambilan karbohidrat
  • Ingin mengubah tabiat pemakanan secara keseluruhan
  • Ada penyakit yang boleh diubati dengan mengurangkan berat badan
  • Sukakan produk-produk diet Atkins seperti resepi masakan dan produk makanan

Sila semak dengan doktor anda sebelum memulakan mana-mana diet untuk mengurangkan berat badan terutamanya jika anda mempunyai penyakit seperti kencing manis, buah pinggang atau sedang mengandung.

Pengenalan diet Atkins

Diet ini memfokuskan kepada pengambilan karbohidrat, protein dan lemak mengikut sukatan tersendiri bagi menurunkan berat badan. Menurut pendapat pengasas diet Atkins, punca penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan penyakit metabolik adalah disebabkan oleh diet yang tinggi karbohidrat dan rendah lemak. Diet ini mencadangkan supaya tidak perlu untuk mengelakkan pengambilan lemak melalui pemakanan tetapi mengawal jumlah karbohidrat.

Diet ini juga mengatakan bahawa mengambil terlalu banyak karbohidrat seperti gula, gandum dan lain-lain akan menyebabkan gula dalam darah yang tidak seimbang seterusnya senang mendapat penyakit. Oleh itu sukatan pemakanan diet Atkins adalah mengambil lebih banyak protein dan lemak berbanding karbohidrat. Namun diet ini bukanlah diet yang memerlukan pengambilan protein yang tinggi.

Diet ini juga bereveolusi dari semasa ke semasa dan kini ianya juga menggalakkan pengambilan sayur berserat tinggi terutamanya jika anda seorang vegetarian. Selain itu pengambilan serat juga membantu mengelakkan kesan sampingan diet ini.

Karbohidrat

Diet Atkins tidak memerlukan anda mengira kalori tetapi anda perlu merancang jumlah pengambilan karbohidrat setiap hari. Ianya dipanggil sebagai jumlah karbohidrat bersih, di mana jumlah karbohidrat dalam makanan perlu ditolak jumlah serat. Sebagai contoh brokoli mengandung 2.3 gram karbohidrat dan 1.3 gram fiber jadi jumlah karbohidrat bersih adalah sebanyak 1 gram.

Diet Atkins menyatakan bahawa pengurangan karbohidrat ini akan menyebabkan badan membakar lebih banyak lemak, gula dalam darah lebih stabil dan kesihatan akan meningkat secara keseluruhan tanpa anda merasa lapar. Apabila sudah mencapai sasaran berat, diet ini juga akan membantu anda mengenalpasti jumlah karbohidrat yang perlu diambil tanpa peningkatan kepada berat badan.

Senaman

Diet ini mencadangkan bahawa senaman sebenarnya tidak penting untuk pengurangan berat badan tetapi boleh membantu untuk mengekalkan berat ideal di samping menyihatkan badan.

Fasa di dalam diet Atkins

Diet ini mengandungi empat fasa. Bergantung kepada sasaran berat anda, diet ini boleh dimulakan pada mana-mana 3 fasa pertama.

  • Fasa 1: Permulaan. Fasa ini adalah yang paling sukar di mana hanya lebih kurang 20g karbohidrat sahaja yang dibenarkan diambil daripada sumber sayuran. Ianya bersamaan 10 peratus sahaja daripada keseluruhan pengambilan setiap hari daripada yang biasa iaitu lebih kurang 45 hingga 65 peratus. Antara sayuran yang dibenarkan termasuklah asparagus, brokoli, timun, kacang hijau dan lain-lain. Protein yang dibenarkan pula seperti ikan, kerang, telur, ayam dan cheese. Tiada halangan untuk mengambil seberapa banyak protein dan lemak. Gula tidak dibenarkan sama sekali. Anda perlu meminum 8 gelas air minimum. Fasa ini selalunya berjalan selama 2 minggu bergantung kepada pengurangan berat.
  • Fasa 2: Keseimbangan. Dalam fasa ini, anda masih lagi mengambil sebanyak lebih kurang 20g karbohidrat dalam bentuk sayuran dan mengelakkan makanan bergula. Makanan tinggi nutrien seperti kekacang boleh ditambah. Fasa ini selalunya berjalan sehingga anda berada lebih kurang 5kg dari sasaran berat.
  • Fasa 3: Pra-pengekalan. Dalam fasa ini, lebih banyak makanan boleh diambil seperti sayuran berkanji dan gandum. Anda boleh menambah lebih kurang 10g karbohidrat setiap minggu tetapi perlu berhenti jika tiada penurunan berat badan. Fasa ini berterusan sehingga mencapai berat sasaran.
  • Fasa 4: Pengekalan sepanjang hayat. Apabila sudah mencapai berat sasaran anda perlu makan mengikut penambahan 10g karbohidrat terakhir di mana berat badan tidak lagi turun.

Contoh menu diet Atkins dalam sehari

Berikut merupakan contoh menu dirt Atkins ketika fasa 1 untuk sehari:

  • Sarapan. Telur dadar dengan bawang dan cheese. Minuman yang dibenarkan seperti air kopi, teh, herba dan air masak.
  • Makan tengahari. Salad dengan ayam atau daging dan minuman yang dibenarkan.
  • Makan malam. Salmon atau steak dengan asparagus dan timun serta minuman yang dibenarkan.
  • Snack. Boleh diambil 2 kali sehari meliputi produk diet Atkin seperti bar coklat atau granola.

Kesan diet

Penurunan berat badan

Anda boleh turun sehingga 7 kg dalam 2 minggu pertama ketika fasa 1 jika anda melakukannya dengan betul. Pada awal diet, penurunan ini mungkin disebabkan kekurangan air. Penurunan akan berterusan sehingga fasa 3 asalkan anda tidak mengambil lebih karbohidrat yang diperlukan badan.

Dalam jangkamasa pendek, setiap orang boleh turun berat badan jika mengawal defisit kalori namun untuk jangkamasa panjang kajian menunjukkan diet rendah karbohidrat seperti Atkins adalah sama sahaja keberkesanan dengan diet yang lain dan kebanyakan orang akan naik semula berat mereka.

Punca penurunan sebenar berat untuk diet Atkins adalah kerana kekurangan pengambilan kalori disebabkan kurang mengambil karbohidrat (majoriti kalori diet normal adalah melalui karbohidrat). Terdapat juga kajian menunjukkan pengurangan berat adalah disebabkan pilihan makanan untuk diet Atkins adalah terhad dan protein serta lemak mampu mengenyangkan seseorang untuk tempoh lebih lama. Kedua-dua faktor ini menyebabkan pengambilan kalori yang lebih rendah.

Manfaat kesihatan

Diet ini dikatakan mampu mencegah penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Sebenarnya semua diet yang membantu mengurangkan berat badan boleh mencegah penyakit-penyakit ini.

Punca sebenar pencegahan penyakit ini adalah disebabkan penurunan berat dan bukannya kurang karbohidrat. Kajian menunjukkan mereka yang telah turun berat akibat diet Atkins lebih rendah kandungan kolesterol dalam darah tetapi tiada kajian jangka panjang yang menunjukkan adakah mereka hidup lebih lama.

Selain itu terdapat pihak menyatakan jika mengambil terlalu banyak lemak dan protein dari sumber haiwan boleh menyebabkan sakit jantung dan kanser namun tiada kajian lagi yang menunjukkan dakwaan berkenaan kepada pengamal diet Atkins.

Risiko dan kesan sampingan

Pengurangan pengambilan karbohidrat secara tiba-tiba pada awal diet boleh menyebabkan kesan sampingan berikut:

  • Sakit kepala
  • Pening
  • Mual
  • Lemah badan
  • Keletihan
  • Sembelit

Kadangkala ada yang mengalami kekurangan nutrien dan menyebabkan masalah seperti sembelit, cirit-birit atau mual.

Memakan makanan berserat tinggi seperti gandum boleh mengurangkan masalah di atas dan kini diet Atkins mencadangkan pengambilan garam dan supplemen vitamin untuk membantu mengurangkan kesan sampingan.

Selain itu mengurangkan karbohidrat sehingga 20g sehari boleh menyebabkan ketosis iaitu tidak cukup kandungan glukos untuk tenaga harian. Badan akan menggunakan lemak sebagai pengganti dan akan menyebabkan bahan buangan ketone semakin meningkat dalam badan. Pengumpulan ketone boleh menyebabkan mual, sakit kepala, kepenatan mental dan nafas berbau.

Diet Atkins juga tidak sesuai untuk semua orang. Anda perlu meminta pendapat doktor jika anda mengambil ubat diuretik ataupun ubat kencing manis. Penghidap sakit buah pinggang yang teruk juga tidak boleh mengikuti diet ini dan fasa awal diet ini juga tidak sesuai untuk wanita mengandung dan menyusu badan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.