Sukan Lompat Tinggi – Teknik dan Peraturan

Sukan lompat tinggi adalah salah satu sukan olahraga yang popular dan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik serta pertandingan olahraga yang lain.

Sukan lompat tinggi merupakan acara olahraga di mana peserta mestilah melompat tanpa bantuan melepasi palang melintang mengikut ketinggian yang ditetapkan tanpa menjatuhkan palang tersebut. Sejak zaman dahulu kala, peserta pertandingan lompat tinggi telah mencipta pelbagai teknik sebelum menemui teknik moden yang dinamakan Fosbury Flop di mana atlet akan berlari ke arah palang dan melompat ke belakang dengan didahului oleh kepala.

Sukan lompat tinggi dan lompat galah adalah antara dua sukan lompat menegak yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik. Sukan lompat tinggi juga antara sukan yang paling awal dipertandingkan untuk wanita iaitu sejak Sukan Olimpik 1928.

Peraturan Sukan Lompat Tinggi

Ketika Pertandingan

  1. Peserta-peserta hendaklah melakukan lonjakan dengan sebelah kaki.
  2. Seorang peserta itu gagal sekiranya:
    • Selepas sesuatu lompatan, palang jatuh dari tiangnya akibat aksi peserta itu sendiri semasa melompat atau;
    • Peserta itu menyentuh bumi termasuk tempat mendarat melebihi satah mencancang dan sama ada luar atau di antara tiang dengan mana-mana bahagian badannya, sebelum melepasi palang.
    • Walau bagaimanapun sewaktu melompat, jika seseorang peserta itu menyentuh tempat mendarat dengan kakinya, dan pada hemat hakim tidak akan memberi kelebihan padanya, maka atas sebab ini lompatan tersebut tidak dianggap batal.

Alatan Sukan

Dalam acara lompat tinggi ini memerlukan kawasan dan peralatan khusus untuk membolehkan lompatan diadakan sebagai salah satu acara olahraga. Penganjur sesuatu kejohanan olahraga hendaklah memastikan semua ini disediakan sebelum pertandingan dimulakan. Antara peralatan-peralatan yang diperlukan adalah seperti berikut:

Tiang Lompat Tinggi

Dua batang tiang diperlukan dan tiang-tiang ini tidak boleh diubah-ubah semasa pertandingan sedang dijalankan. Jika perlu diubah umpamanya kedudukan, hendaklah dilakukan selepas tamat satu pusingan yang melibatkan semua peserta. Kedua-dua tiang ini hendaklah mempunyai alat bantuan khusus bagi membolehkan tiang ditegakkan tanpa mudah dijatuhkan.

Tiang, palang dan kawasan mendarat

Palang Lompat Tinggi

Palang lompat tinggi hendaklah diperbuat sama ada daripada kayu, logam ataupun bahan yang sesuai dengan berbentuk bulat atau segitiga. Panjang palang hendaklah sesuai dengan jarak kedua-dua tiang yang dipasangkan. Palang ini akan diletakkan pada tiang menerusi alat sokongan khas. Sokongan ini hendaklah mudah dinaikkan atau diturunkan pada tiang.

Kawasan Mendarat

Pada peringkat awal acara lompat tinggi dijalankan, pihak penganjur kurang memberi perhatian kepada kawasan mendarat. Lama kelamaan dengan adanya beberapa teknik lompatan dan pendaratan tertentu, adalah perlu disediakan tempat pendaratan yang sewajarnya.

Sebelum beberapa teknik atau gaya lompatan diperkenalkan, kawasan pendaratan hanya terdiri daripada satu kawasan khas yang diisikan dengan pasir lembut yang lembap. Kini, kawasan mendarat bagi acara lompat tinggi ini digunakan tilam atau pengalas lembut bergetah dan hendaklah berbentuk segiempat.

Tilam atau pengalas lembut ini hendaklah ditempatkan betul-betul selepas kedua-dua tiang lompat tinggi. Tilam berspring atau bergetah boleh digunakan asalkan sesuai untuk pendaratan peserta.

Pita Pengukur

Pita pengukur adalah untuk mengukur ketinggian lompatan yang berjaya dilakukan oleh setiap peserta. Ukuran hanya dibuat sekali sebelum lompatan dimulakan selepas palang dinaikkan. Kini, dalam acara lompat tinggi alat pengukur elektronik digunakan bagi menjadikan proses pengukuran dapat dilakukan dengan cepat dan tepat.

Landasan Lari dan Kawasan Lonjak 

Jarak minimum landasan lari ialah 15m kecuali dalam pertandingan-pertandingan yang dijalankan mengikut peraturan 1 (a) , (b) dan (c) yang jarak minimumnya ialah 20m. jika keadaan mengizinkan, jarak minimum ini sepatutnya 25m.

Keseluruhan kecerunan maksimum pada 15m terakhir landas lari dan kawasan lonjak berbentuk separuh bulatan yang pusatnya terletak di tengah-tengah di antara tiang-tiang tegak dan berjejari minimum seperti yang dinyatakan dalam peraturan 182.3 itu tidak melebihi 1: 250. Kawasan mendarat mesti ditempatkan supaya kemaraan atlet ke arah kecerunan menurun.

Kawasan lonjak hendaklah rata atau sebarang kecerunan hendaklah peraturan 182.4 dan Manual Trek dan Padang IAAF.

Tiang

Apa jua bentuk tiang boleh digunakan asalkan tegap. Kedua-duanya hendaklah mempunyai sangga untuk menopang palang dengan mantap. Tiang-tiang tersebut juga mestilah cukup tinggi supaya sekurang-kurangnya ia melebihi 10sm daripada paras sebenar palang dinaikkan.

Tiang tersebut tidak boleh dianjak semasa pertandingan melainkan Refri merasakan sama ada landas lari dan kawasan lonjak menjadi tidak sesuai.jika demikian, perubahan hanya boleh dibuat selepas selesainya satu pusingan.

Sangga Palang

Sangga hendaklah rata dan berbentuk empat segi bujur, 4sm x 6sm. Sangga-sangga ini hendaklah melekap kukuh pada tiang semasa lompatan dilakukan dan kedudukannya mengahadap ke dalam. Hujung palang akan terletak di atasnya supaya palang mudah jatuh, ke depan atau ke belakang, apabila tersentuh oleh peserta.

Sangga-sangga ini tidak boleh dibalut dengan getah atau dengan sebarang barang lain yang akan meningkatkan kesan geserannya dengan palang atau, tidak juga ia boleh dipasang dengan apa jua jenis spring. Sangga hendaklah saam tinggi di atas kawasan lonjak betul-betul di bawah setiap hujung palang.

Hendaklah ada ruang di antara hujung palang dengan bang sekurang-kurangnya 1sm.  

Fasa Lompat Tinggi

Semua gaya lompatan boleh dibahagikan kepada empat fasa Pergerakan iaitu :

  1. Penujuan – larian menghala ke palang
  2. Lonjakan – tindakan kaki untuk menaikkan badan
  3. Layangan – gaya dan kedudukan badan ketika berada di udara dan di atas palang.
  4. Pendaratan – sentuhan badan dan bahagiannya dengan tempat mendarat. 
Fasa lompatan

Teknik Lompat Tinggi

Terdapat beberapa teknik lompat tinggi, iaitu gaya gunting, gaya timur, gaya guling barat, gaya pelana dan gaya Fosbury Flop.

Gaya Gunting

Pelompat menuju ke palang secara bersudut dan melonjak dengan kaki yang berada di luar dari palang. Semasa melepasi palang, pelompat berada dalam keadaan duduk berlunjur.

Gaya Timur 

Pelompat menuju ke palang secara lurus dari hadapan 90 darjah. Semasa melonjak, kaki bebas diayun secara tegak ke hadapan badannya dan pelompat melepasi palang secara mengiring.

Gaya Guling Barat 

Penujuan ke palang secara bersudut seperti dalam gaya gunting. Pelompat melonjak dengan kaki yang lebih dekat dengan palang. Kaki lonjakan berada dalam keadaan bengkok semasa pelompat ‘ berguling’ selari dengan palang untuk membuat pelepasan.

Lompat tinggi gaya klasik

Gaya Pelana

Gaya ini hamper sama dengan gaya Guling Barat. Pelompat menuju ke palang secara bersudut. Ketika melepasi palang, muka pelompat memandang ke bawah dan keadaan badannya seolah-olah meniarap di atas palang.

  1. Penujuan – Biasanya pelompat akan berlari sebanyak tujuh hingga sembilan langkah menuju ke palang dari sudut 30-45 darjah. Tiga langkah terakhir dibuat secara pantas dan terkawal. Badan pelompat dicondongkan sedikit ke belakang dan kaki lonjak dibengkokkan sebagai persediaan untuk melompat pada langkah yang terakhir.
  2. Lonjakan – Sebaik sahaja kaki lonjak mencecah tandaan melonjak, pelompat hendaklah melompat dengan kuat. Tindakan melonjak ini bermula dengan bahagian tumit dan disusuli dengan bahagian hujung kaki. Serentak dengan tolakann ini, kaki bebas dihayun dengan kencang ke atas paras palang. Fasa lonjakan ini juga dibantu dengan menghayunkan kedua-dua belah tangan ke atas.
  3. Layangan – Setelah membuat lonjakan, badan dan kaki bebas pelompat berada dalam keadaan hampir selari dengan palang yang berada di bawahnya. Ketika ini, badan dan kaki bebas pelompat berpusing seolah-olah hendak membalut palang. Bahu dan kepala pelompat direndahkan sebaik sahaja pelompat melepasi palang. Ini adalah untuk membantu pelompat membuat persediaan untuk mendarat. Kaki lonjak mestilah menyusuli pergerakan badan tanpa diluruskan.
  4. Pendaratan – Ketika di fasa pendaratan, pelompat memusingkan badannya dan mendarat di atas bahagian belikat atau bahagian belakang badan.

KESALAHAN YANG BIASA DILAKUKAN DALAM LOMPAT TINGGI GAYA PELANA

  • Larian menuju palang terlalu pantas hingga tidak terkawal.
  • Badan ke hadapan semasa bahagian tumit kaki lonjak mencecah tanah.
  • Kaki bebas tidak dihayun secara maksimum ke atas.
  • Badan dikilas terlalu awal sebelum bahagian kepala dan bahu kanan melepasi palang.

Gaya Fosbury Flop

Gaya yang paling popular dan berkesan pada masa kini ialah gaya Fosbury Flop .Mengikut gaya ini pelompat menuju ke palang dengan membelakangkan palang.

Gaya ini diperkenalkan oleh Dick Fosbury pada Tahun 1968. Beliau telah memperkenalkan satu teknik baru dalam bidang melompat tinggi di mana pelepasan palang di buat dengan bahagian belakang ( bahu ) dahulu dan pendaratan dibuat di belakang badan hamper dengan bahagian tengkuk.

Lompatan gaya Fosbury

Gaya ini sungguh popular pada masa kini dan tidak ada sebab mengapa para pelajar tidak diberi peluang untuk mempelajarinya. Untuk tujuan keselamatan, tilam pendaratan yang mencukupi digunakan semasa pelajaran atau latihan. Berikut ini merupakan fasa-fasa yang terdapat dalam gaya Fosbury Flop.

  1. Penujuan  – Biasanya pelompat mengambil tujuh hingga sembilan langkah larian di mana tiga langkah terakhir itu adalah bentuk melengkung. Larian melengkung inilah yang menyediakan pelompat melepasi palang dengan bahagian belakangnya dahulu.
  2. Lonjakan – Ini adalah tindakan yang meledak. Sebaik sahaja pelompat mengakhiri larian yang melengkung, kaki luarnya melonjak dengan kuat apabila memijak tanda lonjakan yang hamper selari dengan palang. Kedua-dua belah tangan dibengkokkan dan diayun ke atas dan kaki bebas diangkat tinggi dengan bahagian lutut juga dibengkokkan. Lutut ini juga digerakkan secara melintang badan untuk membantu pusingan badan di udara supaya bahu menjadi selari dengan palang.
  3. Layangan – Semasa di udara, pelompat menoleh ke belakang (menendang palang) sambil melentikkan badan. Tangan diletakkan di bahagian sisi badan dan kedua-dua belah kaki dibengkokkan di bahagian lutut. Lantikan badan ini akan membantu bahagian punggung pelompat badan melepasi palang. Setelah badan pelompat melepasi palang, kedua-dua belah kakinya diluruskan dan diangkat tegak ke atas. Tindakan ini dibuat supaya kaki tidak tersangkut pada palang dan ia juga sebagai Persediaan untuk pendaratan.
  4. Pendaratan – Serentak dengan mengangkat kakinya ke atas, pelompat menarik kepala dan dadanya ke arah kaki. Kedua-dua belah tangan diangkat ke atas dan pelompat mendarat di atas bahagia belakang badannya (tulang belikat).
Fasa lompatan gaya Fosbury

Latihan Ansur Maju

Aktiviti mendorong

  1. Berjalan dengan lutut tinggi
  2. Berlari dengan lutut tinggi
  3. Berlari dalam bulatan
  4. Berlari mengikut laluan angka lapan
  5. Melonjak
  6. Melonjak untuk menyentuh bola yang tergantung

Latihan Lompatan

  1. Memulakan lompatan dengan gaya gunting
  2. Melompat gaya gunting dan mendarat bentuk ‘L’, kaki selari denagn palang
  3. Melompat gaya gunting dan mendarat bentuk ‘L’ serta kaki bersudut 45 darjah
  4. Melompat gaya gunting dan mendarat 90 darjah denagn kaki mengahala kea rah palang
  5. Berdiri membelakangkan tempat mendarat, melompat secara dirian dan mendarat
  6. Ulang (5) dengan berdiri di atas kerusi panjang atau peti lombol satu tingkat
  7. Ulang (6) dengan papan anjal
  8. Menentukan titik semak
  9. Membuat lompatan dengan mengambil langkah 7-9 langkah
Latihan ansur maju lompat tinggi

Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.