Penyakit Beguk – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit beguk selalunya dikenalpasti melalui bengkak pada leher yang disebabkan oleh pembesaran kelenjar parotid, jom ketahui dengan lebih lanjut.

Penyakit beguk atau mumps adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh sejenis virus yang bernama RNA Paramyxovirus.

Virus ini di sebarkan melalui udara oleh orang yang dijangkiti beguk sama ada dari bersin, batuk, sentuhan dan sebagainya. Kanak- kanak boleh dijangkiti beguk dari kawan-kawannya.

Tanda-tanda Penyakit Beguk

Tanda-tanda penyakit beguk adalah:

  • demam
  • berasa letih
  • kurang selera makan
  • tanda dehidrasi (mulut kering, kurang airmata, kurang kencing dan sebagainya)
  • bengkak pada kelenjar liur parotid iaitu kelenjar di belakang rahang bawan berhampiran terlinga. Kelenjar ini membengkak samada sebelah atau kedua-dua belah sekali.

Tanda-tanda komplikasi (jumpa doktor segera):

  • sakit di bahagian perut
  • demam terlampau panas melebih 39 darjah
  • sakit atau bengkak di bahagian buah zakar
  • menjadi keliru
Pembengkakan kelenjar parotid pada pesakit beguk

Bagaimana Penyakit Beguk Berjangkit

Kanak-kanak (atau dewasa) boleh menyebarkan Virus Mumps itu kepada orang lain dan kanak-kanak lain. Ia boleh menjangkiti orang lain kira-kira seminggu sebelum kelenjar bengkak dan 9 hari selepas kelenjar itu mula membengkak.

Jika seseorang tidak pernah mengidap beguk atau tidak divaksin. maka mereka adalah terdedah kepada penyakit ini. Seseorang yang pernah dijangkiti penyakit ini akan mendapat pertahanan terhadap kuman ini sepanjang hayatnya.

Jika seseorang itu dijangkiti beguk, mereka wajib dikuarantin bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

Rawatan Penyakit Beguk

Rawatan beguk tidak spesifik kerana tiada ubat untuk membunuh virus itu dan tubuh badan kita akan menghasilkan antibodi untuk melawan virus beguk. Jika badan sudah mempunyai antibodi selepas divaksin, simptom beguk tidak akan keluar.

Ubat yang diberikan hanya membantu mengurangkan kesakitan dan bengkak pada kelenjar liur seperti ubat Paracetamol untuk demam dan rehat yang cukup. Jika berlaku dehidrasi, air akan dimasukkan.

Biasanya simptom akan hilang selepas seminggu.

Tips untuk ibu bapa:

  • Boleh tuam bahagian leher yang bengkak dengan kain yang direndam air suam atau ais disaluti kain
  • Beri makanan yang lembut dan tidak perlu dikunyah seperti bubur
  • Minum banyak air bagi mengelakkan dehidrasi
  • Kurangkan makanan masam yang boleh merangsang penghasilan air liur

Vaksin Beguk

Beguk boleh dielakkan dengan mengambil vaksin untuk beguk ketika kanak-kanak berusia kira-kira sembilan bulan diambil sekali gus.

Vaksin ini telah termasuk di dalam program imunisasi kebangsaan dan setiap kanak-kanak wajib diberikan vaksin ini. Immunisasi ini termasuk di dalam vaksin 3 serangkai yang dinamakan MMR iaitu vaksin untuk pertahanan Measles, MUMPS dan Rubella.

Dalam program immunisasi Malaysia, dos pertama diberi apabila anak berumur 9 bulan dan dos kedua diberi apabila anak berumur 12 bulan.

Komplikasi Penyakit Beguk

  1. Beguk boleh menyebabkan bengkak pada Buah Zakar (Orchitis) pada masa yang sama dan ini boleh menyebabkan kemandulan.
  2. Beguk juga boleh menyebabkan komplikasi seperti Pankreatitis, iaitu kerosakan pada kelenjar pankreas di dalam perut.
  3. Encephalitis iaitu jangkitan dan keradangan pada otak.
  4. Meningitis iaitu jangkitan dan keradangan pada lapisan pelindung otak.
  5. Masalah pekak.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.