Penyakit Addison – Punca, Tanda dan Rawatan

Penyakit Addison merupakan sejenis penyakit yang berpunca akibat kekurangan hormon yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal.

Keseimbangan hormon dalam tubuh amat penting bagi memastikan tubuh dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana hormon yang berlebihan atau kekurangan dalam tubuh boleh menimbulkan masalah tertentu.

Penyakit Addison merupakan sejenis penyakit yang berpunca akibat kekurangan hormon yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal. Kelenjar sebesar ibu jari yang terletak di kedua-dua belah buah pinggang ini bertanggungjawab menghasilkan antara 30 hingga 50 sebatian steroid atau hormon.

Tiga hormon utama yang dihasilkan oleh kelenjar ini ialah hormon kortisol, aldosteron dan hormon androgen. Hormon kortisol berfungsi  mengawal metabolisme badan seperti penggunaan lemak, protein dan karbohidrat dalam badan.

Lokasi kelenjar adrenal

Selain itu ia juga bertindak mengurangkan reaksi keradangan dalam badan dan kesan ke atas aktiviti sistem pertahanan tubuh (imun).  Rembesan hormon aldosteron pula membantu memelihara isipadu darah dan tekanan darah serta mengawal keseimbangan garam yang terdapat dalam tubuh.  Manakala hormon androgen pula ialah hormon seksual termasuk testosteron iaitu hormon seksual lelaki.

Selain itu, kelenjar ini juga berfungsi menyediakan seseorang menghadapi sebarang tekanan dengan menghasilkan beberapa hormon tertentu.  Hormon ini penting untuk membolehkan individu terbabit bertindak balas terhadap tekanan tersebut. Meskipun penyakit ini agak jarang berlaku tetapi ia agak berbahaya kepada penghidapnya. Ini kerana pesakit memerlukan rawatan yang rapi dan betul terutamanya dalam waktu-waktu kecemasan.

Penyakit Addison ini agak jarang berlaku di mana kajian di London pada 1960 an mendapati hanya 39 pesakit bagi setiap juta penduduk.  Dari jumlah ini, 12 daripadanya berpunca daripada penyakit TB. Bagaimanapun, di kalangan  kumpulan yang bukan berpunca daripada TB, jumlah wanita yang menghidap penyakit ini adalah tiga kali ganda.

Punca

Berdasarkan catatan sejarah, Dr. Thomas Addison merupakan doktor pertama yang menghuraikan penyakit ini buat julung kalinya di London. Sebelum penemuan antibiotik untuk penyakit batuk kering (Tuberkulosis), penyakit ini dikatakan bertanggungjawab sebagai  punca utamanya.  Bagaimanapun apabila terdapat antibiotik pada pertengahan abad ke 20 yang dapat  mengurangkan insiden penyakit TB, batuk kering tidak lagi dikatakan sebagai puncanya.

Sebaliknya, punca penyakit Addison ini terbahagi kepada dua jenis iaitu :

a.  Penyakit Addison primer (Primary atau classical Addison Disease)

Sebarang kerosakan pada kedua-dua kelenjar adrenal yang boleh menjejaskan penghasilan hormon aldosterone dan kortisol.

b.  Penyakit Addison sekunder

Ia disebabkan oleh kurangnya penghasilan  hormon kortisol yang diatur oleh hormon adrenokortikotrofik (ACTH) yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari yang terletak di bawah otak. Kekurangan hormon kortisol ini boleh disebabkan sama ada penyakit pada kelenjar pituitari seperti ketumbuhan atau penggunaan steroid dalam jangka masa yang panjang.

Selain itu, penyakit Addison autoimun iaitu penyakit yang biasa berlaku boleh dikaitkan dengan lain-lain penyakit auto imun yang menjejaskan kelenjar endokrin seperti penyakit tiroiditis Hashimoto, penyakit Graves, dan juga penyakit diabetis jenis 1, anemia (disebabkan kekurangan penyerapan vitamin B12), menopos awal bagi wanita. Sekiranya penyakit hipotiroid (kekurangan hormon tiroid) wujud bersama penyakit Addison, ia dikenali sebagai sindrom Schmidt. 

Penyakit autoimun ialah apabila sel-sel yang bertanggungjawab mempertahankan tubuh daripada serangan penyakit menyerang sel-sel tubuh badan sendiri.

Selain itu sebab-sebab lain yang dikatakan sebagai punca penyakit ini ialah:

  1. Jangkitan sesetengah jenis kulat seperti cryptococcus
  2. Jangkitan – seperti AIDS, TB
  3. Kanser – sama ada kanser pada adrenal atau kanser daripada bahagian tubuh lain
  4. Pendarahan – apabila seseorang mengalami renjatan yang menyebabkan timbulnya tekanan, keadaan ini mengakibatkan tekanan darah boleh turun secara mendadak. Ini termasuklah dalam kes seperti jangkitan atau kemalangan.

Jenis Penyakit Addison

1.  Akut (secara tiba-tiba)

Apabila seseorang yang mengalami kekurangan fungsi kelenjar adrenal tetapi tidak mengetahui hakikat tersebut dan mendapat jangkitan, menjalani pembedahan, cabut gigi boleh menyebabkan tekanan, beliau akan mengalami satu keadaan akut yang dipanggil krisis Addisonian. Apabila doktor mengetahui pesakit merupakan seorang pesakit Addison, hormon kortisol yang diberi dapat membantu memulihkan pesakit dalam tempoh 24 jam

Tekanan yang dialami ini mengakibatkan individu terbabit pengsan dan tekanan darah turun secara mendadak. Dalam keadaan seumpama ini, mereka memerlukan rawatan rapi di hospital.  Bagaimanapun, sekiranya doktor tidak mengetahui bahawa seseorang pesakit yang ingin menjalani pembedahan menghidap penyakit Addison, risiko pesakit meninggal dunia semasa pembedahan dijalankan adalah tinggi.

2.  Kronik (berpanjangan)

Bagi pesakit yang menghidap penyakit Addison kronik, tanda-tanda yang dialami akan timbul secara perlahan lahan, sehingga pesakit sendiri tidak sedar bahawa beliau megidap penyakit tersebut. Kadang kadang penyakit ini hanya menjadi nyata selepas terjadi krisis Addisonian saperti diatas. Bagaimanapun, masih terdapat tanda-tanda tertentu jika seseorang menghidap penyakit ini.

Tanda-tanda dan Simptom

Tanda tanda tertentu jika seseorang menghidap penyakit Addison ialah:

  1. Letih
  2. Hilang selera makan
  3. Rasa mual dan muntah terutama pada waktu pagi
  4. Keletihan
  5. Murung
  6. Mudah tersinggung
  7. Tekanan darah yang rendah apabila seseorang berdiri
  8. Kekejangan otot-otot

Peningkatan ACTH  akibat kekurangan kortisol boleh menyebabkan kulit pesakit Addison bertukar menjadi agak gelap. Pigmentasi yang jelas kelihatan pada kulit dan gusi ini, merupakan salah satu tanda jelas bagi seorang doktor mengesyaki bahawa pesakit menghidap penyakit ini. Ia lebih nyata pada mereka yang mempunyai kulit cerah.

Hiperpigmentasi dikalangan pesakit Addison

Pada masa yang sama, ujian tertentu juga perlu dijalankan untuk mengesahkan penyakit tersebut.

Diagnosis

Untuk mengesahkan seseorang itu menghidap penyakit ini, ujian paras kortisol dalam darah perlu dijalankan. Ujian darah secara rutin juga akan dijalankan. Sekiranya sodium dalam darah rendah, potasium tinggi, pesakit mungkin disyakki menghidap penyakit Addison.

Seterusnya, untuk memastikan bahawa pesakit benar-benar penghidap penyakit ini, ujian darah untuk memastikan paras kortisol dalam darah dijalankan.  Jika paras kortisol didapati terlalu rendah (kurang dari 100 micromol/L), ini mengesahkan pesakit tersebut menghidap penyakit Addison. Bagaimanapun, jika paras kortisol dalam darah tidak terlalu rendah, ujian seterusnya akan dijalankan di mana  pesakit akan disuntik dengan synacthen (hormon ACTH yang dibuat secara sintetik) dan paras hormon kortisol kemudian diukur.

Selepas satu jam, jika paras kortisol tidak meningkat melebihi paras tertentu, pesakit disahkan menghidap penyakit Addison.

Selepas diagnosa dibuat, ujian seterusnya diperlukan untuk memastikan punca penyakit Addison. Paras hormon ACTH perlu diukur dan jika tinggi, membuktikan bahawa penyakit Addison itu berpunca dari kerosakan kelenjar adrenal (Addison jenis primer), dan jika paras nya normal atau rendah, penyakit Addison mungkin disebabkan penyakit kelenjar pituitari atau hipotalamus (Addison jenis sekunder). Ujian lain yang diperlukan termasuk imbasan CT bagi kelenjar adrenal atau pituitari, untuk menentukan jenis kerosakan yang berlaku.

Rawatan

Gantian hormon

Oleh kerana punca penyakit ini dikaitkan dengan kekurangan kortisol dan aldosteron, rawatan terbaik bagi menangani masalah ini ialah dengan menggantikan hormon yang serupa.

Pesakit perlu mengambil ubat hormon gantian cortisone acetate atau hydrocortisone dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang untuk menggantikan hormon kortisol. Manakala bagi pesakit yang kekurangan hormon aldosteron, mereka perlu mengambil hormon fludrocortisone sehari sekali.

Bagaimanapun, semasa kecemasan atau pembedahan hormon hydrocortisone perlu diberi kepada pesakit melalui saluran darah. Pesakit juga perlu menambah hormon gantian mereka apabila mereka mengalami demam atau merasa tidak sihat.

MedicAlert (MA)

Pesakit dinasihatkan supaya menjadi ahli MedicAlert. Apabila menjadi ahli MA, mereka akan diberi sejenis gelang untuk dipakai pada tangan atau rantai pada leher yang tertera keterangan berhubung penyakit yang mereka hidapi. Ini amat perlu kerana jika pesakit dijumpai pengsan di tengah jalan, gelang atau rantai yang dipakai dapat membantu doktor  memberi ubat yang betul kepada pesakit.

Keadaan ini lebih penting pada waktu-waktu kecemasan.  Malah, sekiranya pesakit akan menjalani pembedahan atau berjumpa doktor gigi, doktor akan lebih berhati-hati dan memberi suntikan hormon kortisol terlebih dahulu.

Ketika tekanan

Sekiranya pesakit mengalami demam selesema, mereka perlu makan ubat-ubatan dua kali ganda daripada jadual biasa.  Ini kerana semasa berlaku tekanan, ubat-ubatan yang dimakan dua kali ganda dapat membantu menambahkan paras hormon.

Sekiranya pesakit mengalami muntah-muntah dan tidak boleh makan seperti biasa, pesakit memerlukan hormon yang dimasukkan ke dalam tubuh melalui saluran darah (intravena). Ini kerana jika pesakit pengsan, ia boleh mengakibatkan kematian.

Panduan

Pesakit Addison yang mengambil ubat gantian hormon setiap hari boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa. Perlu ditekankan disini bahawa pesakit perlu mengambil hormon gantian tersebut sepanjang hayat beliau.

Malah, mereka yang menghidap penyakit ini juga bebas memilih sebarang bidang pekerjaan tanpa sebarang halangan. Bagaimanapun, mereka dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan fizikal secara tetap, mengelakkan dehidrasi dan mengambil ubat-ubatan tertentu jika mengalami penyakit tertentu.

Bagi pesakit wanita, mereka boleh hamil seperti individu normal yang lain tetapi memerlukan pengawasan rapi dalam pengambilan hormon gantian. Lebih penting lagi, setiap pesakit Addison dinasihatkan supaya memakai rantai atau gelang pengenalan yang menyatakan bahawa mereka menghidap penyakit ini.

Ini bertujuan untuk memastikan bahawa mereka akan mendapat rawatan sewajarnya  sekiranya berlaku kecemasan. Sehingga kini, jangka hayat pesakit Addison adalah normal seperti individu normal yang lain.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.