Luka Melecet – Punca, Tanda dan Rawatan

Luka melecet selalunya berlaku disebabkan geseran antara pakaian dan kulit dan boleh dialami sesiapa sahaja, jom ketahui rawatan dan pencegahannya.

Luka melecet merupakan masalah kulit yang kerap berlaku dan disebabkan oleh gabungan beberapa punca seperti geseran, kelembapan dan fabrik yang kasar. Geseran berpanjangan pada kulit akan menyebabkannya menjadi pedih, dan ruam berwarna merah akan muncul. Dalam kes yang teruk, melecet boleh menyebabkan bengkak, pendarahan dan kuping.

Anda lebih mudah mendapat luka melecet pada bahagian badan yang bergesel antara satu sama lain atau pada pakaian. Melecet selalunya berlaku pada bahagian peha dan punggung. Puting, kelangkang dan ketiak juga antara kawasan yang mudah melecet.

Punca melecet

Kulit merupakan organ terbesar pada manusia, ianya mempunyai tugas penting bagi melindungi dan mengekalkan tahap kesihatan seseorang. Kulit merupakan organ yang kukuh dan fleksibel bagi melindungi bahagian dalaman badan dari ancaman luaran seperti kuman, kepanasan dan ancaman fizikal.

Namun, sel pada kulit juga mempunyai limitasi dan akan rosak jika digunakan secara berlebihan. Kulit perlu dibersihkan dan dikeringkan dan memerlukan minyak semulajadi atau losyen yang cukup bagi mencegah geseran dan luka melecet.

Geseran berterusan, terutamanya jika terdapat juga kelembapan, akan menyebabkan kulit lebih mudah rosak.

Antara punca melecet termasuklah:

  • Sukan endurans. Berbasikal dan berlari merupakan antara sukan yang sering menyebabkan melecet, namun melecet boleh juga melibatkan mana-mana sukan yang ada kombinasi berpeluh dan bergerakan berulang-ulang. Atlet boleh mengalami luka melecet pada mana-mana sahaja bahagian badan yang mengalami geseran antara pakaian dan kulit.
  • Terlebih berat badan atau obesiti.
  • Ibu menyusu boleh mengalami luka melecet pada puting.
  • Memakai lampin. Pendedahan berterusan kepada air kencing dan najis serta kekurangan pengaliran udara boleh menyebabkan melecet pada punggung.
  • Memakai skirt terutamanya dalam cuaca panas dan lembap. Tanpa seluar yang melindungi peha daripada bergesel sesama sendiri, ramai wanita mengalami luka melecet pada bahagian dalaman peha apabila memakai skirt.
  • Saiz baju yang tidak sesuai. Seseorang boleh melecet jika lengan baju, strap pada bra atau pinggang seluar bergesel pada kulit secara berterusan.

Rawatan

Hentikan sebarang aktiviti yang menyebabkan geseran pada kulit. Jika pakaian anda menyebabkan geseran yang tidak menyelesakan, tukar kepada pakaian lain yang lebih sesuai.

Jika anda merasakan kulit mula melecet, lapkan bahagian tersebut sehingga kering dan sapukan jeli petroleum pada kawasan kulit yang terlibat.

Antara rawatan melecet termasuklah:

  • elakkan punca melecet
  • sapukan losyen, balm atau minyak; gunakan produk yang tidak mengandungi pewangi dan menghalang kelembapan
  • pastikan kulit mendapat udara segar
  • gunakan krim steroid jika ianya diarahkan oleh doktor

Pemulihan

Luka melecet selalunya akan sembuh selepas beberapa hari jika puncanya dielakkan. Jika anda tidak boleh menghentikan aktiviti yang menyebabkan melecet, pastikan anda mengambil langkah pencegahan ketika melakukan aktiviti tersebut.

Anda juga perlu merehatkan kulit semalaman dengan mendedahkan kawasan melecet tersebut kepada udara ketika tidur. Jika terdapat luka pada permukaan kulit, boleh letakkan jeli petroleum dan luka tersebut juga boleh dibalut atau diletakkan plaster sehingga sembuh.

Ketika kulit sedang sembuh:

  • Jangan cuba mencuci luka melecet dengan hidrogen peroksida atau iodin, kerana bahan kimia ini akan melambatkan proses penyembuhan. Bersihkan dengan menggunakan sabun dan air sahaja.
  • Jangan mandi menggunakan air terlalu panas atau sabun yang kuat, kerana kedua-duanya boleh menyebabkan kulit menjadi terlampau kering dan lebih mudah rosak.
  • Sentiasa keringkan kulit dan pastikan ianya tidak bergesel berterusan.
  • Gunakan tuaman sejuk atau ais untuk tempoh yang pendek bagi melegakan kesakitan. Pastikan selepas itu kulit dikeringkan.

Komplikasi

Melecet akan menyebabkan kerosakan kepada lapisan perlindungan badan daripada kuman dan jangkitan. Jika luka melecet menyebabkan gejala lain selain kemerahan dan kulit luka, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera. Antara tanda-tanda anda memerlukan rawatan lanjut adalah:

  • pendarahan
  • perubahan warna
  • bengkak
  • berkuping

Doktor mungkin akan memberikan ubat jenis steroid bagi melegakan keradangan pada kulit dan membantu kulit untuk sembuh dengan lebih pantas.

Pencegahan

Pencegahan melecet adalah mudah, namun perlu dilakukan secara berterusan.

Pencegahan mungkin lebih sukar dilakukan jika anda kerap melakukan aktiviti yang menyebabkan luka melecet. Namun masih terdapat cara bagi mengurangkan keterukannya dan mencegahnya dari menjadi lebih teruk.

Berikut merupakan beberapa cara yang anda boleh lakukan bagi mencegah melecet.

Deodoran

Pemakaian deodaran boleh mencegah perpeluhan yang boleh meningkatkan risiko melecet. Selain itu ada juga deodoran yang mengandungi bahan yang boleh melembapkan kulit.

Jika anda mudah melecet atau anda risau kulit anda melecet, gunakan deodoran pada bahagian badan tersebut sebelum melakukan apa-apa aktiviti. Sebagai contoh, jika anda mengalami luka melecet pada bahagian dalaman peha, letakkan deodoran pada kawasan tersebut sebelum keluar dari rumah.

Pelincir

Krim, minyak dan bedak boleh memberikan satu lapisan perlindungan dan mencegah geseran. Anda kurang berisiko untuk melecet jika kulit boleh meluncur dengan lancar. Bedak kurang berkesan berbanding menggunakan losyen kerana ianya boleh bergumpal dan menyebabkan melecet menjadi lebih teruk.

Fabrik pakaian yang menyimpan kelembapan

Fabrik seperti kapas boleh menyerap kelembapan dan peluh lalu menyebabkan kulit menjadi lembap. Kelembapan ini akan meningkatkan risiko bergeser dan melecet.

Pakai pakaian yang mempunyai pengudaraan yang baik dan membenarkan peluh kering dengan cepat, terutamanya untuk pakaian sukan. Seluar khas untuk bersukan selalunya mempunyai ciri-ciri ini dan boleh melindungi kulit anda. Anda juga boleh memakai seluar thigh bagi mencegah kulit peha dari bergesel.

Saiz kasut yang sesuai

Pakaian yang terlalu longgar boleh menyebabkan banyak pergerakan serta geseran dan meningkatkan risiko melecet. Pastikan anda memakai saiz bersesuaian terutamanya untuk kasut, baju pada bahagian dada dan seluar pada bahagian pinggang.

Pembalut yang lembut

Untuk kawasan kulit yang kerap melecet, anda boleh mencegahnya dengan meletakkan pembalut yang lembut. Cara ini berkesan untuk melecet pada kaki, dalaman peha dan juga puting.

Pad dan pengeringan untuk ibu menyusu badan

Jika anda menyusu badan, pastikan puting dikeringkan dan elakkan memakai pakaian atau bra dengan fabrik yang kasar. Dapatkan bra menyusu khas yang lembut. Ada juga bra yang mempunyai pad dalaman. Anda juga boleh mendapatkan pad guna semula atau pakai buang yang dimasukkan ke dalam bra bagi membantu menyerap kelembapan.

Jangan memakai pakaian lembap

Tukar pakaian renang selepas melakukan aktiviti tersebut kerana pakaian yang ketat dan lembap boleh menggalakkan berlakunya melecet. Selain itu pakaian yang lembap juga perlu ditukar dengan segera. Ianya termasuklah pakaian yang lembap disebabkan berpeluh, hujan atau selepas melakukan aktiviti di sungai atau kawasan berair.

Rancang hari anda

Lakukan senaman ketika hari telah sejuk, seperti pada waktu pagi dan petang. Ianya akan mengurangkan perpeluhan dan kulit serta pakaian akan menjadi lebih kering.

Rumusan

Rawatan terbaik bagi luka melecet adalah dengan mencegahnya sebelum berlaku. Namun kadangkala luka melecet masih boleh juga berlaku walaupun langkah pencegahan sudah diambil.

Jika luka melecet berlaku, keringkan kawasan terlibat, hentikan aktiviti yang menyebabkan melecet dengan segera, dan sapukan losyen atau jeli petroleum bagi melegakan dan melindungi kulit yang melecet.

Luka melecet selalunya akan pulih dalam masa beberapa hari. Jika kawasan tersebut menjadi semakin teruk atau terdapat jangkitan, jumpa doktor dengan segera.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.