Bisul Pada Kulit – Punca, Tanda dan Rawatan

Bisul merupakan bengkak yang bernanah dan menyakitkan pada kulit yang selalunya disebabkan oleh jangkitan bakteria, jom ketahui dengan lebih lanjut.

Bisul atau abses merupakan benjolan yang muncul pada atau di bawah permukaan kulit – sama seperti jerawat, tetapi lebih besar dan dalam. Bisul selalunya dipenuhi dengan nanah, terasa sakit apabila disentuh, dan kulit disekeliling bisul juga akan menebal dan membengkak.

Bisul selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman.

Bisul boleh muncul pada mana-mana sahaja bahagian badan. Walaubagaimanapun ianya selalu muncul pada:

  • belakang
  • muka
  • dada
  • abdomen sebelah bawah
  • punggung

Bisul pada kulit juga boleh muncul pada kawasan berbulu, seperti pada ketiak dan celah kelangkang.

Kebanyakan bisul adalah tidak berbahaya dan boleh sembuh dengan sendiri tanpa rawatan. Krim dari farmasi seperti krim antibiotik jenis sapu dan penjagaan di rumah boleh mengurangkan bengkak dan membantu mempercepatkan proses penyembuhan bisul yang kecil.

Kadangkala, bisul yang lebih sukar sembuh mungkin memerlukan prosedur pembedahan bagi membuang dan mengeringkannya. Dalam kes tertentu, ubat antibiotik jenis makan mungkin perlu diberikan bersama-sama prosedur untuk mencuci luka selepas pembedahan membuang bisul dilakukan.

Terdapat juga kes di mana bisul boleh menyebabkan komplikasi serius dan membahayakan nyawa jika tidak dirawat.

Punca bisul

Bisul selalunya berlaku apabila terdapat kecederaan atau bukaan pada kulit yang membolehkan bakteria yang biasa hidup pada permukaan kulit, seperti Staphylococcus aureus dan Streptococcus pyogenes, untuk masuk ke dalam kulit dan menyebabkan keradangan.

Seseorang lebih berisiko untuk mendapat jangkitan bakteria ini jika:

  • menjadi kontak rapat kepada individu yang dijangkiti oleh bakteria Staphylococcus (staph), yang selalunya banyak ditemui di kawasan hospital
  • menghidap penyakit kulit kronik seperti jerawat dan ekzema
  • penghidap kencing manis
  • mengalami sindrom metabolik
  • merokok
  • lemah sistem imun badan

Antara punca bisul lain yang jarang berlaku adalah disebabkan oleh:

  • virus
  • fungus atau kulat
  • parasit
  • tuberkulosis

Jenis bisul

Terma perubatan bagi bisul pada kulit adalah abses kutaneus.

Terdapat beberapa jenis bisul pada kulit, iaitu:

  • boils, yang merupakan benjolan atau nodul yang menyakitkan
  • furunkel, selalunya merupakan folikel rambut yang dijangkiti kuman dan dipenuhi nanah, ianya boleh merebak kepada tisu disekeliling folikel tersebut
  • karbunkel, iaitu gabungan beberapa furunkel

Kadangkala bisul juga boleh berlaku pada bahagian dalaman badan.

Antara contoh bisul atau abses pada bahagian dalaman badan termasuklah:

Mengenalpasti bisul

Bisul pada kulit selaluunya bermula sebagai benjolan kecil, sama seperti jerawat.

Walaubagaimanapun, lama kelamaan ianya akan semakin membesar dan menjadi merah serta sakit. Kawasan kulit di atas bisul selalunya mengalami keradangan, di mana bahagian tengahnya lembut dan terbenam apabila ditekan. Kulit disekeliling bisul juga akan berasa panas apabila disentuh.

Bergantung kepada punca bisul, gejala-gejala lain juga mungkin berlaku. Antara gejala-gejala ini termasuklah:

  • demam
  • sejuk
  • bengkak
  • nanah keluar daripada bisul

Bila perlu berjumpa doktor

Bisul bersaiz kecil dan berlaku untuk tempoh yang singkat boleh dirawat di rumah. Namun jika anda mengalami bisul serta berada dalam situasi berikut, adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin:

  • Anda mempunyai masalah lemah sistem imun badan atau baru keluar daripada hospital.
  • Anda pernah menjadi penerima organ.
  • Anda sedang menjalani rawatan kemoterapi atau baru menerima kemoterapi.
  • Bisul yang bersaiz besar, tidak hilang selepas 2 minggu, dan mengalami demam.
  • Bisul merebak ke bahagian badan yang lain.
  • Bisul menjadi semakin sakit dan berdenyut.
  • Kulit di sekeliling bisul membengkak dan menjadi warna merah.

Pengesanan

Doktor akan bertanyakan mengenai sejarah perubatan dan gejala bisul yang dialami seterusnya melakukan pemeriksaan fizikal terutamanya pada kawasan bisul.

Pemeriksaan fizikal penuh merupakan cara terbaik bagi doktor mengenalpasti punca berlakunya bisul tersebut seperti disebabkan masalah pada folikel rambut atau bulu.

Doktor juga akan bertanyakan gejala yang lain seperti demam dan sejarah penyakit terdahulu.

Jika anda tidak pasti sama ada anda mengalami bisul, minta pendapat doktor kerana ada bisul yang tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi serius sehingga membahayakan nyawa.

Ujian

Doktor mungkin akan mengambil sampel cecair atau nanah daripada bisul untuk diuji jika terdapat bakteria. Selalunya tiada lagi ujian lain yang diperlukan.

Walaubagaimanapun, doktor mungkin akan melakukan ujian darah jika seseorang disyaki mengalami sepsis.

Komplikasi bisul

Dalam sesetengah kes, bisul boleh menyebabkan komplikasi serius. Komplikasi ini termasuklah:

  • demam dan kelenjar limfatik membengkak
  • jangkitan merebak
  • bakteria masuk ke dalam darah dan menyebabkan sepsis
  • endokarditis, iaitu jangkitan pada lapisan dalam jantung
  • tisu mati pada kawasan bisul
  • jangkitan tulang akut atau osteomyelitis

Rawatan bisul

Rawatan di rumah

Selalunya bisul pada kulit boleh dirawat di rumah. Tuaman panas boleh digunakan bagi mengecutkan dan mengecilkan bisul.

Tuaman panas ini boleh dilakukan dengan menggunakan kain yang direndam ke dalam air suam sebelum meletakkannya pada bisul beberapa kali sehari, selama 10 minit bagi setiap sesi.

Prosedur mengecutkan bisul

Jumpa doktor jika bisul semakin teruk atau tidak hilang. Doktor mungkin perlu melakukan prosedur bagi mengecutkannya.

Doktor akan melakukan prosedur ini menggunakan bius setempat, seperti lidocaine, dan kawasan bisul akan dipotong bagi membolehkan cecair atau nanah keluar. Kawasan luka kemudiannya akan dicuci dengan air steril.

Selepas bisul mengecut, doktor akan membalut dan menutup luka dengan kain gauze bagi melindungi luka dan mengelakkan bisul berlaku semula.

Setelah prosedur dijalankan, doktor mungkin akan membekalkan ubat antibiotik bagi mengelakkan luka tersebut dijangkiti kuman.

Antibiotik

Doktor mungkin akan memberikan ubat antibiotik jenis makan bergantung kepada gejala dan tahap keterukan bisul. Antara ubat antibiotik yang boleh diberikan termasuklah:

  • clindamycin
  • cephalexin
  • dicloxacillin
  • doxycycline
  • trimethoprim-sulfamethoxazole (Bactrim)

Dalam kes tertentu, pesakit yang berisiko tinggi terutamanya yang mempunyai penyakit yang lain mungkin perlu ditahan di wad dan ubat antibiotik akan dimasukkan terus ke dalam salur darah.

Selepas rawatan antibiotik diberikan, selalunya bisul tidak akan berulang semula.

Pencegahan bisul

Bisul kadangkala tidak boleh dicegah. Namun terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko mendapat jangkitan seterusnya menyebabkan bisul.

Bagi mengurangkan jangkitan kuman:

  • Basuh tangan dengan kerap
  • Bersihkan semua luka, termasuk luka yang kecil dengan sabun dan air serta sapukan krim antibiotik yang boleh didapati di farmasi
  • Balut semua luka
  • Elakkan merokok
  • Makan pemakanan seimbang

Selain itu elakkan juga berkongsi barangan peribadi seperti:

  • tuala
  • sarung tilam
  • pencukur
  • alatan sukan
  • alat solek
  • pakaian

Jika anda mengalami luka atau lebam, pastikan juga tuala dan tempat tidur anda bersih dan telah dicuci dengan pencuci serta detergen dan dijemur sehingga kering.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.