Ubat Anti-Kemurungan (Anti-Depressant)

Walaupun ubat anti-kemurungan tidak dapat memulihkan sepenuhnya masalah kemurungan namun banyak simptom yang dapat dikawal dan pesakit dapat berfungsi.

Ubat anti-kemurungan merupakan rawatan popular untuk penyakit ini. Walaupun ubat anti-kemurungan tidak dapat memulihkan sepenuhnya masalah kemurungan namun banyak simptom yang dapat dikawal untuk kehidupan yang lebih berkualiti.

Kesesuaian ubat anti-kemurungan bergantung pada setiap individu. Jika anda tidak sukakan kesan sampingan nya atau kurang berkesan, mungkin boleh mencuba dalam kumpulan yang lain.

Pesakit tidah seharusnya berputus asa jika ubat yang pertama tidak berkesan, terdapat banyak kumpulan untuk ubat anti-kemurungan yang sesuai untuk orang berbeza.

Pesakit perlu berbincang dengan pakar psikiatri untuk rawatan yang terbaik.

Jenis Ubat Anti-kemurungan

 Terdapat empat jenis ubat anti kemurungan iaitu:

  • Kumpulan Trisiklik (Tricyclic Antidepressant) – Merupakan ubat generasi terawal dan lebih banyak menghasilkan kesan sampingan berbanding generasi baru.
  • Kumpulan RIMAs (Reversible Inhibitors of Monoamine Oxidase type A) – Ubat ini selalunya sebagai langkah terakhir jika ubat yang lain kurang berkesan kerana kesan sampingannya yang lebih teruk. Pesakit perlu pantang sesetengah makanan kerana ubat ini mampu berinteraksi dengan makanan seperti keju, minuman alkohol dan jeruk yang boleh membahayakan pesakit.
  • Kumpulan SSRIs (Selective Serotonin Reuptake Inhibitors) – Doktor selalunya akan memulakan ubat ini kerana kesan sampingannya yang tidak seteruk ubat yang lain.
  • Kumpulan SNRIs (Serotonin and Noradrenaline Reuptake Inhibitors) – Antara ubat generasi baru

Cara Ubat Anti-kemurungan bertindak

Kemungkinan besar ubat ini menambah aktiviti bahan kimia di dalam otak yang dikenali sebagai pemancar neuro.

Pemancar neuro menghantar isyarat dari satu sel otak kepada sel otak yang lain. Bahan kimia yang terbabit dengan kemurungan dikenali sebagai Serotonin dan Noradrenalin.

Dengan cara ini, aktiviti otak akan diaktifkan semula seterusnya mengurangkan simptom-simptom kemurungan.

Cara Mengambil Ubat Anti-kemurungan

  • Ambil ubat setiap hari seperti yang diarahkan. Jangan ubah dos ubat sendiri.
  • Kesan terapeutik ubat hanya boleh dilihat selepas dua minggu, jadi menunggu adalah penting.
  • Kesan sampingan ubat akan berkurangan setelah beberapa lama diambil.
  • Rujuk kepada doktor anda sekiranya kesan sampingan tidak disenangi. Doktor mungkin mencadangkan ubat dari jenis yang lain.

Kesan Sampingan Ubat Anti-kemurungan

Kumpulan Trisiklik

Kesan sampingan ubat trisiklik yang biasa adalah :

  • kering mulut
  • menggeletar
  • peningkatan degupan jantung
  • sembelit
  • mengantuk
  • kenaikan berat badan
  • Di kalangan warga emas, ubat ini mungkin menyebabkan kekeliruan, kesukaran untuk membuang air kecil, rasa hendak pitam dan jatuh.

Elakkan dari menggunakan trisiklik sekiranya anda mempunyai masalah jantung. Bagi kaum lelaki, mereka mungkin mengalami mati pucuk atau ejakulasi yang lambat.

Kumpulan RIMAs

Elakkan mengambil ubat RIMAs dengan makanan yang mengandungi Tyramine (contoh: keju, minuman beralkohol, cokelat, dadih, sos soya) kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi.

Jika anda mengambil ubat RIMA, doktor atau ahli farmasi akan memberikan anda senarai makanan yang perlu dielakkan.

Kumpulan SSRIs

Kesan sampingan pada perut adalah biasa dan ianya berkait rapat dengan dos ubat. Ini termasuklah:

  • rasa mual, muntah, perut tidak selesa (dyspepsia)
  • sakit perut
  • cirit birit
  • sembelit
  • tiada selera makan
  • kehilangan berat badan

Sekiranya anda rasa kesan sampingan ini adalah disebabkan oleh SSRI yang anda ambil, sila sahkan dengan doktor atau ahli farmasi.

Kumpulan SNRIs

Kesan sampingan ubat ini adalah serupa dengan SSRIs.

Langkah Berjaga-jaga

Memandu atau menggunakan jentera

Terdapat ubat antikemurungan yang menyebabkan kesan mengantuk dan melambatkan tindakbalas anda. Sila rujuk kepada doktor anda sekiranya pekerjaan anda melibatkan pengendalian mesin atau pemanduan.

Ketagihan ubat

Ubat antikemurungan selalunya tidak menyebabkan ketagihan tetapi sesetengah orang mungkin mengalami gejala gian apabila mereka berhenti menggunakan ubat SSRIs or SNRIs. Kesannya termasuklah perut tidak selesa, gejala selsema, keresahan, pening, mimpi ngeri pada waktu malam dan mengalami sensasi seperti terkena kejutan elektrik. Bagi mengurangkan kesan sampingan ubat ini, doktor akan menurunkan dos ubat secara berkala. Jangan berhenti mengambil ubat ini secara mendadak.

Golongan remaja

Jika mendapat preskripsi doktor, Ubat SSRIs boleh diambil oleh golongan yang berumur di bawah 18 tahun, tetapi dengan lebih berhati-hati.

Kehamilan

Elakkan daripada menggunakan sebarang jenis ubat antikemurungan sewaktu hamil, terutamanya dalam tempoh 3 bulan pertama kehamilan kerana ia menyebabkan risiko kecacatan pada bayi yang bakal dilahirkan. Pada kebiasaannya rawatan alternatif akan dipertimbangkan kecuali dalam keadaan kemurungan yang teruk dan boleh mengancam nyawa ibu atau anak, penggunaan ubat anti kemurungan tidak dapat dielakkan.

Kaedah Penyimpanan

Simpan ubat anda di dalam bekas asal dan ditutup ketat. Simpan pada suhu bilik dan jauhkan daripada kanak-kanak, keadaan panas dan kelembapan yang melampau.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.