Tumor Parotid – Diagnosis dan Rawatan

Kelenjar parotid terletak di hadapan telinga di bahagian sudut muka dan merupakan kelenjar air liur terbesar berbanding dua yang lain.

Tumor parotid atau ketumbuhan pada kelenjar parotid merupakan salah satu ketumbuhan paling kerap pada kelenjar air liur (80 hingga 85 peratus daripada keseluruhan). Majoriti ketumbuhan ini bukanlah kanser manakala 25 peratus boleh menjadi kanser.

Kelenjar parotid terletak di hadapan telinga di bahagian sudut muka dan merupakan kelenjar air liur terbesar berbanding dua yang lain. Fungsinya adalah untuk menghasilkan air liur yang membantu dalam mengunyah dan menghadam makanan.

Tumor parotid boleh menyebabkan bengkak pada bahagian tepi muka berdekatan rahang. Ianya boleh menyakitkan. Jika tumor ini adalah kanser, ianya juga boleh menyerang saraf yang akan menyebabkan rasa kebas, sakit ataupun seperti terbakar dan hilang pergerakan pada sebahagian muka.

Kedudukan kelenjar parotid

Tanda-tanda dan simptom

Tanda-tanda dan simptom tumor parotid termasuklah:

  • Bengkak pada bahagian rahang atau berdekatan leher dan mulut
  • Kebas sebahagian muka
  • Lemah otot muka sebelah yang terlibat
  • Sakit pada tepi muka
  • Susah menelan
  • Susah membuka mulut sepenuhnya

Faktor risiko

Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko tumor parotid termasuklah:

  • Umur meningkat tua. Biasanya penyakit ini terjadi pada usia tua tetapi boleh juga berlaku pada semua peringkat usia.
  • Pendedahan radiasi. Radiasi yang digunakan untuk merawat kanser lain pada leher dan kepala boleh meningkatkan risiko tumor parotid.
  • Pendedahan kepada bahan kimia. Terutamanya di tempat kerja boleh meningkatkan risiko kanser. Antara pekerjaan yang selalu dikaitkan adalah industi getah, perlombongan asbestos dan pembuatan paip.

Diagnosis

Ujian dan perosedur yang boleh dilakukan untuk memeriksa tumor parotid termasuklah:

  • Pemeriksaan fizikal. Doktor akan memeriksa bahagian rahang dan leher jika terdapat sebarang bengkak.
  • Mengambil sampel tisu untuk ujian (biopsi). Doktor akan mengambil sampel pada bahagian yang bengkak dan dihantar ke makmal untuk menentukan adakah ianya kanser.
  • Pengimejan. Jika ianya kanser, ujian pengimejan dilakukan untuk melihat saiz, dan lokasi kanser itu. Antara ujian yang boleh dilakukan termasuklan CT scan dan juga MRI.

Rawatan

Kebanyakan kes memerlukan pembedahan untuk membuang sebahagian atau semua kelenjar parotid. Pembedahan ini dinamakan parotidektomi. Ketika pembedahan, pakar bedah perlu berhati-hati bagi mengalakkan kecederaan pada saraf muka yang melalui kelenjar parotid. Saraf ini bertanggungjawab mengawal ekspresi dan pergerakan otot muka.

Jika ianya kanser, doktor akan mencadangkan juga terapi radiasi. Rawatan kemoterapi tidak berkesan untuk kanser kelenjar parotid.

Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.