Tahi Telinga Tersumbat – Simptom dan Punca

Tahi telinga sebenarnya adalah sistem pertahanan semulajadi badan untuk melindungi bahagian dalaman telinga daripada bendasing.

tahi telinga tersumbat

Tahi telinga tersumbat berlaku apabila tahi telinga ataupun cerumen berkumpul di dalam saluran telinga dan tidak dapat keluar secara semulajadi.

Tahi telinga sebenarnya adalah sistem pertahanan semulajadi badan untuk melindungi bahagian dalaman telinga daripada bendasing. Ia membantu membersihkan dan melindungi bahagian dalam telinga dengan memerangkap habuk dan juga melambatkan pertumbuhan bakteria.

Jika telinga anda tersumbat dengan tahi telinga, langkah yang mudah boleh dilakukan oleh doktor anda untuk membersihkannya.

Anatomi bahagian dalam telinga

Tanda-tanda dan simptom

Tanda-tanda berlaku telinga tersumbat termasuklah:

  • Sakit telinga
  • Rasa ada sesuatu dalam telinga yang terlibat
  • Berdengung dalam telinga (tinnitus)
  • Kurang pendengaran pada telinga yang terlibat
  • Pening
  • Batuk

Bila perlu berjumpa doktor

Jika anda merasakan telinga anda tersumbat dengan tahi telinga, anda boleh terus berjumpa doktor.

Telinga tersumbat boleh disebabkan penyakit lain. Selain tahi telinga, telinga tersumbat juga boleh disebabkan penyakit lain seperti jangkitan kuman. Sukar untuk anda menjangka punca tersumbat jika tidak dapat melihat terus ke dalam telinga. Doktor akan menggunakan alat khas untuk melihat ke dalam telinga anda bagi memastikan punca tersumbat.

Pembersihan tahi telinga lebih selamat dilakukan di klinik. Telinga terdiri daripada organ pendengaran seperti gegendang telinga yang rapuh dan boleh rosak jika telinga dibersihkan dengan kasar. Jangan cuba memasukkan sesuatu ke dalam telinga dengan tujuan membuang kekotoran kerana dikhuatiri boleh menyebabkan gegendang telinga bocor dan mencederakan bahagian dalaman telinga yang lain.

Doktor boleh membuang sebarang kekotoran di dalam telinga menggunakan prosedur mudah selepas melakukan pemeriksaan.

Punca

Tahi telinga ataupun cerumen dihasilkan oleh kelenjar pada lapisan kulit luar yang melapisi salur telinga. Kulit pada salur telinga juga mengandungi rerambut halus dan bersama-sama dengan cerumen berfungsi untuk memerangkap bendasing seperti habuk dan serangga yang boleh merosakkan struktur dalaman telinga.

Selalunya, tahi telinga akan bergerak ke arah bukaan telinga dan akan keluar sendiri apabila tahi telinga yang baru dihasilkan. Jika kulit anda menghasilkan tahi telinga yang banyak atas sebab tertentu, ianya mungkin sukar dikeluarkan dan akan menyebabkan masalah tersumbat.

Selain itu, masalah tersumbat juga boleh disebabkan seseorang yang memasukkan sesuatu sepeti putik kapas ke dalam telinga lalu menolak tahi telinga ke bahagian yang lebih dalam dan lama-kelamaan ianya akan berkumpul lalu menyebabkan telinga tersumbat.

Bacaan lanjut berkenaan tahi telinga tersumbat:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.