Tahi Telinga Tersumbat – Diagnosis dan Rawatan

Jangan cuba untuk mengorek telinga menggunakan alatan seperti klip kertas, putik kapas dan juga pin rambut yang boleh menolak tahi telinga lebih ke dalam.

Diagnosis

Doktor boleh menentukan jika telinga anda tersumbat disebabkan oleh tahi telinga dengan menggunakan alat otoskop iaitu sejenis alat untuk membesarkan dan menerangi bahagian dalam telinga.

Rawatan

Doktor akan membuang tahi telinga yang tersumbat dengan menggunakan alat yang dipanggil sebagai kuret ataupun alat penyedut selepas telinga diperiksa. Doktor juga boleh membersihkan bahagian dalam telinga menggunakan syringe yang diisi air suam.

Jika masalah telinga tersumbat ini selalu berulang, doktor mungkin akan mencadangkan anda menggunakan ubat untuk membuang tahi telinga seperti carbamide peroxide. Ubat ini tidak boleh selalu digunakan kerana boleh menyebabkan iritasi kepada kulit dalam telinga dan juga gegendang telinga.

Rawatan alternatif

Sesetengah orang menggunakan rawatan lilin iaitu dengan meletakkan lilin bernyala berbentuk kon yang mempunyai lubang ke dalam telinga untuk membuang tahi telinga. Teori yang digunakan adalah haba dari api lilin akan menghasilkan vakum yang akan menyedut tahi telinga dan ianya akan melekat pada lilin untuk dikeluarkan.

Bagaimanapun ianya tidak digalakkan untuk merawat telinga tersumbat. Kajian menunjukkan penggunaan lilin adalah tidak berkesan dan boleh menyebabkan kecederaan seperti melecur, telinga tersumbat dan juga gegendang telinga bocor.

Bincang dengan doktor anda sebelum melakukan sebarang perubatan alternatif untuk membuang tahi telinga.

Rawatan di rumah

Jika gegendang telinga anda tidak pernah bocor atau rosak, tips berikut mungkin dapat membantu membuang lebihan tahi telinga yang tersumbat:

  • Melembutkan tahi telinga. Gunakan penitis mata untuk meletakkan beberapa titisan minyak bayi, minyak mineral, glycerin ataupun hidrogen peroxide ke dalam salur telinga.
  • Gunakan air suam. Selepas sehari atau dua hari, apabila tahi telinga telah lembut, gunakan syringe untuk memasukkan air suam ke dalam salur telinga. Sengetkan kepala anda dan tarik telinga ke arah atas dan belakang untuk memudahkan air keluar bersama-sama tahi telinga.
  • Keringkan telinga. Keringkan bahagian dalam telinga dengan menggunakan tuala ataupun pengering rambut.

Prosedur di atas boleh diulang beberapa kali untuk mendapatkan hasil yang lebih memuaskan. Walaubagaimanapun terdapat risiko tahi telinga yang dilembutkan akan pergi ke bahagian dalam telinga atau melekat pada gegendang telinga. Jika tiada sebarang perubahan atau simptom semakin teruk, sila berjumpa dengan doktor.

Kit untuk mengeluarkan tahi telinga juga boleh didapati di farmasi. Tanya doktor anda berkenaan peralatan ataupun prosedur yang sesuai untuk membuang tahi telinga.

Jangan cuba mengorek ke dalam telinga

Jangan cuba untuk mengorek tahi telinga menggunakan alatan seperti klip kertas, putik kapas dan juga pin rambut. Anda mungkin akan menolak tahi telinga lebih jauh dalam atau menyebabkan kecederaan kepada gegendang telinga dan struktur dalaman telinga yang lain.

Bacaan lanjut berkenaan tahi telinga tersumbat:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.