Penyakit Selsema Babi – Punca, Tanda & Rawatan

Penyakit selsema babi merupakan sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus Influenza A dan biasanya disebarkan oleh haiwan iaitu babi.

Selsema babi (swine flu) adalah penyakit respiratori akut yang berjangkit daripada babi dan disebabkan oleh virus influenza A.

Di kalangan haiwan babi, virus ini tersebar melalui titisan air dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Ia juga boleh tersebar melalui babi yang asimptomatik (tidak mempunyai sebarang gejala penyakit tetapi membawa virus selsema babi).

Jenis-jenis selsema babi

Virus selsema babi sentiasa berubah seperti virus influenza yang lain. Terdapat 4 sub-jenis utama virus influenza A yang diasingkan daripada haiwan ini iaitu H1N1 (virus yang biasa ditemui pada babi), H1N2, H3N1 dan H3N2. Babi boleh dijangkiti virus Avian Influenza (selsema burung), virus influenza bermusim manusia, serta virus Swine Influenza (selsema babi).

Babi boleh dijangkiti lebih daripada satu jenis virus pada satu masa. Ini menyebabkan gen virus tersebut bercampur dan menghasilkan virus influenza yang mengandungi gen daripada pelbagai sumber, dikenali sebagai virus yang bercampur (reassortant).

Walaupun virus selsema babi pada kebiasaannya adalah spesis yang spesifik dan hanya menjangkiti babi, namun, virus ini boleh menyebabkan penyakit di kalangan manusia. Terbaru, virus influenza yang diasingkan daripada babi telah dikenal pasti sebagai virus H1N1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menerima laporan kes selsema babi dari Amerika Syarikat dan Sepanyol.

Virus selsema babi di bawah mikroskop.

Tanda-tanda dan gejala

Tanda dan gejala selsema babi pada manusia adalah serupa dengan gejala selsema manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit-sakit badan, sakit kepala serta badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga sesetengah kes yang mengalami cirit-birit dan muntah.

Babi dan produknya masih selamat untuk dimakan. Tiada bukti mengaitkan selsema babi boleh dipindahkan melalui makanan sekiranya daging atau produk babi disediakan atau dimasak secara betul. Virus selsema babi boleh dihapuskan dengan suhu masakan melebihi 70°C, sejajar dengan panduan am bagi menyediakan daging babi dan daging lain.

Bagaimana jangkitan berlaku

Manusia selalunya dijangkiti selsema babi melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus selsema babi. Terdapat juga kes di mana manusia yang dijangkiti tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan haiwan ini atau persekitarannya. Jangkitan manusia kepada manusia yang telah dilaporkan adalah terhad kepada hubungan secara langsung.

Rawatan selsema babi

Kebanyakkan kes selsema babi yang dilaporkan sebelum ini pulih sepenuhnya daripada penyakit itu tanpa memerlukan rawatan dan antiviral.

Mereka yang dijangkiti virus selsema babi boleh menyebarkan penyakit ini selagi mereka mempunyai gejala penyakit dan boleh berlanjutan selama 7 hari daripada tarikh mendapat jangkitan (onset).

Kanak-kanak, terutamanya yang masih kecil, berpotensi menyebarkan penyakit ini pada tempoh yang lebih panjang.

Pencegahan selsema babi

Elakkan penyebaran kuman penyebab penyakit respiratori seperti selsema. Ambil langkah-langkah berikut:

  • Jika anda batuk atau bersin:
    • Lindungi hidung dan mulut anda dengan tisu atau sapu tangan
    • Buang tisu yang telah digunakan di bakul sampah
    • Basuh tangan dengan sabun dan air bersih
  • Amalkan kebersihan diri. Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, terutamanya selepas anda batuk. Pembersih tangan berasaskan alkohol sangat berkesan.
  • Cuba elakkan berhubung rapat dengan mereka yang sakit.
  • Jika anda sakit kerana selsema, duduk di rumah dan hadkan hubungan dengan orang lain bagi memastikan anda tidak menjangkiti mereka.
  • Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut anda.
  • Segera dapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berdekatan sekiranya anda mengalami tanda dan gejala penyakit setelah pulang dari negara atau kawasan yang dijangkiti selsema babi.

Setakat ini belum ada vaksin untuk penyakit selsema babi. Vaksin influenza bermusim yang dihasilkan mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak mengandungi virus selsema babi. Tidak juga diketahui sama ada vaksin bermusim boleh menyediakan perlindungan silang bagi mencegah jangkitan virus selsema babi.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.