Penyakit Prolaktinoma – Punca, Tanda dan Rawatan

Prolaktinoma atau ketumbuhan pada kelenjar pituitari ini di katakan salah satu daripada punca seseorang wanita tidak subur.

Kelenjar pituitari yang terletak pada bahagian bawah otak berhampiran antara hidung dan mata ini sememangnya mempunyai peranan terpenting dalam mentadbirkan biologi tubuh manusia.

Fungsi Kelenjar Pituitari

Selain berfungsi menghasilkan hormon untuk keperluan tubuh manusia, kelenjar ini juga bertindak sebagai ketua yang mengawal kelenjar-kelenjar lain untuk menjalankan fungsi masing-masing.

Kelenjar sebesar kacang pea ini berperanan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 10 jenis hormon yang berbeza-beza dalam tubuh manusia.

Antara fungsi penting kelenjar ini termasuk menghasilkan:

  • hormon tumbesaran
  • hormon merangsang kelenjar adrenal (ACTH)
  • hormon merangsang kelenjar tiroid
  • hormon merangsang organ seksual
Kedudukan kelenjar pituitari

Namun, seperti organ-organ tubuh yang lain, kelenjar pituitari juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah tertentu yang mengganggu fungsinya.

Masalah yang paling kerap ditemui dan biasa berlaku ialah ketumbuhan. Kajian klinikal menunjukkan kekerapan ketumbuhan ini didapati dalam setiap 14 daripada 100,000 orang. Hasil bedah siasat yang dijalankan juga mendapati satu dalam 20 mayat yang dibedah mempunyai ketumbuhan pada kelenjar pituitari.

Dalam kebanyakan kes iaitu dalam 99 peratus ketumbuhan pada kelenjar yang ditemui ini hampir kesemuanya ketumbuhan pada kelenjar ini tidak berbahaya dan tidak mengeluarkan apa apa hormon atau tidak berfungsi.

Ketumbuhan yang tidak berbahaya (benign) pada kelenjar pituitari yang paling kerap dijumpai menghasilkan hormon prolaktin dan lebih dikenali sebagai prolaktinoma. Meskipun ketumbuhan ini tidak  berbahaya, tetapi ia boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah lain seperti ketidaksuburan. Prolaktinoma ini terdedah kepada sesiapa juga tanpa mengira faktor jantina.

Bagaimanapun, jika dibandingkan antara lelaki dan wanita, saiz ketumbuhan  ini agak lebih kecil pada wanita iaitu antara lima hingga enam milimeter. Manakala bagi lelaki pula, saiznya mungkin agak besar sedikit iaitu melebihi satu sentimeter.

Sekiranya ketumbuhan yang  membesar ini merebak, kelenjar yang terletak pada tulang nipis ini boleh pecah.  Apabila tulang ini pecah, air daripada otak boleh terkena jangkitan kuman yang dinamakan meningitis.

Ketinggian paras hormon Prolaktin

Biasanya paras hormon prolaktin akan meningkat dalam darah semasa seseorang wanita hamil. Peningkatan paras hormon sebagai merangsang dan menyediakan buah dada untuk menghasilkan susu. Bagaimanapun, selepas wanita terbabit melahirkan anak paras hormon prolaktin ini akan menurun.

Sebaliknya ia akan kekal pada paras yang sama sekiranya ibu terbabit terus menyusukan anaknya. Ini kerana tindakan bayi yang menghisap susu akan merangsang dan membantu mengekalkan paras hormon prolaktin ibu.

Punca hormon Prolaktin tinggi

Antara punca penting ketinggian hormon prolaktin ialah:

  • ketumbuhan
  • penyakit hipotiroid (kekurangan hormon tiroid)
  • ubat-ubatan yang digunakan untuk menahan muntah
  • ubat sakit mental
Ketumbuhan pada kelenjar pituitari

Tanda-tanda dan Gejala

Tanda-tanda seseorang yang menghadapi masalah ini berbeza antara lelaki dan wanita.

Bagaimanapun, bagi wanita tanda-tanda ini dapat di lihat melalui ketiadaan pusingan haid atau pusingan haid yang tidak tetap Pada peringkat awal, wanita terbabit mengalami pusingan haid yang tidak tetap. Namun, lama-kelamaan, pusingan haid tersebut terus tiada.

Wanita terbabit mungkin merasakan bahawa mereka hamil, namun apabila ujian dijalankan mendapati wanita tersebut tidak hamil.

Prolaktinoma atau ketumbuhan pada kelenjar pituitari ini di katakan salah satu daripada punca seseorang wanita tidak subur. Biasanya, masalah ini dihadapi oleh wanita dalam peringkat umur produktif iaitu antara 20 hingga 30 tahun.

Selain itu, keluar susu berwarna putih dari buah dada dengan sendirinya atau selepas dipicit, secara tidak langsung masalah ini menimbulkan rasa tidak selesa kepada pesakit.  Pengeluaran susu ini menunjukkan bahawa berlakunya penghasilan hormon prolaktin agak tinggi.

Bagi kaum lelaki masalah ini agak sukar dikesan kerana ia tidak menunjukkan tanda-tanda yang cukup jelas. Biasanya pesakit lelaki yang datang berjumpa doktor pada peringkat yang agak lewat iaitu dalam lingkungan umur 40 tahun.

Mereka mengadu menghadapi masalah seperti sakit kepala, mati pucuk atau gangguan penglihatan. Tanda-tanda ini menunjukkan bahawa ketumbuhan tersebut telah membesar.

Diagnosis

Pengesahan masalah ini akan disahkan melalui ujian darah untuk mengukur paras prolaktin dalam darah.

Pesakit perlu dipastikan bahawa mereka:

  • tidak mengalami masalah hipotiroid
  • tidak mengamalkan ubat-ubatan yang meningkatkan paras prolaktin 

Sekiranya ujian mendapati kedua-dua sebab ini bukan punca meningkatnya paras prolaktin, sehubungan itu pesakit disahkan mempunyai ketumbuhan pada kelenjar pituitari. Penemuan ini akan disahkan melalui imbasan otak (brain scan) atau MRI (Magnetic Resonance Imaging).

Rawatan

Rawatan ubat-ubatan seperti ‘Dopamine Agonist’ atau ‘ Bromocriptine’ yang dimakan tiga kali sehari dapat membantu menurunkan paras hormon prolaktin yang tinggi. Selain itu, ia juga membantu mengurangkan saiz ketumbuhan sekiranya ia diamalkan berterusan untuk beberapa tahun.

Hasil rawatan ini, wanita yang tidak mengalami pusingan haid akan mengalami pusingan tersebut dan peluang untuk hamil adalah tinggi. Satu masalah dengan penggunaan ‘bromocriptine’ ialah kesan sampingan yang kurang menyenangkan seperti pening, rasa loya dan rasa mahu pitam.

Bagi mereka ini, sekarang sudah terdapat ubat alternatif yang lebih berkesan dan juga mempunyai kurang kesan sampingan seperti ‘cabergoline’ yang perlu diambil dua atau tiga kali seminggu sahaja.

Rawatan pembedahan

Pembedahan trans sphenoidal akan dilakukan oleh pakar bedah otak atau juga pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT). Rawatan ini dilakukan jika rawatan ubat ubatan tidak mendatangkan kesan yang diingini.

Bagaimanapun, sekiranya ketumbuhan tersebut agak besar dan tidak boleh dikeluarkan, kombinasi ubat bromocriptine dan radioterapi akan dilakukan.

Namun, pesakit perlu mematuhi nasihat doktor dengan memakan ubat-ubatan untuk memastikan keberkesanan rawatan.

Laluan yang digunakan untuk membuang ketumbuhan pituitari

Pencegahan

Ketumbuhan pada kelenjar pituitari tidak boleh dicegah kerana ia tidak menimbulkan sebarang kesakitan dan bukan semua ketumbuhan perlu dirawat.

Bagaimanapun sekiranya pesakit mengalami tanda-tanda tertentu, terutama bagi pesakit wanita mereka perlu menjalani beberapa ujian seperti:

  • pengesahan bahawa mereka tidak hamil
  • ujian darah untuk mengukur paras prolaktin

Komplikasi

Ketumbuhan pada kelenjar ini boleh menimbulkan komplikasi seperti:

Menekan bahagian lain

Saiz ketumbuhan yang besar pada kelenjar tersebut boleh menyebabkannya menekan bahagian lain yang terletak berhampiran kelenjar. Ini termasuklah bahagian saraf pada mata dan lain-lain bahagian yang menyebabkannya tidak boleh berfungsi seperti biasa dan menyebabkan gangguan penglihatan.

Sekiranya ketumbuhan tersebut merebak ke bahagian tepi dan mengenai saluran darah dan saraf yang mengawal gerakan mata, ia menyebabkan saraf tersebut ditekan.

Saraf yang ditekan oleh ketumbuhan ini mengakibatkan individu terbabit mengalami masalah penglihatan berganda (double vision).

Masalah fungsi kelenjar terbabit

Ketumbuhan pada kelenjar tersebut boleh menyebabkan  pengeluaran hormon yang banyak bergantung kepada sel yang terlibat. Sekiranya ia melibatkan sel prolaktin, seseorang itu akan menghadapi masalah prolaktinoma (seperti di atas).

Sebaliknya, sekiranya ia membabitkan hormon yang merangsang kelenjar adrenal (Adrenal Cortico Trophic Hormon), di mana penghasilan hormon ini berlebihan individu terbabit akan mengalami penyakit Sindrom Cushing.

Selain itu, sekiranya ia melibatkan hormon tumbesaran (growth hormon), individu terbabit dikategorikan menghidap penyakit acromegaly. Ketumbuhan tersebut juga boleh menyebabkan pengurangan fungsi kelenjar pituitari apabila ketumbuhan menekan bahagian pituitari yang lain.

Pesakit sedemikian perlu mengambil rawatan hormon untuk menggantikan hormon yang gagal dikeluarkan seperti hormon tiroid, hormon kortisol dan hormon seks.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.