Penyakit Endometriosis – Simptom dan Punca

Tisu endometrium yang tumbuh di luar rahim masih bertindak seperti rahim iaitu dengan menjadi tebal dan akan gugur serta berdarah setiap kali kitaran haid.

Penyakit endometriosis merupakan penyakit yang disebabkan tisu yang melapisi bahagian dalam rahim (tisu endometrium) telah tumbuh di luar rahim. Ianya boleh menyebabkan kesakitan ketika kitaran haid. Tisu endometrium ini boleh tumbuh pada bahagian ovari, tiub fallopian dan lapisan dalaman bahagian pelvis. Kadangkala ianya juga boleh melibatkan bahagian luar pelvis seperti abdomen.

Tisu endometrium yang tumbuh di luar rahim itu masih bertindak seperti rahim iaitu dengan menjadi tebal dan akan gugur serta berdarah setiap kali kitaran haid. Namun haid yang berlaku di luar rahim ini tidak dapat keluar seperti biasa dan akan terperangkap. Apabila endometriosis melibatkan ovari, ianya akan menghasilkan cyst yang dipanggil endometrioma. Tisu berdekatan juga akan mengalami iritasi yang boleh menyebabkan pembentukan parut dan pelekatan antara tisu dan organ berdekatan (adhesion).

Endometriosis boleh menyebabkan kesakitan yang teruk terutamanya ketika sedang datang haid. Masalah kesuburan juga boleh berlaku. Namun terdapat rawatan berkesan untuk masalah endometriosis.

punca penyakit endometriosis
Endometriosis disebabkan tisu endometrium yang tumbuh di luar rahim

Tanda-tanda dan simptom

Simptom utama endometriosis adalah sakit di bahagian pelvis yang berkaitan dengan kitaran haid. Walaupun ramai yang mengalami kekejangan ketika haid namun pesakit endometriosis mengalami kesakitan yang lebih teruk dari biasa. Semakin lama kesakitan ini akan menjadi lebih teruk.

Antara tanda-tanda penyakit endometriosis adalah:

  • Haid yang menyakitkan (dysmenorrhea). Sakit dan kekejangan di bahagian pelvis yang bermula sebelum dan bersambung beberapa hari selepas datang haid. Kesakitan ini juga boleh menular ke bahagian belakang dan abdomen.
  • Sakit ketika melakukan hubungan seks. Ianya biasa terjadi kepada pesakit endometriosis.
  • Sakit ketika membuang air besar atau kecil. Kesakitan ini selalu berlaku ketika datang haid.
  • Pendarahan yang banyak. Kadangkala darah haid lebih banyak dari biasa ataupun berdarah di antara kitaran haid (pendarahan intermenstrual)
  • Tanda-tanda lain. Anda selalu keletihan, cirit-birit, sembelit, perut kembung atau muntah-muntah ketika sedang datang haid.

Tahap kesakitan selalunya tidak berkaitan dengan tahap keterukan penyakit. Anda boleh mempunyai endometrisis ringan tetapi kesakitan yang teruk dan ada juga pesakit yang mempunyai endometriosis teruk tetapi tiada kesakitan ketika datang haid.

Endometriosis juga boleh dikelirukan dengan penyakit lain yang menyebabkan kesakitan pelvis seperti penyakit keradangan pelvis (PID) ataupun cyst pada ovari. Ianya juga boleh dikelirukan dengan penyakit sindrom iritasi usus (IBS) yang menyebabkan masalah cirit-birit, sembelit dan kekejangan abdomen. IBS boleh hadir bersama-sama endometriois yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor jika anda mempunyai simptom dan tanda sepeti penyakit endometriosis.

Diagnosis dan rawatan endometriois boleh menjadi satu cabaran dan diagnosis awal yang melibatkan disiplin berbeza selalunya membuahkan hasil yang lebih baik dari segi rawatan.

Punca

Walaupun punca sebenar endometriosis masih belum dapat dipastikan, namun antara faktor yang mungkin menjadi puncanya adalah:

  • Aliran haid terbalik. Kadangakala darah haid akan mengalir ke atas dan melalui tiub fallopian masuk ke dalam bahagian pelvis. Sel endometrium akan melekat pada dinding tiub fallopian dan pelvis dan menebal seterusnya berdarah apabila tiba kitaran haid.
  • Transformasi sel peritoneum. Terdapat ‘teori induksi’ di mana pengkaji mencadangkan bahawa hormon dan faktor imuniti berupaya menukar sel peritoneum yang selalunya melapisi bahagian dalam abdomen kepada sel endometrium yang melapisi rahim.
  • Transformasi sel embrionik. Hormon seperti estrogen mungkin boleh menukar sel embrionik (sel yang belum ada fungsi spesifik) dalam badan kepada sel endometrium ketika akil baligh.
  • Sel tertanam ketika pembedahan. Ketika pembedahan seperti histerektomi (pembuangan rahim) ataupun pembedahan Caesarean, kemungkinan sel endometrium termasuk ke bahagian pelvis atau melekat pada bahagian belahan.
  • Sel endometrium diangkut. Saluran darah atau sistem limfatik mungkin boleh mengangkut sel endometrium ke bahagian tubuh yang lain.
  • Masalah sistem imuniti. Masalah sistem imuniti mungkin menyebabkan badan tidak dapat mengenalpasti atau memusnahkan sel endometrium yang tumbuh di luar rahim.

Faktor risiko

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit endometriosis seperti:

  • Tidak pernah beranak
  • Kitaran haid bermula awal
  • Menopause yang lewat
  • Kitaran haid pendek – kurang dari 27 hari
  • Datang haid dengan jumlah yang banyak melebihi tujuh hari
  • Badan menghasilkan jumlah estrogen yang banyak ataupun pendedahan kepada estrogen yang tinggi
  • Kurus (BMI kurang)
  • Ahli keluarga yang mempunyai sejarah endometriosis
  • Keadaan di mana aliran darah haid keluar terganggu
  • Struktur saluran peranakan yang tidak normal

Endopmetriosis selalunya bermula selepas beberapa tahun bermulanya kitaran haid (menarche). Tanda-tanda dan simptom endometriosis boleh berkurang apabila mengandung dan hilang apabila sudah menopaus melainkan anda mengambil hormon estrogen.

Komplikasi

Masalah kesuburan

Komplikasi utama endometriosis adalah masalah kesuburan. Lebih kurang satu pertiga sehingga separuh penghidap endometriosis sukar untuk mengandung.

Untuk mengandung, telur mestilah dilepaskan dari ovari dan menuju ke tiub fallopian untuk disenyawakan oleh sperma sebelum ianya melekat pada dinding rahim untuk proses pertumbuhan. Endometriosis boleh menyebabkan halangan pada tiub tersebut dan telur serta sperma tidak dapat disenyawakan. Selain itu endometriois juga boleh merosakkan telur atau sperma.

Walau bagaimanapun, pesakit yang menghidap endometriosis ringan dan sederhana masih mampu untuk mengandung dan beranak. Doktor akan menasihatkan penghidap endometriosis untuk terus mendapatkan anak sebaik berkahwin kerana penyakit ini mungkin boleh menjadi lebih teruk.

Risiko kanser

Pesakit endometriosis lebih berisiko untuk mendapat kanser ovari. Namun risiko mendapat kanser ovari secara umumnya adalah rendah. Sesetengah kajian mencadangkan risiko kanser disebabkan endometriosis adalah rendah. Selain itu, endometriosis juga boleh meningkatkan risiko mendapat adenokarsinoma yang terjadi pada lewat usia.

Bacaan lanjut berkenaan penyakit endometriosis:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.