Penyakit Angin Pasang (Inguinal Hernia) – Punca dan Pencegahan

Penyakit angin pasang selalunya tidak merbahaya tetapi tidak akan sembuh dengan sendiri. Lama-kelamaan jika dibiarkan boleh menyebabkan komplikasi.

Penyakit angin pasang atau pun inguinal hernia berlaku apabila tisu di dalam rongga abdomen seperti usus terkeluar disebabkan kelemahan dinding bahagian abdomen. Ini akan menyebabkan bengkak di bahagian inguinal (bahagian bawah abdomen seperti dalam gambar). Bengkak ini boleh membesar apabila pesakit batuk, menunduk ataupun mengangkat benda berat.

Penyakit angin pasang selalunya tidak merbahaya tetapi ianya tidak akan sembuh dengan sendiri. Lama-kelamaan jika dibiarkan boleh menyebabkan komplikasi yang mampu mengancam nyawa. Penyakit ini akan pulih dengan pembedahan untuk menguatkan semula dinding bahagian abdomen yang lemah.

Kawasan inguinal dan tisu (usus) terkeluar

Tanda-tanda dan Simptom Angin Pasang

Tanda-tanda angin pasang (hernia) termasuklah:

  • Bengkak di sebelah atau kedua-dua bahagian inguinal terutamanya apabila berdiri dan akan membesar apabila batuk atau mengangkat barang berat.
  • Bengkak tersebut boleh ditolak semula masuk ke bahagian abdomen dan akan surut
  • Bengkak tersebut boleh melarat sehingga ke bahagian buah zakar jika dibiarkan.
  • Sedikit sakit atau rasa tertarik di bahagian bengkak.
  • Rasa tidak selesa apabila batuk, menunduk dan mengangkat barang.
  • Rasa lemah atau tekanan di bahagian bawah perut.

Tanda angin pasang pada kanak-kanak

Angin pasang pada kanak-kanak adalah kerana kelemahan di bahagian abdomen sejak lahir. Bengkak akan kelihatan apabila bayi menangis, batuk atau meneran untuk berak. Bayi mungkin akan kerap menangis atau kurang selera.

Pada kanak-kanak yang lebih tua, bengkak akan kelihatan jika mereka berdiri, batuk dan meneran.

Angin pasang tersepit (incarcerated hernia)

Jika bengkak tersebut tidak dapat ditolak semula ke abdomen, tisu di bahagian dalam mungkin terperangkap di celah dinding abdomen. Hal ini boleh mengancam nyawa kerana tisu yang terperangkap akan kurang aliran darah dan tisu tersebut akan lemas dan mati (strangulated).

Tanda-tanda hernia yang tersepit termasuklah:

  • Pening dan muntah
  • Demam
  • Sakit yang tiba-tiba menjadi teruk
  • Bengkak bertukar menjadi warna merah, kebiruan atau gelap.
  • Tidak boleh berak atau kentut
Jika dibiarkan mampu menjadi besar

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor segera jika terdapat tanda-tanda angin pasang tersepit seperti dinyatakan di atas. Pembedahan kecemasan mungkin perlu dilakukan untuk memastikan tisu yang tersepit tidak mati dan membahayakan nyawa.

Jika terdapat tanda-tanda angin pasang biasa, boleh berjumpa dengan doktor bedah untuk menjalankan pembedahan. Biasanya temujanji akan diberikan untuk pembedahan tersebut melainkan terdapat tanda-tanda komplikasi yang memerlukan pembedahan segera.

Punca Angin Pasang

Selalunya tiada punca khusus tetapi faktor di bawah boleh meningkatkan risiko:

  • Tekanan di dalam rongga abdomen meningkat (seperti mengangkat berat)
  • Terdapat kelemahan pada otot abdomen (seperti bekas kemalangan)
  • Selalu meneran ketika berak atau kencing
  • Aktiviti berat seperti pekerjaan
  • Mengandung
  • Batuk atau selsema kronik

Kebanyakan pesakit hernia selalunya memang mempunyai kelemahan otot abdomen sejak lahir kerana lapisan peritoneum tidak tertutup rapat. Sesetengah orang pula mempunyai kelemahan dinding abdomen disebabkan penuaan, kerja berat ataupun batuk yang kronik disebabkan merokok.

Kelemahan dinding abdomen juga boleh disebabkan kesan kemalangan atau pembedahan lampau.

Selain di bahagian inguinal, angin pasang juga boleh berlaku di bahagian pusat bagi kanak-kanak, bahagian pelipat peha dan kawasan bekas pembedahan.

Faktor risiko angin pasang

Faktor yang boleh menyebabkan angin pasang termasuklah:

  • Lelaki. Lelaki mempunyai risiko 8 kali ganda berbanding wanita.
  • Penuaan. Otot abdomen semakin lemah apabila meningkat tua.
  • Sejarah keluarga. Terdapat ahli keluarga atau saudara terdekat menghidap angin pasang.
  • Batuk yang berterusan terutamanya perokok.
  • Sembelit berterusan yang menyebabkan meneran ketika berak
  • Mengandung. Mengandung akan menyebabkan kelemahan otot abdomen dan meningkatkan tekanan dalam rongga abdomen.
  • Bagi bayi jika kelahiran pramatang atau berat kurang

Komplikasi angin pasang

Komplikasi hernia atau angin pasang termasuklan:

  • Tekanan pada tisu sekeliling yang menyebabkan kesakitan
  • Hernia yang tersepit (incarcerated hernia)
  • Kematian tisu akibat kurang bekalan darah – ini boleh mengancam nyawa dan memerlukan pembedahan segera untuk membebaskan tisu tersebut
Kawasan yang boleh berlaku angin pasang

Pencegahan angin pasang

Jika kelemahan dinding abdomen berlaku sejak lahir, ianya tidak dapat dicegah. Tetapi perkara berikut boleh mengurangkan risiko mendapat hernia:

  • Menjaga berat badan
  • Makanan tinggi fiber bagi mengelak sembelit
  • Jangan selalu mengangkat barang berat
  • Berhenti merokok bagi mengelak batuk yang kronik

Bacaan selanjutnya:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.