Pembedahan Mengikat Saluran Peranakan (Bilateral Tubal Ligation)

Salah satu cara mencegah kehamilan adalah dengan pembedahan mengikat saluran peranakan yang juga dikenali sebagai Bilateral Tubal Ligation untuk wanita.

Kaedah-kaedah pencegah kehamilan merupakan satu keperluan penting bagi merancang saiz dan masa yang tepat untuk mendapatkan anak. Ini adalah penting terutama bagi mereka yang baru bersalin atau mempunyai masalah kesihatan mengandung untuk mengelak dari mengandung. Salah satu cara mencegah kehamilan adalah dengan pembedahan mengikat saluran peranakan yang juga dikenali sebagai Bilateral Tubal Ligation untuk wanita.

Kenapa pembedahan ini dilakukan

Pembedahan Bilateral Tubal Ligation merupakan satu pembedahan untuk memotong dan mengikat kedua-dua saluran peranakan “fallopian” bagi wanita. Pembedahan Bilateral Tubal Ligation akan menghalang telur daripada sampai ke rahim oleh itu menghalang proses persenyawaan antara telur dengan sperma.

Biasanya pembedahan Bilateral Tubal Ligation hanya dilakukan pada wanita yang sudah mempunyai anak dan tidak lagi ingin melahirkan anak. Pembedahan Bilateral Tubal Ligation amat berkesan sehingga 100%. Pembedahan Bilateral Tubal Ligation dapat meningkatkan seselesaan hubungan kelamin disebabkan tidak terdapat gangguan ketika bersama.

Kawasan yang diikat dan dipotong ketika pembedahan

Risiko Pembedahan

Pembedahan ini melibatkan belahan di bahagian abdomen dan memerlukan ubat bius. Antara risiko pembedahan ini termasuklan:

  • Kerosakan kepada pundi kencing, usus atau saluran darah utama
  • Kesan sampingan ubat bius
  • Jangkitan di tempat belahan
  • Sakit perut atau bahagian pelvic selepas pembedahan
  • Kegagalan pembedahan yang menyebabkan mengandung semula

Risiko lebih tinggi pada jika anda ada:

  • Mempunyai sejarah pembedahan abdomen atau pelvis yang lampau
  • Obesiti
  • Kencing manis

Bila pembedahan dilakukan

Pembedahan mengikat salur peranakan selalunya dilakukan:

  • Selepas kelahiran secara normal dengan membuat belahan kecil di bawah pusat
  • Semasa pembedahan Caesarean Section setelah bayi dikeluarkan
  • Bila-bila masa melalui temujanji pesakit luar, pembedahan elektif selalunya menggunakan laparoskop

Penjagaan selepas pembedahan

Selalunya setelah pembedahan, anda tidak memerlukan masa yang lama sebelum dibenarkan keluar dari wad. Selain kurang selasa di bahagian perut, anda mungkin juga mengalami:

  • Sakit perut atau memulas
  • Keletihan
  • Pening
  • Rasa mual
  • Sakit bahu

Doktor dan jururawat akan memberi nasihat penjagaan luka pembedahan sebelum anda keluar.

Anda boleh mandi selepas 48 jam prosedur tetapi jangan meregangkan atau gosok di tempat jahitan. Keringkan tempat jahitan selepas mandi.

Elakkan mengangkat barang berat atau hubungan seks dahulu dan sambung aktiviti harian normal secara perlahan-lahan apabila luka semakin sembuh dan badan anda lebih segar. Sila berjumpa doktor segera jika terdapat sebarang masalah seperti berikut:

  • Demam melebihi 38 darjah celcius
  • Pengsan
  • Sakit perut yang teruk dan tidak berkurang
  • Pendarahan melalui tempat jahitan
  • Nanah atau bau busuk di tempat jahitan

Kesan jangka panjang

Secara asasnya pembedahan Bilateral Tubal Ligation tidak dapat diubah kembali, dan wanita yang telah melalui pembedahan Bilateral Tubal Ligation tidak lagi dapat melahirkan anak. Bagaimanapun, sekiranya sesuai dan berkemampuan, terdapat pembedahan untuk menyambungkan kembali saluran peranakan “fallopian”. Tetapi kejayaan pembedahan ini tidaklah 100% berjaya. Selain itu, kaedah permanian berhadas “test tube” juga boleh digunakan.

Penggunaan Pembedahan Bilateral Tubal Ligation tidak mampu menghalang daripada jangkitan penyakit kelamin. Penggunaan Pembedahan Bilateral Tubal Ligation hanyalah bertujuan untuk merancang kehamilan semata-mata.

Jika Pembedahan Bilateral Tubal Ligation gagal dan anda mengandung semula, terdapat kemungkinan kandungan tersebut berada di luar rahim.

Bagi wanita yang tidak sesuai menggunakan kaedah Pembedahan Bilateral Tubal Ligation, masih terdapat cara-cara lain bagi mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang. Anda perlu berbincang dengan doktor  agar dapat memastikan kaedah yang digunakan bersesuaian dengan diri anda.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.