Panau – Punca dan Rawatan

Jika masalah panau tidak hilang dengan menggunakan ubat yang dibeli di farmasi, anda mungkin memerlukan ubat yang perlu dipreskripsi oleh doktor.
punca dan rawatan panau

Panau ataupun nama saintifiknya tinea versicolor merupakan sejenis jangkitan kulat pada kulit. Kulat ini akan mengubah warna kulit menyebabkannya bertompok-tompok. Tompokan ini boleh jadi lebih cerah ataupun lebih gelap daripada warna asal kulit dan selalunya terjadi pada bahagian tubuh dan bahu.

Panau selalu terjadi pada umur remaja dan awal dewasa. Pendedahan kepada cahaya matahari menyebabkan panau lebih mudah kelihatan. Panau tidak menyakitkan dan tidak berjangkit tetapi boleh menyebabkan perasaan malu dan rendah diri.

Ubat anti kulat dalam bentuk krim, losyen dan syampu dapat merawat masalah panau. Walaupun ubat sudah diberikan namun warna kulit hanya akan normal selepas beberapa minggu atau bulan. Panau boleh kembali semula terutamanya jika tinggal di kawasan panas dan lembap seperti di Malaysia.

Tanda-tanda dan simptom

Antara tanda-tanda panau termasuklah:

  • Tompokan pada kulit di bahagian belakang, dada, leher, atau lengan yang boleh kelihatan lebih cerah atau gelap dari warna asal
  • Sedikit kegatalan
  • Mengelupas
Panau pada leher

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor jika:

  • Jika tidak sembuh selepas mengambil rawatan sendiri
  • Panau sentiasa berulang
  • Panau melibatkan kawasan yang luas

Punca

Selalunya kulat yang menyebabkan panau boleh dijumpai pada orang yang normal juga. Namun kadangkala ia membesar di luar kawalan dan menyebabkan panau. Terdapat beberapa faktor menyumbang kepada masalah ini iaitu:

  • Cuaca yang panas dan lembap
  • Kulit berminyak
  • Perubahan hormon
  • Sistem imuniti yang lemah

Diagnosis

Diagnosis boleh dibuat hanya melalui pemerhatian dan pemeriksaan fizikal. Untuk pengesahan boleh juga diambil sampel kulit untuk dilihat di bawah mikroskop tetapi jarang dilakukan.

Rawatan panau

Jika masalah panau sangat teruk atau tidak hilang menggunakan ubatan yang dibeli di farmasi, anda mungkin memerlukan ubat yang lebih kuat yang perlu dipreskripsi oleh doktor. Ubat ini boleh datang dalam bentuk sapuan ataupun yang perlu dimakan termasuk:

  • Ketoconazole (Ketoconazole, Nizoral, lain-lain) krim, gel atau syampu
  • Ciclopirox (Loprox, Penlac) krim, gel atau syampu
  • Fluconazole (Diflucan) tablet atau minum
  • Itraconazole (Onmel, Sporanox) tablet, kapsul atau minum
  • Selenium sulfide (Selsun) 2.5 % losyen atau syampu

Walaupun selepas rawatan, warna kulit anda akan tidak sekata selama beberapa minggu atau bulan. Panau juga boleh kembali jika terdapat faktor risiko seperti dinyatakan di atas. Jika selalu berulang anda mungkin perlu mengambil ubat pencegahan.

Pencegahan panau

Untuk mencegah panau daripada berulang, doktor boleh memberikan ubat preskripsi yang perlu digunakan sekali atau dua kali setiap bulan atau ketika cuaca panas dan lembap sahaja.

Antara ubat pencegahan ini termasuklah:

  • Selenium sulfide (Selsun) 2.5 % losyen atau syampu
  • Ketoconazole (Ketoconazole, Nizoral, lain-lain) krim, gel atau syampu
  • IItraconazole (Onmel, Sporanox) tablet, kapsul atau minum
  • Fluconazole (Diflucan) tablet atau minum
Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.