Osteoartritis – Simptom dan Punca

Osteoartritis boleh terjadi pada mana-mana sendi tetapi selalunya pada sendi bahagian tangan, lutut, pinggang dan juga tulang belakang.

Osteoartritis merupakan sejenis keradangan sendi yang paling kerap terjadi. Ianya berlaku apabila lapisan tulang rawan (kartilaj) yang melindungi sendi menjadi rosak akibat proses penuaan atau penggunaan yang kerap.

Osteoartritis boleh terjadi pada mana-mana sendi tetapi selalunya pada sendi bahagian tangan, lutut, pinggang dan juga tulang belakang.

Simptom osteoartritis boleh dirawat dan dikurangkan namun kerosakan yang telah berlaku pada sendi sukar dipulihkan semula. Gaya hidup aktif, penjagaan berat badan optimum dan rawatan tertentu dapat membantu memperlahankan kerosakan sendi dan mengekalkan fungsinya.

Sendi normal (kiri) dan sendi dengan osteoartritis (kanan)

Tanda-tanda dan simptom

Simptom osteoartritis selalunya berlaku secara perlahan-lahan dan akan menjadi semakin teruk. Antara tanda-tanda osteoartritis termasuklah:

  • Sakit sendi. Selalunya rasa sakit apabila melakukan pergerakan ataupun selepas bergerak.
  • Sendi sukar digerakkan terutamanya apabila bangun dari tidur atau jika tidak bergerak untuk jangka masa yang lama.
  • Sendi merasa sakit apabila ditekan atau disentuh.
  • Hilang fleksibiliti. Sendi tidak dapat dibengkokkan atau diluruskan sepenuhnya.
  • Rasa bergesel. Terdapat bunyi seperti bergesel dan gegaran apabila sendi digerakkan. Mungkin terdapat bunyi pop.
  • Serpihan tulang. Kadangkala terasa seperti ada serpihan tulang di kawasan yang terlibat.
  • Bengkak. Disebabkan keradangan pada tisu sekeliling sendi.

Bila perlu berjumpa doktor

Jika terdapat kesakitan atau sendi sukar digerakkan dan tidak pulih ataupun menjadi semakin teruk, jumpa doktor dengan segera untuk pemeriksaan.

Punca osteoartritis

Osteoartritis berlaku apabila tulang rawan yang berfungsi sebagai lapisan kusyen antara tulang pada sendi menjadi semakin rosak. Tulang rawan merupakan tisu lembut dan licin pada hujung tulang yang membolehkan pergerakan sendi menjadi lancar.

Tulang rawan boleh menjadi semakin rosak akibat penuaan, kekerapan digunakan dan juga trauma seperti kemalangan. Apabila tulang rawan rosak, tulang pada sendi akan bergesel lalu menyebabkan osteoartritis.

Osteoartritis selalunya berpunca daripada kerosakan tulang rawan akibat pergerakan. Selain tulang rawan, osteoartritis juga boleh merosakkan keseluruhan sendi. Lama kelamaan tulang akan menjadi haus dan kasar akibat geselan dan tisu serta otot yang melekat pada bahagian tulang juga boleh cedera. Ianya juga akan menyebabkan keradangan di dalam sendi.

Faktor risiko

Faktor yang boleh meningkatkan risiko osteoartritis termasuklah:

  • Penuaan. Risiko osteoartritis meningkat apabila umur semakin tua.
  • Jantina. Wanita lebih berisiko mendapat osteoartritis dan puncanya masih tidak dapat dipastikan.
  • Obesiti. Berat badan berlebihan menybabkan terdapat lebihan beban pada sendi terutamanya lutut dan pinggang dan mempercepatkan osteoartritis. Selain itu tisu lemak juga menghasilkan protein yang menyebabkan keradangan sendi.
  • Kecederaan sendi. Kecederaan seperti kemalangan, bersukan dan sebagainya dapat meningkatkan risiko osteoartritis. Kecederaan yang berlaku pada masa lampau dan telah sembuh juga masih boleh meningkatkan risiko ini.
  • Tekanan berterusan pada sendi. Jika pekerjaan anda memerlukan penggunaan sendi yang kerap seperti atlet profesional, anda lebih berisiko tinggi mendapat osteoartritis.
  • Genetik. Terdapat sesetengah gen yang menyebabkan lebih mudah mendapat osteoartritis.
  • Kecacatan tulang. Kecacatan tulang atau sendi sejak lahir boleh meningkatkan risiko penyakit ini.
  • Penyakit metabolik. Terdapat penyakit metabolik tertentu yang boleh meningkatkan risiko osteoartritis seperti kencing manis dan hemachromatosis (badan terlalu banyak zat besi).

Komplikasi

Osteoartritis merupakan penyakit kemerosotan sendi yang akan menjadi semakin teruk sehingga anda boleh mendapat kesakitan pada sendi. Sakit dan kesukaran pergerakan pada sendi boleh menyukarkan penghidap melakukan aktiviti harian.

Penghidap penyakit ini juga terdedah kepada kemurungan dan kesukaran tidur akibat sakit dan sukar bergerak.

Bacaan lanjut berkenaan osteoartritis:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.