Osteoartritis – Diagnosis dan Rawatan

Osteoartritis tidak dapat dipulihkan semula tetapi rawatan awal dapat membantu mengurangkan kesakitan dan mengekalkan fungsi sendi.

Diagnosis

Ketika pemeriksaan fizikal, doktor akan memeriksa sendi untuk melihat jika terdapat sebarang bengkak, kemerahan, kesakitan dan juga pergerakan sendi.

Ujian pengimejan

Untuk mendapatkan gambaran lebih jelas berkenaan sendi terlibat, ujian pengimejan berikut boleh dilakukan:

  • X-ray. Tulang rawan tidak dapat dilihat pada x-ray tetapi penyakit boleh dikesan jika terdapat pengurangan ruang antara tulang pada sendi. X-ray juga boleh menunjukkan jika tulang telah rosak atau terdapat serpihan tulang.
  • Magnetic resonance imaging (MRI). Tujuan menggunakan MRI adalah untuk melihat keadaan tulang, tisu lembut dan tulang rawan. Selalunya jarang dilakukan.

Ujian makmal

Ujian darah ataupun cecair dalam sendi boleh membantu dalam melakukan diagnosis.

  • Ujian darah. Tiada ujian darah khas untuk osteoartritis tetapi boleh dilakukan jika doktor mengesyaki penyakit lain seperti jangkitan kuman dan rheumatoid artritis.
  • Analisis cecair sendi. Doktor mungkin akan mengambil sampel air dari sendi untuk mengesan sebarang keradangan atau jika doktor mengesyaki penyakit yang lain seperti jangkitan kuman dan gout.

Rawatan

Osteoartritis tidak dapat dipulihkan semula tetapi rawatan awal dapat membantu mengurangkan kesakitan dan mengekalkan fungsi sendi.

Ubat-ubatan

Ubat berikut mampu mengurangkan simptom osteoartritis terutamanya kesakitan:

  • Acetaminophen. Ubat ini boleh membantu penghidap osteoartritis yang mendapat kesakitan ringan dan sederhana. Kesan sampingan apabila diambil secara berlebihan adalah boleh menyebabkan kerosakan hati.
  • Nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs). Antara contoh ubat kumpulan ini adalah ibuprofen dan naproxen sodium. Ianya perlu diambil pada dos yang betul dan boleh melegakan kesakitan. Antara kesan sampingannya termasuklah, sakit perut, masalah jantung, pendarahan, dan kerosakan buah pinggang. Terdapat juga NSAIDs jenis gel yang kurang kesan sampingan.
  • Duloxetine. Ubat ini selalunya digunakan untuk kemurungan namun dapat melegakan sakit kronik termasuk osteoartritis.

Terapi

  • Terapi fizikal. Ahli fisioterapi akan mengajar teknik senaman untuk menguatkan otot sekeliling sendi dan untuk meningkatkan pergerakan serta mengurangkan kesakitan. Senaman lain seperti berenang dan berjalan juga berkesan.
  • Terapi pekerjaan. Ahli terapi pekerjaan boleh membantu mengajar cara-cara melakukan aktiviti harian tanpa meletakkan beban berlebihan ke atas sendi. Contohnya penggunaan tandas duduk berbanding tandang cangkung.

Pembedahan dan prosedur yang lain

Jika rawatan konservatif tidak membantu, prosedur lain yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Suntikan kortisol. Suntikan ubat kortikosteroid boleh mengurangkan sakit sendi. Dalam prosedur ini, doktor akan memberikan bius setempat pada bahagian sendi dan akan memasukkan jarum ke dalam ruangan di antara sendi dan menyuntik ubat tersebut. Suntikan boleh diberikan sebanyak tiga ke empat kali setahun kerana pemberian yang kerap boleh merosakkan lagi sendi untuk jangka masa panjang.
  • Suntikan pelincir. Suntikan asid hyaluronik boleh memberikan kelegaan terhadap kesakitan kerana boleh mengurangkan geseran antara tulang namun ada kajian menunjukkan kesannya adalah sekadar placebo. Asid hyaluronik merupakan komponen yang sama seperti di dalam cecair pelincir sendi semulajadi.
  • Membentuk semula tulang. Jika osteoartritis telah merosakkan sebelah bahagian lutut, pembedahan osteotomi mungkin dapat membantu. Pakar tulang akan membuang tulang di bahagian atas atau bawah lutut dan membentuknya semula untuk mengurangkan beban ke atas bahagian yang terlibat.
  • Pembedahan gantian sendi. Pembedahan ini juga dikenali sebagai arthroplasty di mana pakar tulang akan membuang bahagian sendi yang rosak dan menggantikannya dengan bahagian besi atau sintetik. Risiko pembedahan termasuklah jangkitan dan pembekuan darah. Selain itu, sendi buatan juga lama kelamaan boleh menjadi longgar serta rosak dan perlu digantikan semula.
Besi dimasukkan pada lutut dalam pembedahan gantian sendi

Gaya hidup dan rawatan di rumah

Ambil tahu mengenai osteoartritis dan cara merawatnya, terutama yang berkaitan dengan perubahan gaya hidup yang dapat membantu mengurangkan simptom. Bersenam dan mengurangkan berat badan amat penting untuk meringankan beban pada sendi seterusnya mengurangkan kesakitan dan kesukaran bergerak.

  • Bersenam. Senaman impak rendah yang boleh meningkatkan kekuatan dan ketahanan otot di sekeliling sendi boleh menjadikan sendi anda lebih stabil. Cuba senaman berjalan, berbasikal atau berenang. Jika sendi semakin sakit, sila berhenti. Ini menandakan sendi anda tidak mampu menampung pergerakan yang dilakukan akibat kerosakan. Cuba lagi selepas kesakitan hilang tetapi kurangkan intensitinya.
  • Pengurangan berat badan. Berat badan berlebihan meletakkan beban berlebihan ke atas sendi seperti lutut dan pinggang. Pengurangan berat walaupun sedikit dapat membantu menghilangkan kesakitan. Jumpa pakar pemakanan untuk mendapatkan nasihat.

Perkara lain yang boleh dicuba termasuklah:

  • Terapi pergerakan. Yoga dan Tai Chi melibatkan pergerakan yang perlahan dan lembut tetapi dapat membantu meregangkan dan menguatkan otot serta sendi. Ianya juga membantu mengurangkan tekanan kerana menggabungkan teknik pernafasan dan relaksasi. Elakkan menggerakkan sendi ketika sakit.
  • Terapi panas dan sejuk. Kedua-dua keadaan sejuk dan panas boleh melegakan kesakitan. Keadaan panas dan lembap boleh melegakan otot dan mengurangkan kesakitan. Pek sejuk pula boleh membantu mengurangkan kesakitan otot selepas bersenam dan mengurangkan ketegangan otot.
  • Capsaican. Sapuan capsaicin iaitu ekstrak cili yang disapu pada bahagian luar sendi mungkin dapat membantu mengurangkan kesakitan. Boleh disapu tiga ke empat kali sehari untuk beberapa minggu.
  • Sokongan kasut. Alat sokongan di dalam kasut mungkin dapat membantu mengurangkan kesakitan ketika berdiri dan mngurangkan tekanan pada kaki.
  • Alat bantuan berjalan. Alat bantuan berjalan seperti tongkat dapat mengurangkan tekanan dan beban pada sendi lutut dan pinggang. Pegang tongkat pada bahagian berlawanan dengan sendi yang sakit. Dapatkan nasihat daripada ahli terapi pekerjaan.
  • Transcutaneous electrical nerve stimulation (TENS). Prosedur ini menggunakan elektrik voltan rendah untuk mengurangkan kesakitan namun untuk jangka pendek sahaja.

Perubatan alternatif

Perubatan tradisional dan alternatif yang boleh membantu pesakit osteoartritis termasuklah:

  • Akupuntur.Terdapat kajian menunjukkan akupuntur dapat mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi sendi pesakit osteoartritis.
  • Glukosamine dan kondroitin. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan terdapat kesan positif namun kajian lain menunjukkan ianya hanyalah kesan plasebo.
  • Avocado dan minyak kacang soya. Selalu digunakan di kalangan warga Eropah. Dikatakan mampu mengurangkan kesan keradangan sendi dan melambatkan kerosakan sendi.
  • Asid lemak Omega-3. Ianya terkandung di dalam minyak ikan dan lemak ikan, dikatakan mampu mengurangkan kesakitan dan memulihkan fungsi sendi.

Bincang dengan doktor anda sebelum mengambil apa-apa supplemen.

Sokongan dan adaptasi

Kebolehan untuk membiasakan diri apabila menghidap osteoartritis dapat membantu mengurangkan impak penyakit ini dalam kehidupan. Bincang dengan doktor anda jika anda mengalami tekanan atau susah melakukan perubahan dalam hidup. Dapatkan juga sokongan dari ahli keluarga dan rakan.

Bacaan lanjut berkenaan osteoartritis:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.