Neuritis Optik – Simptom dan Punca

Penyakit neuritis optik merupakan masalah yang serius kerana boleh menyebabkan hilang penglihatan dan dikaitkan dengan penyakit lain yang merbahaya.

Neuritis optik berlaku akibat keradangan dan kerosakan pada saraf optik – iaitu saraf yang menghantar isyarat daripada mata ke otak. Tanda-tanda neuritis optik termasuklah kesakitan ketika menggerakkan mata dan kehilangan penglihatan sementara pada sebelah mata.

Tanda-tanda neuritis optik boleh menjadi indikasi awal untuk penyakit sklerosis berbilang (multiple sclerosis) ataupun boleh berlaku pada lewat penyakit ini. Penyakit sklerosis berbilang merupakan penyakit yang menyebabkan keradangan dan kerosakan pada saraf otak termasuklah saraf optik.

Selain sklerosis berbilang, keradangan saraf optik juga boleh berlaku pada penyakit lain termasuk jangkitan kuman dan penyakit yang melibatkan sistem imuniti seperti lupus. Antara penyebab lain yang jarang berlaku adalah seperti penyakit neuromyelitis optika yang boleh menyebabkan keradangan pada saraf optik dan juga saraf tunjang.

Kebanyakan penghidap neuritis optik untuk kali pertama boleh pulih penglihatan mereka tanpa memerlukan sebarang rawatan. Ubat steroid dapat membantu mempercepatkan pemulihan penglihatan.

Tanda-tanda dan simptom

Neuritis optik selalunya melibatkan sebelah mata. Simptom-simptomnya termasuk:

  • Sakit mata. Penghidap neuritis optik akan sakit pada mata yang akan meningkat apabila menggerakkan mata. Sakit ini juga boleh dirasai di bahagian belakang mata.
  • Hilang penglihatan sebelah mata. Setiap penghidap akan merasai kurang penglihatan sementara tetapi tahap keterukannya berbeza. Ianya boleh terjadi dalam beberapa jam atau hari dan akan pulih semula dalam beberapa minggu. Kadangkala terdapat pesakit yang hilang penglihatan kekal.
  • Kurang medan penglihatan. Kehilangan medan penglihatan boleh berlaku sama ada di bahagian tengah atau tepi.
  • Hilang persepsi warna. Pesakit juga boleh kehilangan persepsi terhadap warna. Sesetengah warna kelihatan tidak menyerlah berbanding yang lain.
  • Gangguan cahaya. Sesetengah pesakit mendapat gangguan atau kelipan cahaya apabila menggerakkan mata.

Bila perlu berjumpa doktor

Masalah mata merupakan masalah yang serius kerana boleh menyebabkan hilang penglihatan dan ada yang dikaitkan dengan penyakit lain yang merbahaya. Jumpa doktor segera jika:

  • Terdapat simptom yang baru seperti sakit mata, gangguan penglihatan dan hilang penglihatan.
  • Simptom semakin teruk ataupun tidak berubah dengan rawatan awal.
  • Simptom yang lain seperti hilang penglihatan pada kedua belah mata, penglihatan berganda ataupun rasa lemah pada badan yang mungkin disebabkan masalah saraf yang lain.

Punca

Punca sebenar neuritis optik tidak diketahui. Ianya dipercayai berlaku apabila sistem imuniti badan telah tersilap menyerang bahagian yang melapisi saraf optik (myelin) lalu menyebabkan keradangan dan kerosakan kepada saraf tersebut.

Selalunya bahagian myelin adalah tempat di mana isyarat elektrik bergerak dari bahagian mata ke otak di mana ianya akan ditafsir kepada maklumat visual. Neuritis optik mengganggu proses ini lalu menyebabkan masalah penglihatan.

Penyakit imun berikut dikaitkan dengan neuritis optik:

  • Sklerosis berbilang. Penyakit sklerosis berbilang merupakan penyakit sistem imuniti badan yang menyerang bahagian myelin pada saraf otak. Apabila seseorang mendapat neuritis optik, risiko untuk mendapat sklerosis berbilang boleh meningkat sebanyak 50 peratus sepanjang hayat. Risiko akan lebih meningkat jika didapati terdapat kerosakan di otak apabila ujian MRI dilakukan.
  • Neuromyelitis optika. Penyakit ini melibatkan saraf optik dan saraf tunjang. Ianya hampir menyerupai sklerosis berbilang tetapi tidak menyerang saraf di dalam otak. Simptom penyakit ini selalunya lebih teruk dari sklerosis berbilang dan sukar untuk kembali normal apabila diserang.
  • Masalah antibodi Myelin oligodendrocyte glykoprotein (MOG). Penyakit ini menyebabkan keradangan pada saraf optik, saraf tunjang dan juga otak. Ianya boleh menyebabkan keradangan berulang tetapi peluang untuk pulih lebih tinggi berbanding penyakit yang lain.

Apabila simptom neuritis optik menjadi lebih kompleks dari biasa, penyakit lain juga harus diambilkira seperti:

  • Jangkitan. Jangkitan bakteria seperti penyakit Lyme dan sifilis ataupun virus seperti demam campak, beguk dan juga herpes boleh juga menyenbabkan neuritis optik.
  • Penyakit lain. Terdapat penyakit lain seperti sarkoidosis, Penyakit Behcet dan lupus yang boleh menyebabkan neuritis optik berulang.
  • Ubat dan toksin. Terdapat ubat dan toksin yang dikaitkan dengan neuritis optik seperti Ethambutol yang digunakan dalam rawatan tuberkulosis dan bahan kimia methanol yang biasa ditemui di dalam cat, bahan antibeku dan pelarut.

Faktor risiko

Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat neuritis optik termasuklah:

  • Umur. Penyakit ini selalunya menyerang mereka yang berumur antara 20 ke 40 tahun.
  • Jantina. Wanita lebih tinggi risiko untuk mendapat neuritis optik.
  • Bangsa. Ianya lebih banyak terjadi pada bangsa Caucasian.
  • Mutasi genetik. Masalah genetik meningkatkan risiko mendapat neuritis optik atau sklerosis berbilang.

Komplikasi

Antara komplikasi yang boleh berlaku kepada pesakit neuritis optik adalah:

  • Kerosakan saraf optik. Kebanyakan pesakit menghidapi kerosakan saraf optik kekal selepas episod pertama neuritis optik, tetapi mungkin tidak menyebabkan masalah penglihatan.
  • Akuiti visual berkurang. Kebanyakan pesakit akan mendapat kembali penglihatan yang normal atau hampir normal namun kebolehan untuk membezakan (akuiti visual) boleh berkurang. Sesetengah pesakit pula hilang penglihatan kekal.
  • Kesan sampingan rawatan. Penggunaan ubat steroid untuk merawat neuritis optik mungkin meningkatkan risiko untuk jangkitan, berat badan meningkat dan perubahan mood.

Bacaan lanjut berkenaan neuritis optik:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.