Meningitis: Jangkitan Kuman Pada Selaput Otak

Apabila doktor mengesyaki seseorang menghidap meningitis, prosedur lumbar puncture akan dilakukan untuk membuat analisis air tulang belakang.

Meningitis ialah jangkitan kuman ke atas selaput otak. Ianya merupakan satu keadaan kecemasan dalam perubatan. Pada permulaan penyakit ini, anak akan cuma mengadu demam dan sakit kepala. Anak berumur kurang daripada setahun akan menangis berlebihan, demam dan enggan minum.

Semua tanda-tanda awal bagi anak berumur kurang daripada setahun sama dengan tanda-tanda penyakit lain seperti pneumonia, jangkitan telinga, bronkiolitis dan jangkitan air kencing.

Ruang jangkitan meningitis berlaku

Tanda-tanda

Tanda-tanda awal:  

  • Demam
  • Kurang selesa
  • Enggan minum
  • Sakit kepala
  • Menangis berterusan
  • Bunyi tangisan berubah – tangisan bernada tinggi “High pitch cry

Tanda-tanda lewat:  

  • Muntah
  • Sawan
  • Menjauhkan diri daripada suluhan lampu atau cahaya terang
  • Lemah
  • Ruam seperti lebam-lebam
  • Tidak sedar

Tindakan ibu bapa

Perlu berjumpa dengan doktor segera jika ada tanda-tanda seperti di atas pada anak anda.  

Prosedur mengambil air tulang belakang

Apabila doktor berpendapat yang seseorang anak mengidap meningitis beliau akan meminta agar “lumbar puncture” dilakukan untuk membuat analisis air tulang belakang. “Lumbar puncture” adalah prosedur untuk memeriksa cecair selaput otak, dengan memasukkan jarum halus ke ruang antara tulang belakang pesakit. Pemeriksaan ini hanya akan dilakukan apabila keadaan tidak membahayakan anak.

Doktor dapat membezakan dan menentukan sekiranya anak menghidap meningitis dan bukan penyakit lain setelah pemeriksaan cecair selaput otak dilakukan. Rawatan yang tepat dapat dimulakan menggunakan maklumat daripada ujian “lumbar puncture”.

Prosedur mengambil air tulang belakang

Rawatan meningitis

Jika doktor mengesyaki anak anda menghidap meningitis, antibiotik akan diberikan dengan segera. Pada mulanya antibiotik yang umum akan diberikan, apabila keputusan sampel air tulang belakang diterima, antibitik ini mungkin akan ditukar kepada yang lebih spesifik untuk kuman yang menjangkiti pesakit itu.

Selain itu rawatan sokongan juga akan diberikan seperti memasukkan cecair bagi mengelakkan dehidrasi, ubat demam (jika ada) dan juga vitamin.

Tanpa rawatan, penyakit ini boleh mengakibatkan kesan buruk seperti Iumpuh, cacat, kerencatan akal dan pekak, bisu. Kini vaksin Hib boleh diberi kepada anak kurang daripada 4 tahun untuk mengelakkan meningitis jenis kuman Hib (Haemophilus influenzae B).

Vaksin untuk mencegah meningitis

Vaksin Hib (Haemophilus Influenzae type B) boleh mengelakkan jangkitan meningitis yang disebabkan oleh bakteria Haemophilus influenzae. Pemberian vaksin ini telah dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan dan diberikan pada umur 2, 3 dan 5 bulan termasuk dos booster ketika berumur 18 bulan.

Imunisasi meningococcus untuk jemaah haji juga perlu dilakukan untuk mencegah daripada meningitis disebabkan oleh bakteria Neisseria meningitidis.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.