Masalah Obesiti – Punca dan Pencegahan

Obesiti bukan sekadar masalah fizikal dan kosmetik, tetapi ianya merupakan masalah perubatan yang boleh meningkatkan risiko penghidap kepada penyakit lain.

punca pencegahan obesiti

Obesiti merupakan masalah kompleks yang menyebabkan lebihan lemak pada badan. Obesiti bukan sekadar masalah fizikal dan kosmetik, tetapi ianya merupakan masalah perubatan yang boleh meningkatkan risiko kepada penyakit yang lain seperti kencing manis, darah tinggi dan juga kanser.

Terdapat banyak punca kenapa sesetengah orang sukar mengelak dari mendapat obesiti. Selalunya masalah obesiti melibatkan gabungan faktor keturunan, persekitaran dan juga gaya hidup.

Namun penurunan berat walaupun sedikit dapat membantu untuk mengelakkan masalah kesihatan berkaitan obesiti. Perubahan corak pemakanan, peningkatan aktiviti fizikal dan perubahan gaya hidup dapat membantu menurunkan berat badan. Rawatan menggunakan ubat-ubatan dan prosedur pembedahan juga boleh dijalankan jika cara tersebut tidak berhasil.

Tanda-tanda dan Simptom

Obesiti bermaksud indeks berat badan (Body Mass Index – BMI) yang melebihi 30. Untuk mengira indeks berat badan, berat badan (dalam kilogram) perlu dibahagikan dengan tinggi kuasa dua (dalam meter).

BMIStatus berat
Bawah 18.5Berat Kurang
18.5-24.9Berat Normal
25.0-29.9Berat Lebih
30.0 ke atasObesiti
Penentuan status berat berdasarkan BMI

BMI pada kebanyakan orang juga mewakili anggaran jumlah lemak badan. Walaubagaimanapun BMI tidak mengira jumlah lemak badan secara terus, jadi sesetengah orang terutamanya atlit mempunyai BMI yang tinggi tetapi tiada lebihan lemak.

Bila perlu berjumpa doktor

Jika anda risau dengan masalah berat badan anda, jumpa doktor untuk membuat pemeriksaan perubatan dan mendapatkan nasihat pengurusan berat badan. Doktor juga akan menentukan risiko kesihatan anda berdasarkan ujian yang dilakukan.

Punca

Terdapat faktor genetik, tingkahlaku, metabolik dan juga hormon yang boleh mempengaruhi berat badan. Secara umumnya obesiti terjadi apabila anda mengambil lebih banyak kalori berbanding yang dibakar melalui aktiviti harian dan senaman. Lebihan kalori tersebut akan disimpan sebagai lemak.

Kebanyakan rakyat Malaysia mengamalkan pengambilan kalori yang tinggi daripada makanan dan minuman harian. Penghidap obesiti memerlukan pengambilan kalori yang lebih tinggi sebelum merasa kenyang, boleh merasa lapar dengan cepat serta makan lebih banyak disebabkan faktor tekanan dan kegelisahan.

Faktor risiko

Obesiti selalunya disebabkan kombinasi punca dan faktor berikut:

Keturunan dan pengaruh keluarga

Faktor genetik boleh menentukan berapa banyak jumlah lemak yang boleh disimpan oleh badan dan bagaimana lemak tersebut diagihkan. Faktor genetik juga mempengaruhi proses penukaran makanan kepada tenaga dan bagaimana badan mengawal selera ataupun membakar kalori ketika bersenam.

Masalah obesiti selalu terjadi di kalangan ahli keluarga yang sama. Ini bukan sahaja disebabkan faktor genetik tetapi juga corak pemakanan dan gaya hidup yang sama.

Pilihan gaya hidup

  • Pemakanan tidak sihat. Diet yang tinggi kalori, kurang memakan buah dan sayur-sayuran, pengambilan makanan ringan dan minuman bergula serta jumlah pengambilan makanan secara berlebihan akan meningkatkan lagi berat badan.
  • Minuman berkalori tinggi. Minuman yang banyak kalori selalunya tidak mengenyangkan terutamanya jika mengandungi alkohol. Minuman bergula tinggi juga merupakan punca utama obesiti.
  • Kurang aktif. Kehidupan yang tidak aktif menyebabkan kalori yang diambil lebih banyak dari yang dibakar setiap hari. Kecanggihan teknologi juga menyebabkan lebih banyak masa dihabiskan bersama telefon, komputer, dan juga televisyen. Masa yang dihabiskan di hadapan skrin berkadar langsung dengan kadar kegemukan.

Penyakit dan ubat-ubatan tertentu

Obesiti boleh disebabkan oleh masalah perubatan seperti sindrom Prader-Willi, sindrom Cushing dan penyakit-penyakit yang lain. Selain itu, sakit sendi kronik seperti arthritis akan menyebabkan aktiviti bersenam sukar dijalankan dan boleh mengakibatkan kegemukan.

Ada ubat tertentu yang boleh meningkatkan berat badan jika tidak diikuti dengan diet dan aktiviti senaman yang secukupnya. Antara ubat ini termasuklah ubat anti-kemurungan, ubat anti-sawan, ubat kencing manis, ubat anti-psikosis, steroid dan juga ubat penghalang beta.

Masalah sosial dan ekonomi

Masalah sosial dan ekonomi juga dikaitkan dengan obesiti. Pencegahan obesiti sukar dilakukan jika tiada kawasan untuk melakukan aktiviti seperti bersukan. Selain itu, taraf ekonomi yang rendah juga menyebabkan kesukaran mendapatkan makanan yang berkhasiat. Ilmu berkaitan kesihatan tidak menjadi keutamaan dan senang dipengaruhi oleh persekitaran terutamanya iklan-iklan berkenaan makanan dan minuman.

Umur

Obesiti boleh berlaku pada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak. Namun apabila umur meningkat risikonya lebih tinggi kerana perubahan hormon dan kurang melakukan aktiviti. Selain itu, kepadatan otot juga semakin berkurang apabila semakin tua. Otot yang kurang padat akan merendahkan lagi metabolisme badan. Usaha menurunkan berat badan akan menjadi lebih sukar. Jika anda tidak mengawal pemakanan dan meningkatkan aktiviti selaras dengan umur, berat badan akan meningkat.

Faktor lain

  • Kehamilan. Peningkatan berat badan biasa berlaku ketika kehamilan. Sesetengah wanita sukar untuk menurunkan semula berat badan selepas beranak. Ianya akan menyumbang kepada masalah obesiti sepanjang hayat seseorang wanita. Menyusu badan merupakan langkah terbaik untuk mengurangkan berat badan selepas beranak.
  • Berhenti merokok. Berhenti merokok selalu dikaitkan dengan pertambahan berat badan sehingga boleh mencapai tahap obesiti. Ini berlaku kerana mereka yang cuba berhenti merokok akan menjadikan aktiviti makan sebagai pengganti. Berhenti merokok dengan cara yang betul dan pemantauan ahli kesihatan dapat membantu membendung masalah ini.
  • Kurang tidur. Kurang tidur atau tidur terlalu lama boleh menyebabkan perubahan hormon seterusnya peningkatan selera makan. Anda juga akan mencari makanan yang tinggi kandungan kalori dan karbohidrat yang boleh meningkatkan berat badan dengan cepat.
  • Tekanan. Tekanan menyebabkan perubahan mood dan seseorang akan makan dengan lebih banyak apabila merasa tertekan.
  • Mikrobiom. Bakteria di dalam perut dipengaruhi oleh jenis pemakanan dan boleh menyebabkan peningkatan berat ataupun kesukaran menurunkan berat badan.
  • Percubaan menurunkan berat. Percubaan menurunkan berat secara cepat dan keterlaluan boleh menyebabkan masalah kenaikan berat badan yang lebih teruk. Ini kerana proses metabolisme badan akan menjadi lebih perlahan.

Walaupun anda mempunyai satu atau lebih faktor-faktor di atas, tidak semestinya anda akan menghidap obesiti. Kebanyakan faktor ini boleh dilawan dengan pemakanan yang betul, meningkatkan senaman dan aktiviti fizikal serta mengubah gaya hidup.

Komplikasi Obesiti

Penghidap obesiti boleh mendapat masalah kesihatan yang serius seperti:

  • Sakit jantung dan strok (angin ahmar). Obesiti akan meningkatkan risiko mendapat darah tinggi serta tinggi kadar kolesterol yang boleh meningkatkan risiko sakit jantung dan strok.
  • Kencing manis. Obesiti boleh mempengaruhi proses pengambilan gula dalam badan serta penghasilan hormon insulin seterusnya menyebabkan kerintangan insulin serta penyakit kencing manis.
  • Kanser. Antara kanser yang dikaitkan dengan obesiti termasuklah kanser rahim, serviks, endometrium, ovari, payudara, usus besar, rektum, esofagus, hati, hempedu, pankreas, buah pinggang dan juga prostat.
  • Masalah sistem pencernaan. Obesiti akan meningkatkan risiko mendapat sakit ulu hati, sakit hempedu dan juga penyakit hati.
  • Masalah wanita dan seksual. Obesiti boleh menyebabkan kitaran haid tidak teratur serta mengurangkan kesuburan bagi wanita. Ianya juga boleh menyebabkan lemah syahwat pada lelaki.
  • Apnea tidur. Penghidap obesiti berisiko tinggi mendapat apnea tidur di mana pernafasan boleh berhenti-henti semasa tidur dan simptom utamanya adalah tidur berdengkur.
  • Osteoarthritis. Obesiti menyebabkan beban yang tinggi ke atas sendi badan dan menggalakkan proses keradangan. Penghidap obesiti lebih mudah mendapat penyakit osteoarthritis iaitu keradangan sendi dan tulang.

Kualiti hidup

Obesiti boleh menjejaskan kualiti hidup secara keseluruhan. Anda mungkin tidak dapat melakukan aktiviti tertentu yang anda suka. Terdapat juga mereka yang malu untuk keluar ke tempat awam kerana menjadi mangsa buli dan diskriminasi.

Antara masalah lain berkaitan obesiti yang boleh terjadi adalah:

  • Kemurungan
  • Kegelisahan
  • Tidak mampu melakukan aktiviti
  • Masalah ketika hubungan seks
  • Perasaan malu dan rendah diri
  • Tidak berani bersosial
  • Tiada motivasi untuk bekerja

Pencegahan

Anda boleh mengambil langkah-langkah berikut untuk mencegah obesiti dan pertambahan berat badan tidak kira status berat anda pada ketika ini. Jika anda terlebih berat badan, anda perlu menurukannya ke tahap normal, dan jika berat anda sudah normal, anda perlu mengelakkan pertambahan berat badan. Senaman harian, pemakanan sihat dan komitmen sepanjang hayat diperlukan untuk mencegah obesiti.

  • Senaman berterusan. Anda perlu bersenam untuk jangkamasa 150 ke 300 minit seminggu dengan melakukan aktiviti sederhana seperti berjalan, berjoging, berenang atau berbasikal.
  • Pemakanan sihat. Fokus pada pemakanan yang rendah kalori dan tinggi kandungan nutrien seperti buah, sayur dan produk gandum. Elakkan lemak tepu, makanan bergula serta alkohol. Ianya masih boleh diambil tetapi jangan terlalu kerap.
  • Ketahui dan elakkan perangkap makanan. Kenali situasi di mana anda boleh terjebak untuk makan lebih banyak seperti tekanan atau ketika keluar bersama kawan. Anda boleh mengawal pemakanan dalam apa jua situasi apabila anda menyedarinya.
  • Pantau berat secara berkala. Timbang berat anda sekurang-kurangnya seminggu sekali supaya anda boleh mengawal pemakanan dan aktiviti mengikut berat. Ianya juga dapat memberitahu jika usaha yang dilakukan membuahkan hasil dan mengesan lebih awal jika berat semakin bertambah.
  • Jadikan tabiat dan mesti konsisten. Kesemua tips di atas amat mudah dijalankan jika sudah menjadi rutin harian atau mingguan dan boleh membantu untuk kesihatan jangka masa panjang.

Bacaan lanjut berkenaan masalah obesiti:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.