Masalah Obesiti – Diagnosis dan Rawatan

Pengurangan berat secara berterusan untuk jangkamasa panjang adalah cara paling selamat dan berkesan berbanding mengurangkan berat dengan cepat.

rawatan masalah obesiti

Diagnosis

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan beberapa ujian untuk membuat diagnosis obesiti.

Antara pemeriksaan dan ujian yang boleh dijalankan termasuklah:

  • Mengambil sejarah kesihatan. Doktor akan bertanyakan mengenai sejarah berat badan, usaha menurunkan berat, aktiviti fizikal dan senaman, corak pemakanan serta perkara lain seperti penyakit, tekanan dan jika ada mengambil apa-apa ubat dan supplemen. Doktor juga akan melihat sejarah keluarga jika ada faktor genetik dan persekitaran yang mempengaruhi.
  • Pemeriksaan fizikal. Ini termasuklah mengambil bacaan berat dan tinggi, serta tekanan darah, suhu dan memeriksa bahagian pernafasan, jantung serta abdomen.
  • Mengira indeks jisim badan (BMI). Doktor akan membantu untuk mengira BMI berdasarkan bacaan berat dan tinggi anda. BMI melebihi 30 akan didiagnos sebagai obesiti. BMI perlu dikira sekurang-kurangnya sekali setahun untuk mengetahui keadaan kesihatan keseluruhan dan rawatan yang diperlukan.
  • Mendapatkan ukur lilit bahagian pinggang. Lemak selalunya akan disimpan di bahagian pinggang, yang dipanggil sebagai lemak viseral atau lemak abdominal yang meningkatkan risiko sakit jantung dan kencing manis. Perempuan yang yang mempunyai ukur lilit melebihi 35 inci dan lelaki yang melebihi 40 inci dikira sebagai berisiko tinggi. Ianya juga perlu sentiasa dipantau.
  • Memeriksa keadaan kesihatan yang lain. Doktor juga akan memeriksa jika anda mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti darah tinggi dan kencing manis jika anda memerlukan rawatan selanjutnya. Selain itu, ujian pemeriksaan jantung juga boleh dicadangkan.
  • Ujian darah. Bergantung kepada pemeriksaan fizikal, doktor mungkin akan melakukan ujian darah bagi melihat kadar kolesterol, ujian fungsi hati, ujian fungsi tiroid, kandungan glukos dalam darah dan lain-lain.

Semua maklumat dari ujian dan pemeriksaan yang dilakukan akan menentukan usaha pengurangan berat badan serta risiko kesihatan anda. Ianya juga akan menentukan jika anda memerlukan rawatan lanjut jika ada penyakit-penyakit yang berkaitan.

Rawatan

Objektif rawatan adalah untuk mencapai berat yang sihat dan mengekalkannya. Ini akan membolehkan anda mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit berkaitan obesiti. Untuk mencapai matlamat ini, anda mungkin perlu bertemu beberapa pakar kesihatan bertauliah seperti pakar nutrisi, kaunselor dan doktor pakar pembedahan atau estetik untuk membantu anda merangka pelan rawatan.

Pada awal rawatan, selalunya sasaran adalah untuk mengurangkan kira-kira 5 ke 10 peratus dari berat badan. Sebagai contoh jika berat badan anda 90kg anda perlu menurunkan 5 ke 10 kg untuk merasa lebih sihat. Lebih banyak berat diturunkan adalah lebih baik.

Untuk mencapai sasaran ini, anda perlu menukar tabiat pemakanan dan meningkatkan aktiviti fizikal. Jenis rawatan bergantung pada tahap obesiti, keadaan kesihatan semasa serta komitmen anda untuk menurunkan berat badan.

Perubahan corak pemakanan

Mengurangkan kalori dan mengamalkan pemakanan sihat adalah penting untuk mengurangkan berat badan. Walaupun anda ingin mengurangkan berat dengan cepat, namun pengurangan berat secara berterusan untuk jangkamasa panjang adalah cara paling selamat dan berkesan.

Elakkan perubahan corak pemakanan secara drastik kerana ianya sukar untuk dikekalkan dalam jangkamasa panjang.

Cuba lakukan program pengurangan berat secara komprehensif yang mengambil masa kira-kira 6 bulan dan mempunyai fasa pengekalan berat selama setahun untuk meningkatkan peluang anda dalam merawat masalah obesiti.

Tiada cara atau program terbaik untuk pengurangan berat. Lakukan program yang paling sesuai dengan gaya kehidupan dan tabiat anda. Antara perubahan corak pemakanan yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Kurangkan kalori. Kunci utama pengurangan berat badan adalah dengan mengurangkan pengambilan kalori. Langkah pertama adalah dengan menilai pengambilan kalori harian anda dan di mana yang patut dikurangkan. Doktor atau ahli kesihatan dapat membantu mengira kalori harian, jumlah biasa adalah 1200-1500 untuk wanita dan 1500-1800 untuk lelaki.
  • Rasa kenyang walaupun kurang makan. Sesetengah makanan seperti gula-gula dan makanan berproses mempunyai kalori yang tinggi pada jumlah yang kecil. Makanan seperti sayur dan buah pula mengandungi kalori sedikit walaupun jumlah yang lebih besar. Pengambilan makanan sepeti ini mampu mengenyangkan anda untuk tempoh yang lebih lama.
  • Memilih makanan yang menyihatkan. Untuk menjadikan pemakanan anda lebih sihat, makan makanan bersumberkan tumbuhan seperti buah dan sayur. Juga ambil protein yang sihat seperti kekacang, soya dan daging putih (ikan, ayam).
  • Kurangkan makanan tidak sihat. Kurangkan pengambilan garam dan gula. Pengambilan makanan berkolesterol tinggi dan lemak juga perlu dikurangkan untuk mengelakkan masalah jantung. Air berkarbonat yang manis merupakan antara punca utama obesiti. Kurangkan minuman manis atau tidak perlu mengambilnya langsung.
  • Makanan gantian. Anda juga boleh mengganti makanan dengan produk rendah kalori seperti bar tenaga. Namun tidak dinasihatkan pengambillan untuk jangkamasa panjang.

Jangan percaya kepada produk atau program kurus dengan cepat. Selalunya program ini tidak akan mengurangkan berat untuk jangkamasa panjang dan produk kurus juga boleh mengandungi bahan merbahaya untuk kesihatan.

Program yang membantu merubah gaya hidup dan corak pemakanan untuk jangka masa panjang adalah lebih baik dan berkekalan.

Senaman dan aktiviti

Peningkatan aktiviti fizikal dan senaman merupakan komponen penting dalam rawatan obesiti. Kebanyakan mereka yang berjaya mengurangkan berat untuk jangka masa panjang melakukan senaman berterusan, walaupun hanya berjalan.

Untuk meningkatkan tahap aktiviti anda, anda perlu:

  • Melakukan senaman. Mereke yang menghidap obesiti perlu melakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman dalam seminggu dengan kadar aktiviti yang sederhana. Ianya membantu menurunkan dan mengekalkan berat badan. Jika anda inginkan penurunan yang lebih cepat boleh lakukan senaman sehingga 300 minit seminggu. Anda juga boleh meningkatkan aktiviti apabila tahap kecergasan semakin meningkat.
  • Teruskan bergerak. Walaupun senaman aerobik merupakan cara yang berkesan untuk menurunkan berat badan, semua jenis pergerakan lain juga membantu. Jadikan banyak bergerak sebagai satu gaya hidup. Aktiviti seperti mengemas rumah, menggunakan tangga dan berkebun juga dapat membantu memperbanyakkan pergerakan anda. Pakai alatan seperti jam pedometer yang boleh mengesan berapa banyak pergerakan yang anda lakukan dalam sehari. Sasaran terbaik adalah sebanyak 10 000 langkah sehari seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Perubahan gaya hidup

Program perubahan tingkahlaku dapat membantu dalam merubah gaya hidup dan mengurangkan berat badan. Antara langkah yang boleh diambil adalah memeriksa tabiat harian anda dan lihat apakah faktor, tekanan ataupun situasi yang menyebabkan obesiti.

Setiap individu mempunyai cabaran berbeza terhadap pengurusan berat badan, ada yang tidak cukup masa untuk bersenam dan ada yang suka makan lewat malam. Tabiat sebegini perlu dikesan dan diperbetulkan.

Terapi tingkahlaku boleh dilakukan dengan cara berikut:

  • Kaunseling. Pakar kaunseling boleh membantu anda mengenalpasti masalah tingkahlaku dan emosi berkaitan dengan pemakanan. Mereka akan membantu anda mengenalpasti bilakah anda makan dengan banyak dan cara mengatasinya. Anda juga akan diajar cara untuk memantau aktiviti makan dan mengelakkan perasaan lapar sepanjang masa. Terapi kaunseling boleh dijalankan secara individu ataupun berkumpulan.
  • Kumpulan sokongan. Anda boleh mencari individu yang ingin mengatasi masalah obesiti dan berkongsi pendapat serta masalah yang dihadapi. Selain itu kumpulan sokongan juga boleh meningkatkan perasaan ingin bersaing seterusnya membantu keberkesanan program.

Ubat kurus preskripsi

Pengurangan berat badan memerlukan pemakanan sihat dan senaman berterusan. Namun dalam situasi tertentu, ubat juga diperlukan.

Ubat ini tidak boleh digunakan secara sendirian tetapi mestilah disertakan dengan perubahan gaya hidup seperti aktiviti dan pemakanan. Tujuan utama ubat ini adalah untuk membantu anda mengurangkan kalori dalam makanan dengan mengurangkan rasa lapar ketika proses menguruskan badan.

Doktor akan mencadangkan penggunaan ubat ini selepas memperbetulkan corak pemakanan, melakukan program senaman serta jika anda mempunyai keriteria berikut:

  • BMI anda melebihi 30
  • BMI melebihi 27 tetapi anda mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah apnea tidur

Sebelum ubat diberikan, doktor juga akan bertanya berkenaan sejarah kesihatan serta menerangkan kesan sampingan ubat ini. Sesetengah ubat tidak sesuai digunakan oleh wanita mengandung atau menyusu atau jika anda mempunyai penyakit tertentu. Ianya juga mungkin tidak sesuai dengan ubat yang anda sedang ambil untuk penyakit yang lain.

Antara ubat kurus preskripsi yang boleh digunakan termasuklah:

  • Orlistat
  • Phentermine dan topiramate
  • Bupropion dan naltrexone
  • Liraglutide

Pemantauan rapi diperlukan semasa anda mengambil ubat ini. Ubat ini tidak berkesan untuk semua orang terutamanya jika anda tidak tahan dengan kesan sampingan ubat tersebut. Selalunya apabila ubat ini berhenti diambil, berat akan kembali jika tidak melakukan perubahan gaya hidup.

Prosedur endoskopik untuk kurus

Prosedur ini tidak memerlukan sebarang potongan pada kulit. Selepas anda diberikan bius, alatan pembedahan akan dimasukkan melalui mulut untuk tiba ke bahagian perut.

Terdapat beberapa jenis pembedahan endoskopik untuk mengurangkan berat yang boleh dilakukan. Salah satunya adalah dengan membuat jahitan pada perut untuk mengecilkan saiznya supaya hanya sedikit sahaja makanan boleh masuk. Terdapat juga pembedahan di mana doktor akan memasukkan belon kecil ke dalam perut. Belon ini mengandungi air dan tujuannya juga untuk mengecilkan ruang dalam perut supaya dapat merasa kenyang dengan lebih cepat.

Selalunya prosedur ini dilakukan jika BMI anda melebihi 30 dan apabila program diet dan senaman tidak berkesan. Selalunya selepas pembedahan berat boleh berkurang antara 5 ke 20 peratus dari berat badan asal.

Pembedahan mengurangkan berat badan (Pembedahan Bariatrik)

Pembedahan ini juga dikenali sebagai pembedahan bariatrik. Ianya dilakukan untuk mengehadkan jumlah makanan yang boleh dimakan atau untuk mengurangkan penyerapan makanan dan kalori oleh badan atau kedua-duanya. Walaupun ianya amat efektif, tetapi pembedahan juga datang dengan risiko tersendiri.

Pembedahan bariatrik akan dicadangkan jika anda telah cuba menurunkan berat badan dengan cara yang lain tetapi masih tidak berjaya dan anda juga mempunyai kriteria berikut:

  • Anda tersangat obes (BMI melebihi 40)
  • BMI antara 35 ke 39.9 tetapi anda ada masalah kesihatan seperti kencing manis dan darah tinggi
  • Anda bermotivasi tinggi untuk melakukan perubahan gaya hidup selepas pembedahan

Pembedahan bariatrik boleh membantu mengurangkan berat badan sehingga 35 peratus dari berat badan asal tetapi ia bukanlah satu teknik ajaib.

Ianya tidak memberi jaminan bahawa BMI anda boleh menjadi normal dan berat tidak akan meningkat semula pada masa hadapan. Oleh sebab itu, komitmen yang tinggi juga diperlukan untuk memastikan sasaran pengurangan dan pengekalan berat dapat dicapai.

Antara pembedahan bariatrik yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Pembedahan pintasan gastrik. Dalam pembedahan pintasan ini (pintasan Roux-en-Y) pakar bedah akan membuat kantung pada bahagian atas perut. Usus kecil akan disambungkan ke kantung ini. Makanan akan masuk ke kantung kecil ini dan terus memasuki usus kecil.
  • Band perut boleh ubah. Dalam prosedur ini, perut akan dibahagikan kepada dua bahagian menggunakan band yang boleh ubah. Band ini bertindak seperti tali pinggang yang akan mengecilkan ruang perut jika diubah menjadi ketat dan tidak membenarkan perut mengembang.
  • Pintasan biliopankreatik dengan pertukaran duodenum. Pakar bedah akan membuang sebahagian besar perut. Bahagian perut yang tidak dibuang akan terus disambungkan kepada duodenum. Bahagian usus kecil yang lain akan disambungkan semula untuk memastikan cecair hempedu dapat masuk semula ke dalam usus.
  • Sleeve gastrik. Dalam perosedur ini, sebahagian perut akan dibuang untuk mengecilkan saiz perut. Ianya merupakan prosedur yang lebih ringkas berbanding yang lain.

Rawatan lain

Cara lain untuk merawat obesiti adalah melalui prosedur sekatan saraf vagal. Saraf vagus merupakan saraf yang menghantar isyarat ke otak apabila perut kosong atau penuh. Sejenis alat akan dimasukkan di bawah kulit bahagian abdomen yang akan menghantar isyarat elektrik ke bahagian saraf vagus supaya otak percaya bahawa perut telah penuh. Alat ini boleh diberikan kepada mereka yang mempunyai BMI 35 ke atas dan mempunyai penyakit berkaitan obesiti.

Mencegah kenaikan berat selepas rawatan obesiti

Dalam kebanyakan kes, berat badan akan kembali meningkat selepas program pengurangan berat dihentikan. Walaupun pembedahan telah dilakukan, jika anda masih mengambil makanan dengan banyak dan kurang melakukan aktiviti, berat badan boleh kembali.

Salah satu cara terbaik mengekalkan berat badan optimum adalah melakukan senaman berterusan. Sasarkan antara 45 ke 60 minit sehari.

Pantau segala aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengekalkan motivasi dan momentum. Apabila berat telah berkurangan dan stamina bertambah, tahap kesukaran aktiviti juga boleh ditingkatkan mengikut kemampuan.

Pemeriksaan berat secara berkala juga dapat membantu. Ubah tabiat pemakanan dan aktiviti harian secara perlahan-lahan dan praktikal supaya anda dapat mengekalkannya.

Selain itu, kumpulan sokongan atau ahli keluarga juga dapat membantu mengekalkan gaya hidup yang baru. Cuba cari tabiat yang sesuai dengan tingkahlaku dan persekitaran anda supaya anda seronok melakukannya.

Gaya hidup dan rawatan di rumah

Cara berikut dapat dilakukan di rumah untuk meningkatkan peluang kejayaan pengurangan berat badan:

  • Belajar berkenaan keadaan anda. Dapatkan maklumat melalui pembacaan berkenaan obesiti dan juga penyakit yang disebabkan obesiti.
  • Tetapkan sasaran yang realistik. Perubahan gaya hidup tidak boleh dilakukan secara drastik kerana anda akan cepat hilang motivasi. Jadikan ia sesuatu yang anda ingin lakukan sepanjang hayat dan jangan sasarkan pengurangan berat yang terlalu cepat.
  • Buat perancangan jangka panjang. Bincang dengan doktor anda perubahan yang boleh dilakukan dan pastikan anda melakukannya.
  • Dapatkan sokongan. Sokongan keluarga dan kawan-kawan amat penting dalam proses rawatan obesiti. Pastikan anda dikelilingi mereka yang menyokong perubahan anda dan bukan cuba melakukan sabotaj terhadap usaha anda. Anda juga boleh menyertai kumpulan sokongan.
  • Simpan rekod. Rekod pemakanan dan aktiviti yang anda lakukan amat penting untuk melihat perkembangan dan mengekalkan motivasi. Anda boleh gunakan apps telefon ataupun alatan seperti jam pintar yang dapat memantau aktiviti seperti berapa minit anda bersenam dan berapa langkah anda lakukan pada hari ini.
  • Kenalpasti dan elakkan situasi anda ingin makan dengan banyak. Sesetengah orang akan makan apabila dalam tekanan atau marah. Kenalpasti bila anda akan makan dengan banyak dan cuba gantikan dengan aktiviti lain seperti menonton filem dan sebagainya.
  • Ambil ubat mengikut waktu. Jika anda dibekalkan ubat oleh doktor pastikan ianya diambil mengikut masa yang diarahkan. Jika anda sukar melakukannya, boleh berbincang semula dengan doktor atau ahli farmasi.

Perubatan alternatif

Terdapat beberapa teknik diet ataupun produk yang dikatakan mampu mengurangkan berat dengan cepat. Namun kesan jangka pendek dan jangka panjangnya masih tidak diketahui.

Herba, vitamin dan galian adalah dikira sebagai supplemen sahaja oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan tidak melalui proses ujian klinikal untuk mengkaji kesan spesifik terhadap pengurangan berat.

Namun terdapat antara produk ini yang dicampur dengan bahan-bahan aktif yang boleh menurunkan berat tetapi boleh memberikan kesan sampingan yang merbahaya jika tidak dipantau dengan betul. Supplemen vitamin dan herba juga boleh menyebabkan kesan sampingan jika diambil melebihi had. Sila bincang dengan doktor anda jika anda ingin mengambil ubat-ubat kurus yang dibeli di luar.

Terapi badan dan minda seperti akupuntur, meditasi dan yoga mungkin dapat membantu dalam proses perawatan obesiti tetapi sebagai rawatan sokongan sahaja.

Sokongan dan adaptasi

Dapatkan nasihat doktor dan ahli terapi untuk anda melakukan adaptasi ketika rawatan obesiti. Perkara berikut mungkin dapat membantu:

  • Journal. Tulis berkenaan pengalaman dan emosi yang anda alami dalam jurnal ataupun blog.
  • Perhubungan. Pastikan anda tidak melalui proses pemulihan berseorangan. Sertai aktiviti bersama keluarga dan rakan.
  • Fokus. Fokus kepada sasaran anda dan jangan hiraukan apa yang orang lain perkatakan. Tumpukan kepada perancangan jangka panjang anda dan teruskan sehingga berjaya.
  • Santai. Belajar juga untuk menangani tekanan dan bersantai. Perkara ini dapat membantu mengatasi tabiat pemakanan yang tidak sihat.

Bacaan lanjut berkenaan masalah obesiti:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.