Penyakit Liposarkoma – Punca, Tanda & Rawatan

Liposarkoma boleh berlaku pada sel lemak di mana-mana bahagian badan tetapi selalunya berlaku pada bahagian tangan, kaki dan abdomen.

Rawatan liposarkoma

Liposarkoma merupakan sejenis kanser yang berasal dari sel lemak dan jarang berlaku. Liposarkoma merupakan sebahagian dari sarkoma tisu lembut.

Liposarkoma boleh berlaku pada sel lemak di mana-mana bahagian badan tetapi selalunya berlaku pada bahagian tangan, kaki dan abdomen. Ianya selalu berlaku pada peringkat umur yang lewat tetapi boleh juga berlaku pada mana-mana peringkat umur.

Rawatan liposarkoma melibatkan pembedahan untuk membuang kanser ini. Rawatan lain seperti terapi radiasi mungkin digunakan.

Tanda-tanda dan simptom

Simptom liposarkoma bergantung kepada bahagian badan yang terlibat.

Liposarkoma yang melibatkan tangan dan kaki boleh menyebabkan:

  • Ketumbuhan di bawah kulit
  • Kesakitan
  • Bengkak
  • Lemah tangan atau kaki

Liposarkoma pada bahagian abdomen boleh menyebabkan:

  • Sakit pada abdomen
  • Bengkak pada abdomen
  • Rasa kenyang dengan cepat
  • Sembelit
  • Darah dalam najis

Bila perlu berjumpa doktor

Jumpa doktor segera jika anda mempunyai tanda-tanda di atas yang merisaukan anda.

Punca liposarkoma

Punca sebenar liposarkoma masih belum dapat dipastikan. Ianya terjadi apabila terdapat mutasi pada DNA sel lemak. Mutasi ini menyebabkan sel tersebut bertumbuh secara tidak terkawal dan menyerang sel-sel lain yang berdekatan. Sel ini kemudiannya menjadi ketumbuhan kanser.

Terdapat beberapa jenis liposarkoma, ada yang lambat membesar dan tidak merebak. Ada juga yang agresif dan boleh merebak pada bahagian badan yang lain.

Diagnosis

Ujian dan prosedur berikut dilakukan bagi membuat diagnosis liposarkoma:

  • Ujian pengimejan. Doktor akan melakukan ujian pengimejan seperti x-ray, CT scan dan MRI bagi melihat saiz dan keluasan kanser liposarkoma.
  • Mengambil sampel tisu (biopsi). Doktor akan mengambil sedikit sampel tisu pada bahagian yang terlibat untuk ujian. Lokasi ketumbuhan akan menentukan bagaimana tisu ini akan diambil.
  • Melakukan ujian makmal untuk mengkaji tisu yang terlibat. Doktor bahagian patologi akan memeriksa sampel tisu yang diambil untuk ujian seperti ujian immunokimia, ujian analisis cytogenetik, ujian fluorescence in situ hybridization dan juga ujian molekular genetik. Ujian-ujian ini akan memberikan maklumat lanjut berkenaan liposarkoma tersebut yang boleh membantu dalam perawatan pesakit.

Rawatan liposarkoma

Rawatan untuk kanser liposarkoma termasuklah:

  • Pembedahan. Tujuan pembedahan adalah untuk membuang kesemua sel kanser. Namun kadangkala liposarkoma telah menyerang tisu-tisu yang berdekatan dan menjadikannya sukar untuk dibuang secara keseluruhan. Doktor mungkin akan mencadangkan rawatan lain untuk mengecutkan dahulu liposarkoma sebelum pembedahan.
  • Terapi radiasi. Terapi radiasi menggunakan pancaran tenaga tinggi seperti x-ray dan proton untuk membunuh sel kanser. Radiasi boleh digunakan selepas pembedahan untuk membunuh sel kanser yang masih tertinggal. Ianya juga boleh digunakan sebelum pembedahan untuk mengecutkan saiz kanser bagi memudahkannya dibuang.
  • Kemoterapi. Kemoterapi menggunakan ubat-ubatan untuk membunuh sel kanser. Tidak semua sel liposarkoma sensitif kepada kemoterapi. Analisis yang dijalankan di makmal akan menentukan sama ada kemoterapi dapat membantu pesakit. Kemoterapi boleh digunakan selepas pembedahan untuk membunuh sel kanser yang tertinggal ataupun sebelum pembedahan untuk mengecutkan kanser. Kemoterapi juga boleh digabungkan dengan terapi radiasi.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.