Penyakit Lipoma – Punca, Tanda dan Rawatan

Lipoma tidak merbahaya dan selalunya rawatan tidak diperlukan tetapi boleh dibuang jika mengganggu kehidupan ataupun untuk tujuan kosmetik.

ketumbuhan lipoma

Lipoma merupakan ketumbuhan lemak yang membesar dan biasanya terletak di antara lapisan kulit dan otot. Lipoma tidak menyakitkan dan terasa seperti getah jika dipegang. Ianya bergerak-gerak jika ditekan dan boleh tumbuh melebihi daripada satu. Lipoma selalunya terjadi pada peringkat umur dewasa.

Lipoma bukanlah ketumbuhan kanser dan tidak merbahaya. Selalunya rawatan tidak diperlukan tetapi boleh dibuang jika mengganggu kehidupan ataupun untuk tujuan kosmetik.

Tanda-tanda dan simptom

Lipoma boleh terjadi di mana-mana sahaja bahagian badan. Lipoma selalunya:

  • Terletak di bawah lapisan kulit. Ianya selalu berlaku pada leher, bahu, belakang, abdomen, lengan dan juga peha.
  • Lembut dan terasa seperti getah jika dipegang. Ianya juga juga bergerak-gerak di bawah kulit jika ditekan.
  • Biasanya bersaiz kecil. Saiznya yang biasa adalah lebih kurang 2 inci (5 cm) diameter tetapi ada juga yang boleh menjadi lebih besar.
  • Kadangkala menyakitkan. Lipoma boleh menyakitkan jika ianya tumbuh berdekatan saraf ataupun di bahagian yang terdapat banyak saluran sarah.

Bila perlu berjumpa doktor

Lipoma secara umumnya bukanlah penyakit yang merbahaya. Tetapi jika anda perasan mana-mana bahagian badan yang membengkak ataupun ketumbuhan, terus berjumpa doktor untuk memastikan punca bengkak tersebut.

Punca lipoma

Punca seseorang mendapat lipoma belum difahami sepenuhnya. Ianya mempunyai perkaitan genetik kerana selalu berlaku dikalangan ahli dalam keluarga yang sama.

Faktor risiko

Antara faktor yang meningkatkan risiko seseorang mendapat lipoma termasuklah:

  • Berumur di antara 40 hingga 60 tahun. Walaupun boleh terjadi pada mana-mana peringkat umur, ianya lebih banyak pada kumpulan ini.
  • Sejarah keluarga. Jika ada ahli keluarga pernah mendapat lipoma, kemungkinan untuk seseorang mendapat lipoma adalah lebih tinggi.

Diagnosis

Untuk membuat diagnosis lipoma, doktor akan melakukan:

  • Pemeriksaan fizikal
  • Mengambil sampel tisu (biopsi) untuk dihantar ke makmal
  • Melakukan x-ray atau pengimejan yang lain seperti CT scan dan MRI jika lipoma tersebut bersaiz besar ataupun mempunyai ciri-ciri luar biasa

Terdapat ketumbuhan kanser yang menyerupai lipoma yang dikenali sebagai liposarkoma. Liposarkoma merupakan kanser yang melibatkan sel lemak dan membesar dengan sangat cepat, tidak bergerak di bawah kulit dan selalunya menyakitkan. Ujian biopsi dan pengimejan MRI atau CT scan akan dilakukan jika doktor mengesyaki liposarkoma.

Rawatan lipoma

Selalunya rawatan tidak diperlukan dan lipoma tidak menyebabkan apa-apa masalah yang lain. Jika lipoma mengganggu kehidupan anda, ianya boleh dibuang. Lipoma boleh dibuang melalui:

  • Pembedahan membuang lipoma. Kebanyakan lipoma dibuang melalui pembedahan. Selalunya ia tidak akan tumbuh semula dan kesan sampingan adalah seperti lebam dan parut. Teknik pembedahan yang baik dapat membantu mengurangkan parut.
  • Sedutan lemak (liposuction). Rawatan ini menggunakan jarum dan syringe yang besar untuk membuang tisu lemak dari bawah kulit.
Lipoma yang sudah dikeluarkan

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.