Komplikasi dan Rawatan Pemulihan Pesakit Strok

Bagi penyakit strok, pesakit sebenarnya berpeluang dipulihkan sekiranya mereka menjalani proses pemulihan yang betul dan tepat disokong ahli keluarga.

Secara umum, tidak ramai di kalangan kita yang mengetahui tentang kaedah rawatan atau proses pemulihan sesuatu jenis penyakit dengan mendalam sehinggalah kita sendiri atau ahli keluarga yang menghidapinya.

Kurangnya maklumat atau pengetahuan berhubung sesuatu jenis penyakit menyebabkan kita beranggapan bahawa penyakit yang dihidapi itu sukar untuk dipulihkan atau sekurang-kurangnya diminimumkan.

Bagi penyakit yang serius seperti strok atau lebih dikenali sebagai angin ahmar, pesakit sebenarnya berpeluang dipulihkan sekiranya mereka menjalani proses pemulihan yang betul dan tepat.

Hospital Rehabilitasi Cheras

Meskipun proses pemulihan ini tidak dapat menjadikan keadaan pesakit kembali normal seperti sebelum serangan strok, sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengurangkan komplikasi akibat strok ini.

Kurangnya pengetahuan di kalangan ahli keluarga pesakit strok menyebabkan proses pemulihan mereka tidak sempurna. Proses pemulihan yang tidak sempurna ini menyebabkan hampir sebahagian besar pesakit tidak dapat dipulihkan.

Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan peluang pesakit untuk pulih semakin tipis.

Jenis-jenis Strok

Strok merupakan salah satu daripada penyakit gangguan fungsi otak yang berlaku secara tiba-tiba. Penyakit vaskular ini biasanya berlaku kepada individu yang berumur 45 tahun ke atas akibat beberapa faktor risiko. Ini termasuklah hipertensi, diabetes, tabiat merokok dan paras kolesterol yang tinggi.

Terdapat dua jenis strok yang berlaku di kalangan mereka yang telah berumur iaitu:

Strok Infarct

Iaitu kematian suatu tisu pada kawasan kecil setempat yang berlaku akibat kekurangan bekalan darah yang tidak mencukupi. Dianggarkan 80 peratus kes strok berlaku akibat infarct. Infarct berlaku apabila salah satu saluran darah yang membawa oksigen ke otak tersumbat. 

Ia terbahagi kepada dua iaitu:

a) Trombotik

Ia disebabkan oleh pembekuan darah dalam salah satu saluran darah. Darah beku ini mengakibatkan aliran darah tersumbat, tetapi tidak pecah. Pembekuan darah ini berlaku akibat pengumpulan kolagen dan kolesterol di dinding saluran darah.

b) Embolik

Strok embolik berpunca daripada serpihan darah beku yang mengalir dari satu tempat ke tempat yang lain. Contohnya, dari jantung atau salah satu daripada saluran darah di leher ke saluran darah di otak.

Strok Pendarahan

Dianggarkan 20 peratus daripada kes strok berlaku akibat pendarahan. Pendarahan berlaku apabila salah satu daripada saluran darah pecah di otak.

Antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya pendarahan ialah:

  • Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal
  • Kelainan pada saluran darah sejak lahir, iaitu aneurisme atau pembengkakan atau benjolan pada dinding saluran darah yang menyebabkan ia pecah.
  • Arterivenous Malformation (AVM)
  • Kelainan pada proses pembekuan darah

Sel-sel otak dapat diselamatkan sekiranya pendarahan yang berlaku dalam saluran darah otak ini dapat dikeluarkan dengan segera. Bagaimanapun, lokasi dan jumlah pendarahan juga diambil kira sebelum pembedahan dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

Strok atau juga sebenarnya dikategorikan sebagai serangan otak yang menyebabkan gangguan peredaran darah di otak merupakan pembunuh ketiga di Amerika Syarikat dan penyebab utama ketidakupayaan.

Komplikasi Strok

Meskipun proses pemulihan ini tidak dapat menjadikan pesakit kembali pulih kepada asal, sekurang-kurangnya dengan proses pemulihan yang betul ia dapat mencegah komplikasi strok.

Komplikasi strok ini berlaku ekoran pesakit yang telah hilang upaya dan tidak mampu untuk mengurus diri mereka. Antara komplikasi pesakit ialah:

Tekanan pada kulit

Tekanan pada kulit ini lama-kelamaan boleh mengakibatkan radang kulit dan akhirnya kudis kulit. Bagi mengatasi masalah ini, kedudukan pesakit perlu diubah setiap dua hingga empat jam sekali.

Kekejangan otot yang mengakibatkan kontraktur

Fibrosis tisu otot yang menyebabkan penyusutan dan pemendekan otot. Keadaan yang kekal ini boleh menyebabkan urat tendon putus kerana tiada sebarang pergerakan dilakukan.

Komplikasi lain

Komplikasi lain strok termasuklah:

  • Radang paru-paru (pneumonia)
  • Jangkitan saluran kencing
  • Darah beku pada pembuluh darah akibat tiada proses pengepaman darah dan tekanan dari kaki untuk menghantar darah ke jantung (Deep Vein Thrombosis – DVT)
  • Kemurungan
  • Hilang pekerjaan
  • Paru-paru berair
  • Serangan jantung
  • Ulser perut
  • Tekanan emosi dan ubat-ubatan yang dimakan boleh mengakibatkan pengeluaran asid secara berlebihan dari perut
  • Kekurangan zat makanan
  • Pesakit yang tidak boleh menelan dan terpaksa mendapat makanan melalui tiub menyebabkan mereka kurang mendapat zat makanan yang diperlukan tubuh
  • Kegagalan buah pinggang
  • Pengambilan air yang tidak mencukupi dan pengambilan ubat-ubatan boleh mengakibatkan ketidakseimbangan elektrolit dan akhirnya menyebabkan kegagalan buah pinggang

Kaedah pemulihan

Secara purata, pesakit hanya perlu berada di wad antara tiga hingga tujuh hari sahaja. Dalam tempoh tersebut penjaga akan didedahkan dengan kaedah-kaedah serta teknik-teknik yang betul berhubung penjagaan pesakit semasa di rumah.

Dianggarkan 90 peratus proses pemulihan dijalankan di rumah pesakit. Selain memudahkan keluarga pesakit, ia juga bertujuan supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada hospital.

Ini kerana lebih lama pesakit tinggal di wad, lebih lama tempoh pemulihan mereka kerana terdapat lebih banyak komplikasi, terutamanya jangkitan.

Bagi mencapai matlamat ini, kontraktor binaan yang berpengalaman akan membuat lawatan ke rumah pesakit bersama jurupulih cara kerja (occupational therapist) untuk membuat pengubahsuaian sebagai kemudahan pesakit untuk bergerak.

Pasukan pemulihan strok yang terdiri daripada pakar-pakar saraf perubatan, pegawai perubatan, jururawat, pegawai fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan akan terlibat dalam proses pemulihan ini.

Selain itu, pegawai kebajikan, pakar pemakanan, ahli farmasi dan jururawat penjagaan di rumah tidak terkecuali. Kaedah pemulihan akan diberi bergantung kepada kepakaran yang dimiliki dalam pasukan strok ini. 

Pakar perubatan yang mengetuai pasukan ini akan bertindak memberi pendidikan dan kaunseling kepada pesakit dan keluarga mereka. Jururawat pula berfungsi memastikan supaya pesakit tidak mendapat komplikasi semasa tinggal di wad.

Selain itu, kebersihan pesakit seperti menggosok gigi, membersihkan najis antara aspek penting juga perlu dititikberatkan.

Bergantung kepada keperluan pesakit, mereka mungkin memerlukan:

Tilam beralun

Tilam angin yang boleh mengembang dan mengempis mengikut masa supaya tekanan pada tilam berubah-ubah.

Tilam anti tekanan

Stokin khas

Stokin untuk mengelakkan berlakunya darah beku dalam saluran darah (deep vein thrombosis). Ia berfungsi untuk mencengkam kulit dan mengempiskan vena supaya darah tidak bertakung.

Stoking tekanan

Tiub pemakanan

Pesakit yang tidak boleh menelan terpaksa menggunakan tiub yang dimasukkan ke dalam hidung dan terus ke perut bagi mengelakkan berlakunya pneumonia dan kekurangan zat makanan.

Alternatif untuk tiub ini ialah tiub yang ditebuk ke perut yang dikenali sebagai Percutaneous Endoscopic Gastrostomy (PEG) tube.

Tiub pemakanan

Rehabilitasi Pesakit Strok

Rehabilitasi pesakit strok merupakan kerja berkumpulan yang melibatkan ahli keluarga pesakit serta staf perubatan terlatih seperti ahli fisioterapi, jurupulih carakerja, pakar nutrisi dan lain.

Berikut disenaraikn rehabilitasi yang diperlukan pesakit strok:

  • Bagi mengelakkan kekejangan dan kaku otot, pesakit dan ahli keluarga pesakit dilatih cara-cara yang betul untuk mengalihkan kedudukan pesakit, membawa ke tandas, mengangkat dan sebagainya.
  • Jurupulih cara kerja akan membuat penilaian sama ada keadaan rumah pesakit sesuai untuk mereka ke tandas, katil dan sebagainya. Mereka juga akan membuat penilaian sama ada pesakit memerlukan alat-alat bantuan berjalan seperti tongkat, kerusi roda dan lain-lain.
  • Pesakit yang menghadapi masalah gangguan pertuturan dan pemahaman dalam berkomunikasi akan dibantu oleh pakar pertuturan untuk bertutur.
  • Bagi memastikan pesakit mendapat zat makanan yang mencukupi, pakar pemakanan akan menganggarkan keperluan kalori yang diperlukan.
  • Pada masa yang sama, ahli farmasi akan menasihatkan pesakit supaya mengambil dos yang betul.
  • Sekiranya pesakit memerlukan bantuan kewangan, pegawai kebajikan akan berusaha mendapatkan bantuan kewangan untuk keperluan pesakit.
Rehabilitasi pesakit strok

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.