Keracunan Plumbum – Simptom dan Punca

Cat berasaskan plumbum dan bangunan tercemar dengan habuk plumbum merupakan punca utama keracunan plumbum pada kanak-kanak.

keracunan plumbum

Keracunan plumbum terjadi apabila plumbum terkumpul di dalam badan. Ianya boleh berlaku tiba-tiba atau mengambil masa beberapa bulan dan tahun. Jumlah yang sedikit sudah cukup untuk memberikan kesan serius kepada kesihatan manusia.

Kanak-kanak berumur kurang dari 6 tahun akan mendapat kesan yang teruk dari segi perkembangan fizikal dan mental. Jumlah keracunan yang tinggi boleh membahayakan nyawa.

Cat berasaskan plumbum dan bangunan tercemar dengan habuk plumbum merupakan punca utama keracunan plumbum pada kanak-kanak. Punca lain termasuklah pencemaran udara, air dan tanah. Mereka yang bekerja berkaitan pembuatan bateri atau tukang membaiki rumah dan kereta juga mungkin terdedah kepada plumbum.

Keracunan plumbum boleh dirawat tetapi lebih baik mengambil langkah pencegahan sebelum berlaku kerosakan kepada kesihatan anda dan keluarga.

Tanda dan simptom

Pada peringkat awal, keracunan plumbum sukar dikesan dan mereka yang mempunyai kandungan plumbum dalam darah masih boleh kelihatan sihat. Simptom hanya akan keluar apabila kadar plumbum dalam darah mencapai jumlah merbahaya.

Simptom keracunan plumbum pada kanak-kanak

Antara tanda-tanda keracunan plumbum pada kanak-kanak termasuklah:

  • Perkembangan lambat
  • Kesukaran belajar
  • Rasa gelisah
  • Kurang selera makan
  • Kurang berat
  • Keletihan dan lambat berfikir
  • Sakit perut
  • Sembelit
  • Kurang pendengaran
  • Sawan
  • Makan sesuatu yang bukan makanan seperti cat dinding yang dikikis (pica)

Keracunan plumbum pada bayi baru lahir

Bayi yang terdedah kepada plumbum sebelum lahir mungkin:

  • Lahir tidak cukup bulan
  • Berat kurang ketika lahir
  • Lambat membesar

Simptom keracunan plumbum pada orang dewasa

Walaupun kanak-kanak lebih berisiko tinggi, keracunan plumbum juga merbahaya pada orang dewasa. Antara tanda-tandanya termasuklah:

  • Tekanan darah tinggi
  • Sakit sendi dan otot
  • Susah mengingat dan menumpukan perhatian
  • Sakit kepala
  • Sakit perut
  • Perubahan mood
  • Kurang penghasilan sperma atau sperma rosak
  • Keguguran, bayi lahir mati ataupun beranak tidak cukup bulan pada wanita

Punca

Plumbum merupakan galian yang terhasil secara semulajadi dalam kerak bumi. Galian ini didapati melalui proses perlombongan, pembakaran minyak fosil dan juga poses pembuatan menjadikannya senang didapati di mana-mana. Plumbum digunakan di dalam cat, minyak gasolin, pembuatan bateri, paip, bahan atap, seramik, pateri dan sesetengah bahan kosmetik.

Plumbum dalam cat

Plumbum yang terdapat dalam cat untuk rumah, permainan kanak-kanak dan juga perabot boleh menjadi punca keracunan. Cat berplumbum banyak terdapat pada rumah dan perabot lama. Kebanyakan keracunan plumbum pada kanak-kanak adalah akibat memakan hakisan cat ini.

Paip air dan makanan dalam tin

Paip berplumbum, dan peralatan perpaipan seperti penyambung paip dan alat pateri boleh melepaskan partikel plumbum ke dalam air paip harian. Terdapat juga negara yang masih membenarkan penggunaan tin berplumbum untuk membungkus makanan.

Punca keracunan plumbum yang lain

Plumbum boleh juga dijumpai dalam:

  • Tanah. Partikel plumbum daripada minyak gasolin ataupun cat yang tumpah boleh kekal di dalam tanah selama bertahun-tahun. Tanah yang berdekatan rumah-rumah lama juga mungkin mengandungi plumbum.
  • Habuk dalam rumah. Rumah yang pernah dicat menggunakan cat plumbum akan terhakis dan menghasilkan habuk merbahaya.
  • Seramik. Pewarna pada barang seramik dan porselain boleh mengandungi plumbum yang mampu merasap ke dalam makanan yang dihidangkan.
  • Permainan. Terdapat barang permainan yang masih menggunakan pewarna plumbum.
  • Kosmetik. Terdapat beberapa kes keracunan plumbum yang dikaitkan dengan kosmetik. Dapatkan kosmetik yang berdaftar sahaja.
  • Ubat herba dan tradisional. Terdapat ubat-ubatan tradisional yang dicampur dengan bahan mengandungi plumbum.
  • Peluru. Peluru untuk latihan dan peluru hidup juga mengandungi plumbum.
  • Pekerjaan. Terdapat pekerja yang terdedah kepada plumbum seperti mekanik, pekerja perlombongan, perpaipan, penghasilan bateri, cat dan beberapa bidang lain lagi. Mereka juga boleh membawa pulang partikel plumbum ke rumah melalui pakaian yang tidak ditukar.

Faktor risiko

Terdapat faktor yang boleh meningkatkan lagi risiko keracunan plumbum seperti:

  • Umur. Kanak-kanak kecil lebih mudah terdedah kepada plumbum. Mereka suka meletakkan sesuatu ke dalam mulut seperti serpihan cat ataupun bahan-bahan lain. Mereka juga boleh menyerap lebih banyak partikel plumbum berbanding orang dewasa.
  • Tinggal di rumah menggunakan cat plumbum. Mereka yang tinggal di rumah yang di cat menggunakan cat plumbum terdedah kepada risiko keracunan. Mereka yang melakukan renovasi rumah juga boleh terdedah.
  • Hobi tertentu. Pembuatan seramik dan alat pateri juga melibatkan penggunaan plumbum yang mendedahkan anda kepada keracunan.
  • Tinggal di negara mundur atau membangun. Peraturan di negara ini tidak ketat berkenaan penggunaan bahan berplumbum.

Plumbum juga boleh menjejaskan kesihatan janin, wanita mengandung perlu mengelakkan semua faktor-faktor di atas.

Komplikasi

Pendedahan kepada plumbum walaupun pada jumlah yang kecil boleh membahayakan kesihatan terutamanya pada kanak-kanak. Risiko utama adalah kepada perkembangan otak di mana ianya tidak dapat dipulihkan semula. Keracunan yang tinggi boleh merosakkan buah pinggang dan sistem saraf kanak-kanak dan orang dewasa. Ianya juga boleh menyebabkan sawan, tidak sedarkan diri dan boleh membawa kepada kematian.

Bacaan lanjut berkenaan keracunan plumbum:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.