Kepentingan Kalsium dan Sumbernya

Kekurangan kalsium akan menyebabkan keadaan yang dipanggil riket pada kanak-kanak dan osteomalacia di kalangan orang dewasa.

Kalsium adalah sejenis mineral yang penting untuk kita. Ia membentuk mineral yang terbanyak berbanding mineral-mineral lain. Ia sangat penting kepada kanak-kanak dan remaja dalam pembentukan tulang dan gigi yang baik. 99% kalcium di dalam badan adalah dalam bentuk tulang dan gigi. Bagi mereka yang sudah menopause (putus haid) pula, kalsium juga sangat penting untuk mengekalkan struktur tulang mereka.

Kekurangan kalsium akan menyebabkan keadaan yang dipanggil riket pada kanak-kanak dan osteomalacia di kalangan orang dewasa.

Selain daripada itu, kalsium juga adalah penting untuk fungsi-fungsi yang lain seperti:

  • Fungsi saraf yang baik (rasa gelisah, rasa sesemut atau kebas)
  • Fungsi otot yang baik (kekejangan) seperti merawat kekejangan waktu malam
  • Proses pembekuan darah
  • Kajian terkini mendapati kalsium membantu menghalang berlakunya tekanan darah tinggi

Keperluan kalsium

Kajian yang dilakukan di luar negara mendapati sehingga 60% – 70% penduduk tidak mengambil kalsium yang secukupnya setiap hari. 

Berapa banyakkah keperluan kalsium untuk setiap individu ? Sila rujuk kepada carta di bawah ini.

Lelaki

Umur (tahun)Keperluan kalsium dalam mg
8 – 11800
12 – 151200
16 – 181000
19 – 64800
Melebihi 64800

Wanita

Umur (tahun)Keperluan kalsium dalam mg
8 – 11900
12 – 151000
16 – 18800
19 – 54800
Melebihi 541000
Mengandung1100
Menyusu bayi1200

Secara kasarnya, wanita memerlukan lebih kalsium berbanding lelaki. Wanita remaja memerlukan kalsium yang cukup untuk menguatkan tulang mereka di samping membantu mengawal osteoporosis semasa mereka semakin dewasa dan tua. Wanita Asia yang mempunyai struktur badan yang kecil dan ketumpatan tulang yang rendah lebih berisiko tinggi menghadapi osteoporosis.

Masalah yang dihadapi dengan kalsium ialah kadar penyerapannya yang agak rendah. Sebenarnya badan kita hanya memerlukan 150mg kalsium sehari, tetapi memerlukan pengambilan sehingga 10 kali ganda daripada jumlah tersebut.

Sumber-sumber kalsium

Kalsium banyak didapati melalui pengambilan susu dan makanan dairy (tenusu) yang lain. Bagaimanapun, pengambilan yang berlebihan menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Ada juga individu yang alahan dengan barangan tenusu.

Selain daripada itu, kalsium juga boleh didapati melalui sardin, ikan bilis, tofu, oyster, sayuran mentah, udang dan kekacang.

Sebagai perbandingan kasar, 600mg kalsium adalah bersamaan dengan :

  • 3 gelas susu
  • 4.6kg daging
  • 15 biji telur
  • 70g cheese
  • 400g ais krim
  • 2 cawan yoghurt

Osteoporosis

Osteoporosis adalah satu keadaan di mana jumlah kalsium di dalam tulang menjadi berkurangan. Ini menyebabkan tulang mudah patah berbanding biasa.

Wanita lebih terdedah kepada keadaan ini kerana jisim tulang mereka yang lebih ringan berbanding orang lelaki. Secara puratanya kaum wanita mempunyai risiko menghadapi osteoporosis 6 kali lebih tinggi berbanding kaum lelaki.

Antara penyebab utama berlakunya keadaan ini ialah :

  1. Kurangnya senaman. Senaman membina jisim tulang yang kuat untuk mencegah osteoporosis semasa usia meningkat.
  2. Kurang pengambilan kalsium.
  3. Pengurangan hormon oestrogen pada wanita yang telah menopause.
  4. Risiko lain termasuklah pengambilan alkohol dan merokok.

Waktu anda berusia remaja sehingga usia 35 tahun adalah masa pembentukan tulang yang paling banyak dan terpenting. Untuk mengelakkan proses osteoporosis pada usia lanjut, pengambilan kalsium yang secukupnya adalah diperlukan semasa usia ini.

Kehilangan tisu tulang berlaku perlahan-lahan dan tiada tanda-tanda awal. Tetapi apabila kepadatan tulang makin menurun, melakukan aktiviti biasa dan ringan boleh menyebabkan keretakan tulang. Keretakan osteoporosis yang teruk akan menyebabkan sakit tulang belakang dan kehilangan ketinggian.

Risiko menghidap osteoporosis

Faktor RisikoRisiko TinggiRisiko Rendah
JantinaPerempuanLelaki
Umur> 60 tahun< 60 tahun
MenopauseAwalLewat
KeturunanAsia / CaucasianAfrika
Saiz tulangKecil Besar
Berat badanKurang berat badanLebih berat badan
Senaman / aktivitiTidak aktifAktif
MerokokKuat merokokTidak merokok
Pengambilan alkoholBerlebihanSedikit / tiada
Pengambilan kalsiumSedikitBanyak
Zat makananTidak  memuaskanMemuaskan
Pengambilan protinBanyakSedikit
Pengambilan kopi / tehBerlebihanSedikit / tiada
HyperthyroidismYaTidak
Pengambilan corticosteroidYaTidak

Kesimpulan

  • Langkah-langkah pencegahan dan pengawalan adalah penting berbanding rawatan dalam mengatasi masalah kereputan tulang.
  • Untuk penyerapan kalsium ke dalam tulang yang maksimum, kalsium hendaklah diambil : 
    • bersama-sama vitamin D
    • bersama-sama magnesium. Sekiranya pengambilan kalsium banyak tetapi pengambilan magnesium tidak dipertingkatkan selari dengan pengambilan kalsium, kalsium akan mula berkumpul di bahagian-bahagian otot, jantung dan buah pinggang, membentuk batu karang.
    • selepas makan.
  • Untuk mempertingkatkan lagi penyerapan kalsium, makanan dan minuman ini hendaklah dijauhkan : 
    • Pengambilan daging, makanan yang tinggi dengan protein dan makanan yang berasid mempercepatkan proses osteoporosis. Oleh itu ia hendaklah dikurangkan terutamanya oleh mereka yang berisiko tinggi mengalami osteoporosis.
    • Pengambilan air berkaffein dan alkohol mempercepatkan pengeluaran kalsium dari badan melalui air kencing.
    • Pengambilan kalsium bersama-sama produk yang tinggi dengan lemak seperti coklat adalah sangat tidak digalakkan. Oxalic acid yang terdapat di dalam coklat akan bertindak balas dengan kalsium dan membentuk batu karang.
    • Pengambilan cereal bersama-sama kalsium menghalang penyerapan kalsium yang efficien.
    • Pengambilan garam yang tinggi menyebabkan kalsium lebih banyak dikeluarkan dari sistem badan kita.
    • Penggunaan ubat steroid seperti Prednisolone akan menyebabkan struktur tulang menjadi lemah.
  • Dengan kemajuan sains yang ada sekarang ini, banyak produk canggih di mana penyerapan kalsium adalah maksimum, yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal besar. Antara produk jenama ternama yang ada di pasaran Malaysia ialah Caltrate dan Oscal.
  • Pesakit kencing manis (insulin-dependent) juga mempunyai struktur tulang yang lebih lemah berbanding orang biasa.
  • Osteoporosis boleh diubati. Dapatkan keterangan lanjut dari doktor atau ahli farmasi anda.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.