Kepentingan dan Kelebihan Vitamin C

Vitamin C merupakan vitamin yang penting untuk fungsi normal tubuh badan, jom ketahui kelebihan dan kepentingan vitamin C.

Vitamin C adalah antara vitamin yang paling kerap diambil oleh mereka yang prihatin dengan kesihatan. Ianya dikatakan memainkan peranan dalam mengawal jangkitan dan membantu penyembuhan luka.

Vitamin C juga dikenali sebagai asid askorbik. Keperluan minima yang disyorkan, seperti yang digariskan oleh USRDA (United Stated Recommended Daily Allowance) adalah 60mg sahaja sehari.

Sifat Vitamin C

Vitamin C sangat tidak stabil. Oleh itu ia mudah rosak apabila terdedah kepada pencemaran, stress, proses oxidasi (seperti terdedah kepada udara), merokok dan sebagainya. Vitamin C tidak dihasilkan oleh sel-sel badan kita. Oleh itu, pengambilan dari sumber luaran adalah penting.

Vitamin ini larut di dalam air. Ia mudah dibuang melalui air kencing dan juga peluh. Pengambilan yang berterusan adalah penting untuk memastikan kandungan di dalam badan tidak menjadi rendah. 

Kesan kekurangan Vitamin C

Kekurangan berterusan vitamin C akan menyebabkan anda mengalami beberapa jenis penyakit atau gejala seperti berikut:

  • Pendarahan dalaman (haemorrhages) di mana ada tanda-tanda lebam berwarna hitam biru di bahagian-bahagian badan.
  • Gusi berdarah dan tidak kuat.
  • Tulang menjadi kurang stabil kerana perubahan-perubahan yang terjadi pada tulang rawan yang menyokong tulang-tulang biasa.
  • Tisu jantung rosak.
  • Kesan kepada struktur tulang menyebabkan kehilangan kalsium.
  • Penambahan kadar metabolisma berlaku.

Punca kekurangan Vitamin C

Ada beberapa kumpulan manusia yang mempunyai kandungan vitamin C yang lebih rendah di dalam badan mereka:

  • Perokok. Sebatang rokok boleh memusnahkan 25mg vitamin C di dalam badan. Kajian ke atas air kencing perokok yang menghisap lebih daripada 20 batang rokok mendapati tidak ada (atau hanya sedikit) kandungan vitamin C yang ada.
  • Pesakit kencing manis. Pesakit ini banyak kehilangan vitamin C melalui kencing yang kerap. Kajian menunjukkan mereka yang mengambil vitamin C pun masih lagi mengalami kandungan vitamin C yang rendah. Ini berlaku kerana kandungan gula yang tinggi menyebabkan berlakunya persaingan antara gula dan vitamin C. Pesakit kencing manis juga mendapati kandungan kolagen mereka yang kurang menyebabkan proses penyembuhan luka terjejas. Perubahan-perubahan yang terjadi pada protein dan radikal bebas menyebabkan pesakit kencing manis lebih terdedah kepada komplikasi seperti katarak, atherosklerosis, kerosakan saraf dan kerosakan buah pinggang. Pengambilan vitamin C dapat membantu dalam keadaan-keadaan ini.
  • Pesakit kanser.
  • Orang yang banyak minum minuman beralkohol.
  • Pesakit rheumatoid arthritis.
  • Ahli sukan yang melakukan aktiviti lasak. Mereka banyak kehilangan vitamin B kompleks dan vitamin C disebabkan oleh aktivit-aktiviti ini, di samping pendedahan yang lebih pada cuaca panas (berpeluh – jadi kehilangan vitamin C). 
  • Pesakit yang mengalami penyakit kronik seperti tuberkulosis, jangkitan kuman dan lain-lain.
  • Pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil perancang, aspirin dan antibiotik.
  • Pesakit yang sedang dirawat di hospital atau mereka yang baru sahaja menjalani pembedahan.

Kepentingan Vitamin C

Vitamin C didapati penting untuk fungsi-fungsi utama berikut:

  • Berfungsi sebagai penguat sistem imuniti badan. Vitamin C menyebabkan fungsi sel darah putih dapat dijalankan dengan lebih efektif. Sel-sel darah putih ini melawan bakteria dan virus yang menyerang badan kita.
  • Pembuangan toksin-toksin dari dalam badan.
  • Sebagai anti-oksidan ia penting dalam pencegahan penyakit bahaya seperti kanser. Selain sebagai fungsinya sebagai anti-oksidan, vitamin C membantu pengeluaran interferon yang sangat penting untuk melawan sel-sel kanser. Vitamin C juga menghalang pembentukan nitrosamines yang boleh menyebabkan kanser. Perlu diingat bahawa vitamin C bukanlah ubat untuk kanser, tetapi ia membantu memperlahankan pertumbuhan tumor daripada menjadi lebih teruk di samping menguatkan sistem imunisasi.
  • Kesihatan sistem jantung. Pengurangan kandungan vitamin C akan menyebabkan pengeluaran cecair hempedu berkurangan. Ini pula akan menyebabkan pertambahan kandungan kolesterol. Pengurangan vitamin C juga menyebabkan dinding saluran darah mudah dirosakkan oleh enzim. Kajian menunjukkan pengurangan vitamin C dalam jangkamasa panjang akan menyebabkan atherosklerosis, di mana lemak dan kolesterol akan melekat dan menyekat saluran darah.
  • Penyembuhan luka. Vitamin C akan meningkatkan kadar pengeluaran kolagen, oleh itu luka boleh sembuh dengan lebih cepat.
  • Agen mengurangkan rasa sakit.
  • Mengurangkan alahan.
  • Penyerapan zat besi dari sumber bukan daging ke dalam darah. Ini adalah penting kepada mereka yang tidak memakan daging (vegetarian).
  • Pengurangan stres. Vitamin C adalah penting dalam pengeluaran hormon kortikosteroid, adrenaline dan noradrenaline. Stres akan menyebabkan hormon-hormon ini dikeluarkan lebih daripada biasa, oleh itu keperluan kepada vitamin C akan meningkat. Dalam hal ini pengambilan bersama vitamin B kompleks adalah penting.

Fakta-fakta lain

  • Vitamin C amat mudah rosak. Oleh itu sayuran dan minuman yang mengandungi vitamin C akan kehilangan banyak vitamin C jika disimpan lama atau diproses secara berlebihan.
  • Pengambilan bioflavinoids bersama-sama dengan vitamin C boleh menguatkan vitamin C dan menggalakkan penyerapan vitamin C.
  • Pengambilan vitamin C dengan vitamin E bersama-sama adalah amat disyorkan kerana kesannya yang sinergistik.
  • Pengambilan vitamin C yang tinggi boleh menyebabkan masalah perut seperti najis yang agak lembut dan cirit-birit. Ini boleh dielakkan dengan mengambil vitamin C selepas makan.
  • Vitamin C tidak menyebabkan ulser gastrik. Ia didapati boleh membantu penyembuhan ulser.
  • Pengambilan vitamin C yang tinggi sebelum menjalani ujian darah boleh memberikan bacaan yang salah. Oleh itu, hentikan pengambilan vitamin C sebelum menjalani apa-apa ujian.
  • Ada kajian yang menyatakan pengambilan vitamin C yang tinggi boleh menyebabkan anda susah untuk mengandung. Oleh itu, pengambilan vitamin C yang tinggi patutlah diberhentikan sekiranya anda berhasrat untuk mengandung.
  • Pengambilan vitamin C sehingga 4000mg sehari tidak digalakkan untuk mereka yang menghidapi masalah batu karang. Begitu juga pesakit yang menjalani haemodialisis atau menghidapi penyakit yang berkaitan dengan buah pinggang tidak digalakkan mengambil vitamin C dalam dos yang tinggi.
  • Pesakit gout tidak digalakkan mengambil vitamin C yang tinggi. 
  • Vitamin C tidak boleh diambil oleh mereka yang mengambil ubat seperti warfarin (ubat yang mencegah pembekuan darah) dan ubat tekanan perasaan dari kumpulan tricyclic anti-depressant (sila rujuk dengan doktor atau ahli farmasi anda). Antara ubatan lain yang mempunyai interaksi dengan vitamin C ialah aspirin, antibiotik dan pil perancang.
  • Vitamin C adalah dalam bentuk asid. Bagaimanapun ada jenis-jenis vitamin C yang berbentuk alkali seperti Askorbate. Ia bolehlah diambil oleh mereka yang tidak tahan dengan asid (seperti mengalami masalah perut apabila mengambil vitamin C). Bagaimanapun vitamin C yang tidak bersifat asid ini boleh menyebabkan pengurangan kandungan mineral zink dalam badan anda.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.