Kenali Buah Pinggang

Buah pinggang berfungsi melakukan proses utama untuk mengekalkan keseimbangan kimia dalam cecair tubuh kita (proses keseimbangan ini dinamakan homeostasis).

Buah pinggang berfungsi melakukan proses utama untuk mengekalkan keseimbangan kimia dalam cecair tubuh kita, proses keseimbangan ini dinamakan homeostasis. Buah pinggang juga membantu untuk membersihkan sel kimia yang tidak diperlukan di dalam tubuh.

Proses ini memastikan darah kita hanya mengandungi campuran garam galian dan air yang cukup serta mengekalkan tahap asid-alkali di dalam cecair tubuh. Dengan berfungsi sebagai bahan penapis, buah pinggang memastikan bahan yang tidak diperlukan tubuh dikeluarkan dalam bentuk air kencing.

Bagaimana buah pinggang bekerja?

Kedua-dua buah pinggang terletak atas sedikit daripada pinggang di belakang rongga abdomen. Arteri renal membawa darah daripada jantung ke buah pinggang. Satu tiub disebut ureter mengalirkan darah daripada setiap buah pinggang ke pundi-pundi.

Setiap buah pinggang mengandungi lebih sejuta struktur berbentuk bola kecil dinamakan glomeruli. Glomeruli terletak di cortex atau bahagian luar buah pinggang. Fungsinya ialah menapis cecair mengandungi glukos, asid amino, garam dan bahan kotoran daripada darah.

Anatomi buah pinggang

Buah pinggang berupaya melakukan proses ini kerana darah daripada arteri renal memasuki buah pinggang dengan tekanan yang kuat. Tekanan ini memaksa cecair tadi ke medulla melalui beberapa tiub kecil. Tiub ini dikelilingi oleh saluran darah yang meresapkan zat dan air yang diperlukan tubuh. Darah yang ditapis tadi kemudian keluar daripada buah pinggang melalui saluran renal dan membuat pusingan semula.

Cecair yang ditapis ini mengandungi bahan kotoran yang terkumpul di dalam pundi-pundi kencing. Air kencing keluar daripada tubuh melalui satu lagi saluran yang dinamakan urethra. Kesemua sistem daripada buah pinggang ke urethra dikenali sebagai sistem buah pinggang.

Selain membersihkan darah, buah pinggang mengawal kandungan air dan garam yang terdapat di dalamnya. Umpamanya jika anda minum banyak air dengan cepat, air terus memasuki saluran darah dan mempunyai kesan mencairkan darah.

Apabila darah yang cair ini memasuki buah pinggang, air yang berlebihan dikeluarkan secara automatik sebagai air kencing. Sama juga jika anda banyak berpeluh, tubuh kekurangan air dan air kencing berwarna pekat sehinggalah buah pinggang mengumpul jumlah air yang cukup.

Sistem buah pinggang yang sihat tidak mengandungi organisme mikro dan air kencing yang melaluinya telah dengan sendirinya disteril. Bagaimanapun, sistem ini boleh mendapat jangkitan jika bakteria di luar tubuh memasuki urethra dan sampai ke pundi-pundi kencing.

Bakteria ini boleh merebak dan mungkin berjangkit pada buah pinggang, menyebabkan keradangan yang dinamakan pyelonephritis. Ini biasanya berlaku apabila aliran biasa air kencing tersekat. Bakteria terus membiak di dalam air kencing yang terkumpul.

Laluan kencing dari buah pinggang ke pundi kencing

Adakalanya perkara ini terjadi tanpa diketahui sebabnya. Orang yang sihat pun boleh mendapatnya. Wanita lebih mudah mendapat jangkitan kerana urethranya pendek menyebabkan bakteria mudah memasuki buah pinggang. Kebanyakan kita membuang air kecil empat atau enam kali sehari. Jika lebih daripada itu, ini mungkin disebabkan oleh rasa cemas, jangkitan, atau berpunca daripada penyakit.

Buat pemeriksaan doktor jika anda menghadapi masalah ini. Anda juga patut membuat pemeriksaan jika pengeluaran air kencing anda berkurangan. Ini mungkin disebabkan kekurangan air – dehidrasi (umpamanya selepas muntah-muntah atau cirit-birit) tetapi ini juga mungkin menjadi tanda akan kerosakan buah pinggang atau tersumbat.

Batu karang

Air kencing kita mengandungi garam galian yang telah hancur. Jika garam ini terlalu pekat, garam berlebihan bertukar menjadi keras dan dinamakan batu karang. Batu karang yang besar boleh menyekat pengaliran air kencing dan menyebabkan jangkitan dan adakalanya dinamakan renal kolik – iaitu sakit teruk di sekeliling buah pinggang hingga ke bahagian kelengkang.

Sesetengah orang yang mengalami batu karang tidak merasakan apa-apa tanda, ada pula terlalu sakit dan keradangan. Ubat melegakan sakit atau pembedahan diperlukan untuk membantu pesakit. Batu ini juga dipecahkan dengan rawatan ultrasound tanpa memerlukan pembedahan.

Batu karang pada buah pinggang

Meningkat tua

Semakin seseorang meningkat tua, jumlah unit penapis di dalam buah pinggang berkurangan. Jika buah pinggang turut rosak kerana penyakit, penapis yang ada menjadi kurang berkesan dan bahan kotoran mungkin terkumpul di dalam darah.

Kita juga harus ingat faktor-faktor utama yang menyebabkan penyempitan saluran darah di jantung turut menjejaskan buah pinggang. Mereka yang mengalami tekanan darah tinggi atau kencing manis lebih mudah mendapat masalah buah pinggang.

Dialisis buah pinggang

Jika buah pinggang rosak teruk dan tidak boleh berfungsi walaupun mengikuti diet khusus, dialisis diperlukan, sama ada terus-menerus atau sehingga penderma buah pinggang ditemui.

Satu buah pinggang boleh berfungsi untuk dua tetapi jika kedua-duanya tidak lagi berfungsi, seseorang memerlukan pemindahan buah pinggang atau cara lain untuk menapis darah. Teknologi perubatan mencipta proses dinamakan dialisis yang menapis darah melalui mesin buah pinggang tiruan apabila kedua-dua buah pinggang tidak boleh berfungsi lagi.

Pesakit yang mendapat rawatan dialisis dapat meneruskan hidup tetapi aktiviti hidup mereka semakin terbatas. Rawatan ini mahal, memerlukan banyak masa terluang dan tidak semua pesakit boleh menerimanya. Masalah sering dihadapi ialah anemia teruk dan pengambilan cecair berlebihan harus dikawal.

Proses dialisis

Pemindahan buah pinggang

Secara teori, pemindahan buah pinggang nampak begitu mudah dengan mengeluarkan buah pinggang lama dan menggantikan dengan yang baru dan pesakit dapat menikmati kehidupan normal. Namun jika tubuh pesakit tidak dapat menerima buah pinggang baru, masalah akan timbul. Ini diatasi dengan mencari pesakit dan penderma yang mempunyai kaitan dan ubat diperlukan untuk mengurangkan tindakan balas yang dihadapi tubuh penerima.

Buah pinggang gagal berfungsi

Buah pinggang gagal berfungsi apabila ia rosak teruk oleh penyakit kronik dan tidak lagi boleh menapis bahan tidak diperlukan. Buah pinggang termasuk dalam kumpulan organ utama seperti jantung, otak dan paru-paru.

Buah pinggang boleh rosak kerana beberapa penyakit. Antaranya ialah:

  1. Keturunan 
  2. Jangkitan 
  3. Kerosakan disebabkan penyakit seperti darah tinggi 
  4. Diabetes mellitus 
  5. Kesan sampingan ubat tertentu atau pengambilan dadah

Penyakit buah pinggang sukar difahami. Ia menyerang orang dewasa dan kanak-kanak sama ada orang itu sihat atau tidak atau bagaimana corak hidup seseorang.

Kegagalan buah pinggang kronik

Apabila seseorang menghidap penyakit buah pinggang yang kronik, ia akan sakit teruk selama beberapa bulan dan mengalami anemia. Buah pinggang terus mengeluarkan air kencing namun gagal mengeluarkan bahan kotoran atau menyerap bahan yang berguna.

Kegagalan buah pinggang kronik disebabkan beberapa penyakit seperti jangkitan kronik, diabetes atau pengambilan dadah berlebihan.

Tanda-tanda sakit buah pinggang kronik

Pesakit biasanya lemah, sering demam, sering kencing lebih-lebih lagi waktu malam. Jika dibiarkan tanpa rawatan, pesakit akan kehilangan berat badan, luka, gatal-gatal dan sedu. Kulit nampak kekuningan dan garis-garis warna coklat dilihat di kuku tangan.

Rawatan

Puncanya mesti dikenal pasti dan dirawat. Batu karang boleh dikeluarkan melalui pembedahan dan jangkitan kuman dirawat dengan ubat-ubatan. Jika kedua-duanya gagal, pesakit diberikan pemakanan tinggi karbohidrat dan rendah protein. Dialisis atau pemindahan buah pinggang diperlukan jika pesakit bertambah teruk.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.