Kanser Perut – Diagnosis dan Rawatan

Kanser perut yang masih belum merebak memerlukan pembedahan untuk membuang sebahagian perut ataupun esofagus di mana ketumbuhan itu berlaku.

Diagnosis

Beberapa ujian dan prosedur akan dijalankan untuk mengesahkan penyakit kanser perut seperti:

  • Endoskopi iaitu memasukkan kamera kecil sehingga ke dalam perut dan doktor akan melihat jika terdapat tanda-tanda kanser seperti ketumbuhan. Jika ada sesuatu perubahan, doktor akan mengambil sampel untuk analisis dengan menggunakan peralatan yang sama.
  • Pengimejan. Antara pengimejan yang boleh dijalankan termasuklah CT Scan dan boleh juga menggunakan x-ray khas dengan barium di mana pesakit perlu menelan barium ketika x-ray dijalankan.

Menentukan tahap kanser perut

Setelah doktor mengesahkan terdapat kanser perut, doktor perlu menentukan tahap kanser tersebut untuk memberikan rawatan yang bersesuaian. Antara ujian yang diperlukan untuk menentukan tahap kanser adalah:

  • Pengimejan. Biasanya dengan menggunakan CT Scan dan pewarna.
  • Pembedahan penerokaan. Doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan penerokaan (exploratory) untuk melihat dengan lebih dekat setakat mana kanser tersebut tersebar di dalam perut dan sama ada telah melibatkan organ lain selain perut dan esofagus. Pembedahan ini boleh dilakukan secara laparoskopik di mana beberapa lubang kecil akan dibuat pada perut untuk memasukkan kamera dan peralatan lain jika perlu, imej akan dipancarkan pada skrin ketika pembedahan.

Ujian-ujian lain mungkin akan dilakukan jika difikirkan perlu.

Tahap-tahap kanser perut

Tahap kanser perut adalah seperti berikut:

  • Tahap I. Pada tahap ini kanser hanya melibatkan lapisan atas yang melapisi perut dan mungkin juga kelenjar limfatik berdekatan.
  • Tahap II. Pada tahap ini sel kanser merebak lebih dalam melibatkan otot perut dan juga kelenjar limfatik berdekatan.
  • Tahap III. Pada tahap ini sel kanser telah menembusi keseluruhan dinding perut dan merebak ke struktur berdekatan. Sel kanser juga telah merebak ke banyak kelenjar limfatik.
  • Tahap IV. Kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Rawatan kanser perut

Rawatan kanser perut bergantung kepada jenis dan tahap kanser itu. Selain itu keadaan keseluruhan pesakit juga akan menentukan jenis rawatan.

Pembedahan

Kanser perut yang masih belum merebak memerlukan pembedahan untuk membuang sebahagian perut ataupun esofagus di mana ketumbuhan itu berlaku. Tujuan pembedahan adalah untuk membuang kesemua sel kanser termasuk sedikit tisu sihat yang berdekatan. Kelenjar limfatik berdekatan juga akan dibuang.

Antara pilihan pembedahan termasuk:

  • Membuang sel kanser peringkat awal yang melapisi dalam perut. Boleh dibuat menggunakan endoskopi dan prosedur ini dipanggil endoskopik mucosal resection. Alat khas digunakan untuk membuang sel kanser dan sedikit tisu sihat yang melapisi dalam perut.
  • Membuang sebahagian perut (subtotal gastrectomy). Dalam pembedahan ini doktor hanya membuang separuh atau sebahagian perut.
  • Membuang kesemua perut (total gastrectomy). Kesemua organ perut akan dibuang termasuk sedikit tisu berdekatan. Esofagus akan disambungkan terus ke usus kecil untuk membolehkan makanan melalui saluran pencernaan.
  • Membuang kelenjar limfatik untuk ujian kanser. Doktor juga akan membuang kelenjar limfatik di dalam abdomen dan akan diperiksa untuk melihat kehadiran sel kanser jika ianya telah merebak.
  • Pembedahan mengurangkan simptom. Selalunya dilakukan untuk kanser tahap akhir untuk mengurangkan kesengsaraan pesakit dan menjadikan pesakit lebih selesa tetapi tidak dapat menyembuhkan kanser. Risiko pembedahan termasuklah pendarahan dan jangkitan.

Terapi Radiasi (Radioterapi)

Terapi radiasi menggunakan tenaga berkuasa tinggi seperti x-ray dan proton untuk membunuh sel kanser.

Radioterapi boleh digunakan sebelum pembedahan (radiasi neoadjuvan) untuk mengecilkan saiz ketumbuhan bagi memudahkan lagi pembedahan dilakukan. Ianya juga boleh diberikan selepas pembedahan (radiasi adjuvan) untuk membunuh sel-sel kanser yang mungkin tidak dibuang di sekitar perut dan esofagus.

Kebanyakan radioterapi dan kemoterapi diberikan pada masa yang sama, selalunya sebelum pembedahan.

Terapi radiasi ke bahagian perut boleh menyebabkan cirit-birit, makanan tak lawas, mual dan muntah. Manakala radiasi ke esofagus pula boleh menyebabkan sakit dan susah ketika menelan. Untuk mengatasi masalah ini, tiub pemakanan mungkin akan dimasukkan melalui bahagian abdomen sehinggalah esofagus sembuh.

Untuk kanser tahap akhir, terapi radiasi boleh digunakan untuk mengurangkan simptom akibat kanser yang membesar.

Rawatan radioterapi sedang dijalankan

Kemoterapi

Kemoterapi merupakan rawatan ubat-ubatan yang mampu membunuh sel kanser. Ubat ini akan melalui seluruh badan dan boleh membunuh sel kanser yang merebak ke tempat lain juga.

Kemoterapi boleh diberikan sebelum pembedahan (kemoterapi neoadjuvan) untuk mengecilkan saiz ketumbuhan untuk memudahkannya dibuang. Kemoterapi selepas pembedahan (kemoterapi adjuvan) pula adalah untuk membunuh sel kanser yang mungkin masih tertinggal di dalam badan. Kemoterapi selalunya digabungkan dengan radioterapi. Kemoterapi juga boleh digunakan bersendirian pada kanser tahap akhir untuk menngurangkan simptom pesakit.

Kesan sampingan bergantung pada jenis ubat yang digunakan.

Terapi ubat bersasar

Terapi ubat bersasar menggunakan ubat ynag menyerang sesuatu yang spesifik pada sel kanser ataupun yang membantu sistem imun badan menyerang sel kanser. Antara ubat terapi bersasar ini termasuklah:

  • Trastuzumab (Herceptin) untuk kanser perut yang menghasilkan banyak HER2
  • Ramucirumab (Cyramza) untuk kanser tahap akhir yang tidak respon kepada rawatan yang lain
  • Imatinib (Gleevec) untuk jenis sel kanser yang jarang berlaku dikenali sebagai gastrointestinal stromal tumor
  • Sunitinib (Sutent) juga untuk gastrointestinal stromal tumors
  • Regorafenib (Stivarga) juga untuk gastrointestinal stromal tumors

Ubat bersasar ini selalunya digunakan sekali dengan ubat kemoterapi. Ujian-ujian tertentu akan dilakukan sebelum penggunaan ubat bersasar ini.

Rawatan sokongan (paliatif)

Paliatif merupakan kepakaran perubatan yang fokus kepada melegakan kesakitan dan kesengsaraan disebabkan penyakit yang serius. Pakar paliatif akan bekerjasama dengan pesakit, ahli keluarga dan doktor yang lain untuk memberikan sokongan rawatan. Rawatan paliatif boleh dijalankan ketika pesakit melalui rawatan agresif lain seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.

Apabila rawatan paliatif dijalankan bersekali, kualiti penjagaan pesakit akan meningkat dan pesakit lebih bersemangat untuk menjalani rawatan.

Potensi rawatan masa depan

Pengkaji sedang menjalankan kajian untuk ubat yang mampu merangsang sistem imun badan untuk membunuh sel kanser – dikenali sebagai immunoterapi. Ubat ini akan menyebabkan sistem imun badan menganggap sel kanser sebagai bendasing seperti virus dan bakteria lalu menyerangnya.

Adaptasi dan sokongan

Sesiapa yang menerima berita menghidap penyakit kanser semestinya berasa takut dan bimbang. Walaupun begitu, memberikan fokus sepenuhnya kepada rawatan dan pemulihan boleh membantu anda untuk melawan penyakit ini. Antara tips yang boleh dilakukan adalah seperti:

  • Belajar dengan lebih mendalam berkenaan penyakit ini. Tanya doktor dengan labih lanjut dan boleh terus bertanya jika tidak faham terutamanya dari segi rawatan. Baca artikel dari buku atau laman web bertauliah sahaja dan bukannya dari penjual produk yang suka mengambil kesempatan.
  • Berhubung dengan pesakit kanser yang lain ataupun yang telah pulih. Tanya doktor anda jika terdapat kumpulan sokongan ataupun bekas pesakit yang telah sembuh. Selain itu boleh juga sertai kumpulan online yang bertauliah.
  • Kekal aktif. Menghidap kanser bukan bermaksud kehidupan anda terhenti serta-merta. Ada banyak lagi aktiviti yang boleh anda lakukan untuk berhibur. Jika anda terfikirkan sesuatu terus saja lakukan atau nyatakan kepada ahli keluarga anda.
  • Kekalkan hubungan bersama keluarga dan rakan-rakan. Hubungan sosial boleh menjadi benteng sokongan kepada anda terutamanya ketika sedang menerima rawatan. Teruskan berhubung dan berjumpa dengan mereka.

Bacaan lanjut berkenaan kanser perut:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.