Kaedah Mencegah Kehamilan Menggunakan Span, Diafram dan Bahan Pembunuh Sperma

Untuk meningkatkan lagi keberkesanan, bahan pembunuh sperma perlu digunakan bersama-sama dengan kaedah merancang kehamilan yang lain.

Kaedah-kaedah pencegah kehamilan merupakan satu keperluan penting bagi merancang saiz dan masa yang tepat untuk mendapatkan anak. Ini adalah penting terutama bagi mereka yang baru bersalin atau mempunyai masalah kesihatan untuk mengelak dari mengandung. Antara cara mencegah kehamilan adalah dengan menggunakan alat span, diafram dan juga bahan pembunuh sperma.

Kaedah Span

Span boleh dimasukkan beberapa jam sebelum melakukan hubungan seks dan boleh dibiarkan selama 12 jam selepas melakukan seks. Wanita yang mempunyai alahan terhadap nonoksil-9 tidak boleh menggunakan kaedah span ini.

Selepas 12 jam, span ini perlu dikeluarkan dengan pertolongan tali yang terdapat pada span itu. Wanita yang menggunakan span boleh mengeluarkan span itu secara bersendirian tanpa pergi berjumpa dengan doktor.

Alat span pencegah kehamilan

Penggunaan kaedah span ini tidak mampu menghalang daripada jangkitan penyakit kelamin. Penggunaan kaedah span ini hanyalah bertujuan untuk merancang kehamilan semata-mata.

Kaedah Diafram

Salah satu cara mencegah kehamilan adalah dengan penggunaan diafram. Diafram merupakan satu bekas berbentuk separuh bulatan yang diperbuat daripada getah.

Diafram digunakan dengan diletakkan pada pintu rahim dan bertindak untuk menghalang sperma daripada memasuki uterus. Sebagai langkah tambahan, bahan pembunuh sperma turut digunakan bersama untuk meningkatkan lagi keberkesanannya.

Doktor perlu memeriksa saiz pelvik untuk menentukan saiz diafram. Terdapat pelbagai saiz diafram untuk disesuaikan dengan wanita tersebut dan diafram boleh dibiarkan selama enam jam.

Alat diafram untuk mencegah kehamilan

Diafram boleh dipasang oleh pengguna sebelum melakukan hubungan kelamin. Diafram tidak boleh ditinggalkan di dalam faraj lebih daripada 24 jam selepas digunakan kerana dikhuatiri boleh mendapat Sindrom Kejutan Toksik (Toxic Shock Syndrome).

Selepas dikeluarkan, diafram perlu dicuci dengan teliti dengan menggunakan sabun dan air untuk memastikan kebersihannya. Selepas dicuci, diafram boleh digunakan semula.

Penggunaan diafram semata-mata tidak bergitu berkesan, tetapi penggunaan diafram dengan bahan pembunuh sperma mampu meningkatkan lagi keberkesanannya. Dianggarkan sebanyak 6 peratus kehamilan akan berlaku jika diafram digunakan dengan betul dan konsisten.

Penggunaan diafram tidak mampu menghalang daripada jangkitan penyakit kelamin. Penggunaan diafram hanyalah bertujuan untuk merancang kehamilan semata-mata.

Bahan Pembunuh Sperma

Salah satu cara mencegah kehamilan adalah dengan penggunaan bahan pembunuh sperma (spermicidal). Bahan pembunuh sperma merupakan satu bahan yang bertindak untuk membunuh atau melemahkan sperma yang dibebaskan sebelum sperma itu memasuki pintu rahim.

Bahan pembunuh sperma boleh digunakan secara bersendirian atau bersama-sama dengan cara merancang kehamilan yang lain. Penggunaan bahan pembunuh sperma amat mudah dan cepat.

Bahan pembunuh sperma terdapat di dalam pelbagai bentuk seperti sabun faraj, krim, gel, dan semburan aerosol. Bahan pembunuh sperma perlu digunakan pada faraj sebelum melakukan hubungan kelamin.

Bahan pembunuh sperma terdapat dalam pelbagai bentuk

Penggunaan bahan pembunuh sperma semata-mata tidak bergitu berkesan. Dianggarkan sebanyak 30  peratus kehamilan akan berlaku jika bahan pembunuh sperma digunakan dengan betul dan berterusan. Untuk meningkatkan lagi keberkesanan, ia digunakan bersama-sama dengan kaedah merancang kehamilan yang lain seperti diafram atau kondom.

Penggunaan bahan pembunuh sperma tidak mampu menghalang daripada jangkitan penyakit kelamin. Penggunaan bahan pembunuh sperma hanyalah bertujuan untuk merancang kehamilan semata-mata.

Bagi wanita yang tidak sesuai menggunakan span, diafram dan bahan pembunuh sperma masih terdapat cara-cara lain bagi mengelakkan kehamilan yang tidak dirancang. Anda perlu berbincang dengan doktor  agar dapat memastikan kaedah yang digunakan bersesuaian dengan diri anda.

Print Friendly, PDF & Email
Staf Editorial
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.