Gatal Kulit – Punca, Tanda dan Rawatan

Gatal kulit tidak hanya disebabkan penyakit kulit tetapi juga penyakit yang lain seperti kegagalan buah pinggang dan kerosakan hati, jom ketahui lebih lanjut.

Gatal kulit dalam perubatan dikenali sebagai pruritus. Pada sesetengah orang, ianya merupakan masalah yang berpanjangan. Kadangkala agak sukar untuk mengenalpasti kenapa kulit menjadi gatal.

Gatal kulit boleh disebabkan oleh ruam atau penyakit kulit yang lain. Ianya juga boleh menjadi gejala kepada penyakit yang lebih berbahaya seperti penyakit hati dan kegagalan buah pinggang. Bagi melegakan gatal, adalah penting untuk mengenalpasti dan merawat puncanya.

Punca

Kulit memainkan peranan penting sebagai penghadang bagi melindungi bahagian dalaman badan. Kulit juga mempunyai sel khas daripada sistem imun badan untuk melindungi tubuh manusia dari serangan virus, bakteria dan ancaman-ancaman lain.

Apabila sel kulit mengesan bahan-bahan yang berbahaya pada badan, ianya akan mencetuskan reaksi tertentu yang menyebabkan keradangan pada kulit. Reaksi keradangan ini boleh menyebabkan ruam atau dermatitis dan juga kegatalan.

Sel imun badan boleh bertindakbalas terhadap sesuatu yang menyentuh kulit, jangkitan dan juga penyakit. Sesetengah ruam menyebabkan kulit menjadi merah, sakit dan gatal dan ada juga yang menyebabkan kulit melepuh atau bertompok.

Kegatalan kulit merupakan antara gejala utama masalah kulit. Gatal kulit boleh berlaku pada keseluruhan badan atau kawasan tertentu sahaja.

Berikut merupakan antara punca kegatalan kulit:

Kulit kering

Kulit kering merupakan salah satu punca utama kulit gatal. Jika anda tidak melihat sebarang perubahan pada kulit seperti kemerahan atau ruam, kulit kering mungkin menjadi punca kegatalan tersebut.

Faktor persekitaran yang menyebabkan kulit menjadi kering termasuklah cuaca yang terlampau sejut atau panas dengan kelembapan rendah. Mandi terlalu lama juga boleh menyebabkan kulit menjadi kering. Ianya boleh melibatkan semua peringkat umur, namun apabila seseorang menjadi semakin tua, kulit akan menjadi semakin nipis dan kering.

Pelembap kulit dapat membantu memulihkan kulit kering. Selain itu kulit yang terlalu kering juga boleh menjadi salah satu tanda penyakit dermatitis, yang memerlukan anda mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari pakar dematologi bagi mendapatkan kelegaan dan mengelakkannya menjadi lebih teruk.

Antara tanda dan gejala kulit kering termasuklah:

  • kulit kasar, berkuping atau menggelupas
  • kegatalan melampau
  • kulit berwarna kelabu
  • rekahan pada kulit yang boleh berdarah
  • kulit bertompok atau bibir menggelupas

Adalah penting untuk merawat kulit kering kerana kulit yang menggelupas boleh menyebabkan kuman mudah memasuki badan lalu menyebabkan jangkitan. Kemerahan dan sakit pada kulit selalunya merupakan tanda-tanda awal jangkitan.

Pakar kulit boleh memberikan pelembap khas untuk dipakai sepanjang hari atau ubat jenis sapu jika kulit kering dengan teruk.

Ekzema

Ekzema atau dermatitis atopik merupakan punca utama ruam kulit pada kanak-kanak.

Menurut kajian, ekzema memberi kesan kepada 10 ke 20 peratus kenak-kanak dan hanya 1 ke 3 peratus orang dewasa.

Puncanya dikaitkan dengan lapisan kulit yang mudah dicerobohi. Ini menyebabkan kawasan tersebut menjadi kering dan berisiko mendapat iritasi serta keradangan. Oleh itu adalah penting untuk memastikan kulit sentiasa dalam keadaan lembap.

Ekzema selalunya akan berkurang dengan umur. Mereka yang mengalami ekzema perlu berhati-hati kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat jangkitan kuman.

Alahan

Iritasi dan reaksi alahan juga boleh menyebabkan gatal kulit. Alahan dermatitis sentuhan berlaku apabila kulit menyentuh bahan pencetus alahan (alergen) secara terus.

Ini akan menyebabkan kulit menjadi merah, dan ruam gatal termasuk lepuh boleh terbentuk. Ruam ini akan muncul sebaik sahaja kulit bersentuhan dengan alergen, iaitu bahan yang cuba diserang oleh sistem pertahanan badan. Selalunya, terdapat sela masa diantara pendedahan kepada alergen dan kemunculan ruam.

Menyentuh pakaian, binatang, bahan kimia, sabun dan sesetengah tumbuhan atau kosmetik boleh mencetuskan reaksi alahan pada sesetengah orang. Alahan makanan juga boleh menyebabkan kegatalan kulit.

Alahan kepada nikel juga boleh berlaku. Apabila seseorang itu menyentuh bahan kemas yang mengandungi nikel, ruam merah, bengkak dan gatal kulit akan berlaku pada kawasan yang bersentuhan itu.

Untuk mereka yang mengalami alahan kepada apa-apa sahaja bahan, langkah terbaik adalah untuk mengelakkan produk atau bahan tersebut. Penggunaan beberapa jenis krim boleh membantu mengurangkan gatal serta ruam.

Gegata

Gegata merupakan sejenis keradangan kulit yang disebabkan pelepasan sejenis bahan kimia dalam badan yang dikenali sebagai histamin. Bahan ini akan menyebabkan kebocoran saluran darah lalu kulit akan membengkak.

Terdapat dua jenis gegata:

  • Gegata akut. Gegata akut selalunya berlaku apabila terdapat pencetus alahan, seperti sesetengah makanan dan ubat. Terdapat juga punca bukan alahan seperti cuaca yang terlampau sejuk atau panas, pendedahan kepada cahaya matahari, atau senaman yang boleh menjadi pencetus.
  • Gegata kronik. Pencetus spesifik tidak akan menyebabkan gegata jenis ini, jadi ujian alahan tidak sesuai dijalankan. Gegata kronik boleh berlaku selama beberapa bulan atau tahun. Gegata akan menyebabkan kegatalan, ketidakselesaan dan kesakitan tetapi tidak berjangkit.

Menurut kajian, lebih kurang 20% populasi dunia akan mengalami gegata sepanjang hidup.

Gigitan serangga

Gigitan serangga selalunya akan menyebabkan keradangan pada kulit serta kegatalan. Gigitan nyamuk dan labah-labah boleh menyebabkan bekas yang dikelilingi tompokan merah pada kulit. Bekas gigitan ini selalunya akan hilang dalam masa 7 ke 14 hari.

Gigitan daripada hama katil dan anai-anai boleh menghasilkan ruam yang lebih besar serta kegatalan di seluruh badan. Jika anda mengesyaki terdapat pencerobohan serangga, anda perlu mencuci atau menukar kesemua perabot yang terlibat. Kesemua fabrik perlu dicuci pada suhu 60ºC.

Dapatkan bantuan kawalan serangga profesional bagi mengatasi masalah ini.

Psikologikal

Seseorang boleh mengalami perasaan gatal tanpa sebarang punca fizikal. Sesetengah penyakit mental boleh menyebabkan penghidapnya terasa seperti sesuatu sedang merayap pada kulit lalu menyebabkan mereka menggarunya. Garuan yang berlebihan boleh merosakkan kulit.

Perbuatan menggaru secara psikologikal ini mungkin boleh disebabkan oleh:

Punca lain

Kegatalan juga boleh dikaitkan dengan parasit seperti cacing pita, serangga seperti hama katil, nyamuk atau kutu. Jangkitan kulat seperti kaki atlet juga boleh menyebabkan kegatalan di celah-celah jari kaki.

Gatal kulit juga boleh disebabkan penyakit yang lebih berbahaya. Kerosakan saraf yang disebabkan kencing manis, saraf tersepit dan kayap juga menyebabkan kegatalan teruk.

Selain itu masalah buah pinggang kronik juga boleh menyebabkan gatal kulit yang dikenali sebagai uremic pruritus. Uremia merupakan sekumpulan gejala yang berlaku apabila buah pinggang telah rosak teruk dan tidak boleh menapis toksin keluar daripada badan.

Gatal kulit disebabkan uremia selalunya lebih teruk pada waktu malam dan lebih melibatkan kawasan belakang badan, lengan serta abdomen.

Rawatan di rumah

Langkah berikut boleh membantu mengurangkan kegatalan di rumah:

  • Menggunakan krim pelembap yang berkualiti dan dipakai sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sehari.
  • Menyapu krim anti-kegatalan, seperti krim hydrokortison pada kawasan yang gatal, krim ini boleh didapati dari farmasi.
  • Menyapu kawasa gatal dengan kain yang sejuk dan lembap.
  • Mandi atau berendam dalam air yang suam.
  • Memilih sabun yang berkualiti tanpa pewarna atau bau yang berlebihan. Selain itu gunakan juga pencuci baju yang kurang berbau. Terdapat juga produk khas untuk kulit sensitif di pasaran pada masa kini.
  • Elakkan bahan yang boleh memberikan iritasi pada kulit atau menyebabkan reaksi alahan seperti nikel, barang kemas dan bulu binatang.

Selain itu seboleh-bolehnya elakkan dari menggaru kulit. Perbuatan menggaru boleh menyebabkan keradangan dan kerosakan kulit menjadi lebih teruk, seterusnya menerukkan lagi gejala gatal.

Jika langkah-langkah di atas tidak berkesan, ruam serta gatal menjadi semakin teruk atau terdapat gejala lain selain gatal, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera bagi mencari puncanya seterusnya mendapatkan rawatan yang tepat.

Rawatan perubatan

Rawatan perubatan adalah bergantung kepada punca kegatalan kulit. Mereka yang mengalami kulit kering memerlukan pelembap yang bagus.

Ekzema, dermatitis, atau gegata: Masalah ini mungkin memerlukan krim kortikosteroid yang diberikan oleh doktor. Ianya boleh disapu terus pada kulit bagi mengurangkan kegatalan. Sapuan ubat penghalang kalsineurin dan ubat antihistamin secara oral juga boleh membantu melegakan kegatalan.

Alahan: Ubat antihistamin secara oral boleh diberikan. Antara contohnya adalah seperti Zyrtec, Claritin dan Benadryl.

Jangkitan kulat: Cacing cincin, kaki atlet, dan jangkitan kulat yang lain boleh dirawat dengan ubat anti-kulat. Ubat sapu termasuklah krim dan juga syampu. Untuk jangkitan yang teruk, doktor boleh memberikan ubat secara oral. Ubat Terbinafine atau Lamisil selalunya digunakan.

Gigitan serangga: Ubat antihistamin jenis sapu boleh melegakan kegatalan. Bagi mencegah gigitan serangga, gunakan semburan penghalau serangga, gunakan alat pembunuh serangga atau pastikan badan sentiasa ditutup dengan pakaian.

Bagi penghidap penyakit psoriasis atau kegagalan buah pinggang, rawatan alternatif boleh diberikan jika rawatan menggunakan ubat perlu dielakkan. Terapi cahaya atau fototerapi merupakan salah satu rawatan tersebut. Ianya melibatkan pendedahan kulit kepada gelombang cahaya ultraviolet tertentu bagi membantu mengurangkan kegatalan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.