Demam Tifoid (Kepialu) – Rawatan dan Pencegahan

Antibiotik merupakan satu-satunya rawatan berkesan untuk demam tifoid dan masalah kerintangan antibiotik menyebabkan penyakit ini lebih sukar dirawat.

Diagnosis

Sejarah perubatan dan perjalanan

Doktor akan menyesyaki demam tifoid berdasarkan simptom dan juga sejarah perubatan dan perjalanan anda. Tetapi diagnosis akan disahkan dengan mengambil darah untuk ujian kultur bagi melihat kehadiran bakteria Salmonella typhi. Selain darah, tisu atau cecair badan juga boleh digunakan untuk ujian.

Sampel tisu atau cecair badan untuk kultur

Untuk ujian kultur, sampel darah, najis, air kencing atau tulang sum-sum akan diletakkan pada medium yang menggalakkan pertumbuhan bakteria. Kultur ini akan diperhatikan di bawah mikroskop untuk melihat kehadiran bakteria tifoid. Sampel tulang sum-sum merupakan ujian paling sensitif untuk mengesan kehadiran Salmonella typhi tetapi jarang dilakukan.

Walaupun ujian kultur merupakan ujian pengesahan utama, namun kadangkala ujian lain masih diperlukan untuk mengesahkan jangkitan demam tifoid seperti mengesan kehadiran antibodi kepada bakteria tifoid dalam darah ataupun ujian untuk mengesan DNA tifoid.

Rawatan

Antibiotik merupakan satu-satunya rawatan berkesan untuk demam tifoid.

Antibiotik yang selalu diberikan

Antibiotik yang selalu diberikan termasuklah:

  • Ciprofloxacin. Ianya selalu diberikan untuk pesakit yang tidak mengandung. Ubat dalam kumpulan yang sama dipanggil ofloxacin juga boleh diberikan. Namun terdapat beberapa strain Salmonella typhi yang telah kebal terhadap ubat ini
  • Azithromycin. Boleh digunakan jika tidak sesuai untuk ciprofloxacin ataupun bakteria telah kebal kepada ciprofloxacin.
  • Ceftriaxone. Ubat ini diberi secara suntikan dan merupakan alternatif kepada jangkitan yang lebih serius ataupun pesakit yang tidak sesuai kepada ciprofloxacin seperti kanak-kanak.

Ubat antibiotik ini boleh menyebabkan kesan sampingan dan penggunaan jangka panjang boleh menyebabkan kerintangan bakteria kepada antibiotik ini.

Masalah kerintangan antibiotik

Pada masa lalu, ubat antibiotik pilihan adalah chloramphenicol. Tetapi doktor telah jarang menggunakannya kerana kesan sampingan dan kadar jangkitan semula yang tinggi disebabkan kerintangan bakteria.

Masalah kerintangan bakteria terhadap antibiotik merupakan masalah serius terutamanya di negara membangun sehingga terdapat strain bakteria yang kebal kepada antibiotik yang lebih kuat seperti trimethoprim-sulfamethoxazole, ampicillin dan ciprofloxacin.

Oleh itu amat penting untuk menghabiskan ubat antibiotik yang diberikan walaupun simptom telah hilang.

Rawatan lain

Antara rawatan lain yang boleh diberikan termasuk:

  • Minum air yang cukup. Untuk mengelakkan dehidrasi disebabkan demam berterusan dan cirit-birit. Jika anda mengalami kekurangan air (dehidrasi), air mungkin akan dimasukkan melalui salur darah vena.
  • Pembedahan. Jika mengalami komplikasi kebocoran usus, pembedahan segera diperlukan untuk memulihkannya.

Pencegahan

Di negara-negara mundur, kemudahan asas untuk mencegah dan mengawal penularan demam tifoid seperti air minuman bersih, sistem kumbahan teratur, kebersihan persekitaran dan sistem perubatan asas yang lengkap mungkin sukar dicapai. Oleh itu, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan memberikan vaksin kepada golongan yang berisiko tinggi.

Vaksin juga digalakkan untuk diambil bagi mereka yang ingin mengembara ke negara-negara yang banyak kes demam tifoid.

Vaksin tifoid

Terdapat dua jenis vaksin yang boleh diambil:

  • Vaksin jenis suntikan yang diambil seminggu sebelum perjalanan
  • Vaksin dalam bentuk kapsul diambil sebanyak empat kali selang sehari

Kedua-dua vaksin ini tidaklah 100 peratus berkesan dan mungkin perlu diambil semula kerana semakin lama kesannya akan semakin berkurang.

Disebabkan vaksin tidak dapat memberikan perlindungan yang lengkap, langkah berikut perlu diambil ketika melawat kawasan yang tinggi kes demam tifoid:

  • Kerap mencuci tangan. Cuci tangan menggunakan sabun dan air suam untuk kesan terbaik. Basuh sebelum makan, semasa menyediakan makanan dan selepas menggunakan tandas. Boleh juga menggunakan sanitizer berasaskan alkohol jika tiada air bersih.
  • Elakkan meminum air yang tidak dirawat. Air yang tercemar selalunya menjadi masalah utama di kawasan yang tinggi kes demam tifoid. Hanya minum air dalam botol yang telah dirawat. Jangan campurkan air tersebut dengan ais kerana ais juga mungkin boleh tercemar. Gunakan air botol untuk memberus gigi dan jangan menelan air ketika mandi.
  • Elakkan buah dan sayur yang tidak dimasak. Kerana ianya mungkin dibasuh menggunakan air tercemar. Elakkan buah-buahan dan sayur yang tidak dikupas.
  • Pilih makanan panas. Elakkan makanan yang telah disimpan atau telah dimasak lama dan sejuk. Makanan panas yang baru dimasak adalah yang terbaik. Elakkan juga makanan dari peniaga jalanan kerana lebih terdedah kepada pencemaran bakteria.

Cara untuk mencegah dari menjangkiti orang lain

Jika anda dijangkiti demam tifoid dan sedang menjalani rawatan, tips berikut boleh mengelakkan anda menjangkiti orang lain:

  • Habiskan ubat antibiotik. Ikut arahan doktor dan ahli farmasi berkenaan pengambilan antibiotik.
  • Selalu mencuci tangan. Ianya amat penting dalam membendung jangkitan tifoid. Gunakan sabun dengan air suam dan basuh sekurang-kurangnya selama 30 saat sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.
  • Jangan mengendalikan makanan. Elakkan dari memasak atau menyediakan makanan dan dapatkan nasihat doktor bila anda boleh melakukannya semula. Jika anda bekerja dalam industri makanan, anda tidak boleh kembali bekerja sehingga dibuktikan anda bebas dari bakteria tifoid sepenuhnya.

Bacaan lanjut berkenaan demam tifoid:

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.