Cirit-birit – Punca, Rawatan dan Pencegahan

Cirit-birit selalunya berlaku selama beberapa hari dan akan sembuh tanpa sebarang rawatan namun terdapat juga komplikasi yang lebih berbahaya.

Cirit-birit bermaksud najis yang cair, berair ataupun jika seseorang itu perlu membuang air besar dengan kerap. Cirit-birit merupakan satu gejala yang selalunya berlaku selama beberapa hari dan akan sembuh tanpa sebarang rawatan. Cirit-birit juga boleh menjadi gejala yang akut atau kronik.

Cirit-birit akut bermaksud gejala yang berlaku selama satu atau dua hari sahaja. Ia selalunya terjadi disebabkan jangkitan virus ataupun bakteria. Kadangkala ianya juga boleh disebabkan oleh keracunan makanan.

Terdapat juga keadaan yang dipanggil sebagai cirit-birit pengembara, yang berlaku apabila seseorang itu mengalami cirit-birit setelah terdedah kepada jangkitan bakteria atau parasit ketika sedang melancong ke kawasan-kawasan yang kotor. Ianya juga merupakan cirit-birit jenis akut.

Cirit-birit kronik pula bermaksud gejala cirit-birit yang berlaku sekurang-kurangnya selama empat minggu. Cirit-birit kronik berpunca daripada penyakit pada saluran pencernaan atau usus, seperti penyakit celiac atau penyakit Crohn.

Punca-punca cirit-birit

Cirit-birit boleh disebabkan banyak punca atau penyakit, antaranya adalah:

  • Tidak tahan kepada sesetengah makanan seperti intoleransi laktosa
  • Alahan makanan
  • Kesan sampingan ubat
  • Jangkitan virus
  • Jangkitan bakteria
  • Penyakit saluran pencernaan
  • Jangkitan parasit
  • Pembedahan perut atau hempedu

Rotavirus merupakan punca utama cirit-birit pada kanak-kanak. Jangkitan bakteria seperti salmonella atau E.coli juga sering berlaku.

Untuk cirit-birit kronik pula, ianya sering disebabkan penyakit yang lebih berbahaya seperti penyakit keradangan usus atau irritable bowel disease (IBS). Cirit-birit yang kerap dan teruk juga merupakan antara gejala penyakit usus atau kerosakan usus yang lain.

Tanda-tanda dan gejala lain

Selain cirit-birit, seseorang juga mungkin akan mengalami gejala-gejala yang lain bergantung kepada puncanya. Selalunya cirit-birit juga akan bersekali dengan gejala-gejala seperti berikut:

  • Mual
  • Sakit abdomen
  • Kekejangan abdomen
  • Perut kembung
  • Kurang air
  • Demam
  • Najis berdarah
  • Kerap membuang air besar
  • Najis dalam jumlah yang banyak

Sila beritahu doktor anda jika anda mengalami gejala-gejala seperti di atas.

Kekurangan air dan cirit-birit

Cirit-birit boleh menyebabkan kehilangan air dalam jumlah yang banyak pada masa yang singkat dan boleh menyebabkan sindrom kekurangan air atau dikenali sebagai dehidrasi. Jika rawatan tidak diberikan dengan segera, ianya boleh membahayakan nyawa. Antara gejala dehidrasi termasuklah:

  • Keletihan
  • Mulut menjadi kering
  • Degupan jantung meningkat
  • Sakit kepala
  • Pitam
  • Dahaga
  • Kencing berkurang

Dapatkan rawatan segera jika anda mengalami gejala-gejala dehidrasi.

Cirit-birit pada bayi dan kanak-kanak

Cirit-birit boleh menjadi suatu masalah yang serius kepada bayi dan kanak-kanak kerana ianya boleh menyebabkan dehidrasi dengan lebih cepat.

Rawatan segera perlu diberikan jika terdapat gejala-gejala seperti berikut:

  • Kurang kencing
  • Mulut kering
  • Sakit kepala
  • Tidak aktif
  • Tiada atau kurang air mata
  • Kulit kering
  • Mata ke dalam
  • Fontanel tenggelam
  • Kuat tidur
  • Senang terganggu
Fontanel yang tenggelam apabila bayi mengalami dehidrasi.

Selain itu dapatkan juga rawatan segera jika berlaku perkara-perkara berikut:

  • Cirit-birit melebihi 24 jam
  • Demam melebihi 39°C
  • Najis berdarah
  • Najis mengandungi nanah
  • Najis berwarna hitam dan melekit

Gejala-gejala tersebut bermaksud rawatan kecemasan perlu diberikan.

Pengesanan punca cirit-birit

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan juga pengambilan sejarah perubatan untuk menentukan punca cirit-birit dan jenisnya. Doktor juga akan melakukan beberapa ujian seperti ujian urin dan ujian darah.

Antara ujian tambahan yang lain boleh dilakukan bagi menentukan punca cirit-birit termasuklah:

  • Ujian puasa bagi melihat jika ianya disebabkan intoleransi atau alahan terhadap makanan.
  • Ujian pengimejan seperti x-ray dan imbasan CT untuk melihat struktur dalaman usus dan jika terdapat keradangan.
  • Kultur najis bagi mengenalpasti jangkitan bakteria atau parasit.
  • Kolonoskopi untuk melihat keseluruhan usus besar.
  • Sigmoidoskopi bagi melihat bahagian rektum dan hujung usus besar.

Ujian kolonoskopi dan sigmoidoskopi selalunya dilakukan untuk mencari punca cirit-birit kronik atau cirit-birit yang sangat teruk.

Rawatan cirit-birit

Rawatan utama cirit-birit melibatkan penggantian semula cecair badan yang hilang. Ianya semudah meminum banyak air atau menggantikan semula elektrolit dengan minuman tertentu seperti minuman sukan atau air garam ORS (Oral Rehydration Salt).

Jika seseorang itu tidak mampu minum atau mengalami dehidrasi yang teruk, cecair akan dimasukkan terus ke dalam salur darah melalui jarum intravena. Jika doktor mengesyaki cirit-birit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, antibiotik akan diberikan.

Rawatan-rawatan yang akan diberikan adalah berdasarkan kepada perkara berikut:

  • Tahap keterukan cirit-birit
  • Kekerapan cirit-birit
  • Tahap dehidrasi
  • Tahap kesihatan pesakit
  • Sejarah kesihatan pesakit
  • Umur pesakit
  • Kebolehan untuk meminum air atau tidak
  • Berapa cepat pemulihan diperlukan

Pencegahan cirit-birit

Walaupun sukar dicegah, namun langkah-langkah berikut boleh membantu mengurangkan risiko mendapat cirit-birit:

  • Mengelakkan keracunan makanan dengan membasuh dan memasak makanan terlebih dahulu.
  • Makanan terus dimakan apabila siap dimasak.
  • Baki makanan disimpan dengan betul mengikut jenisnya.
  • Jangan simpan makanan terlalu lama walaupun di dalam peti sejuk.

Elakkan cirit-birit ketika melancong

Cirit-birit pengembara boleh dicegah dengan melakukan perkara-perkara berikut ketika anda melancong ke kawasan yang kurang bersih:

  • Dapatkan bekalan antibiotik daripada doktor sebelum melancong.
  • Elakkan meminum air paip, air batu atau makanan yang dibasuh dengan air paip.
  • Minum minuman dalam botol yang sudah diproses sahaja.
  • Makan makanan yang dimasak sahaja di tempat yang bersih.

Elakkan penyebaran jangkitan virus dan bakteria

Jika anda sedang mengalami cirit-birit akibat jangkitan bakteria atau virus, anda boleh mengelakkanya dari menjangkiti orang lain dengan kerap membasuh tangan. Sila gunakan sabun dan basuh tangan sekurang-kurangnya selama 20 saat. Boleh juga gunakan sanitizer jika tiada sabun pencuci tangan.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.