Bahaya Hydroquinone Dalam Produk Kosmetik

Hydroquinone adalah sejenis bahan penghakis yang boleh memutihkan kulit dan sering dicampur palsu dalam produk-produk kosmetik tanpa kelulusan.

Hydroquinone merupakan agen pemutih kulit. Ianya boleh membantu menghilangkan masalah hiperpigmentasi dan digunakan dalam rawatan beberapa masalah kulit atas nasihat doktor.

Cara bertindak

Hydroquinone boleh memutihkan kulit dengan mengurangkan jumlah melanosit. Melanosit merupakan sel yang menghasilkan melanin yang memberikan warna gelap kepada kulit.

Hiperpigmentasi berlaku apabila lebih banyak melanin dihasilkan oleh kulit melalui sel melanosit tadi. Dengan mengawal jumlah melanosit, warna kulit boleh diseimbangkan dan lama-kelamaan akan menjadi lebih putih.

Selalunya hydroquinone akan memberikan kesan dalam masa 4 minggu sehingga beberapa bulan pengambilan.

Ubat ini selamat jika diberikan dengan pengawasan doktor kerana pemantauan rapi akan dijalankan ke atas kulit dan organ-organ badan yang lain. Namun pengambilan sendiri secara berlebihan boleh memberikan kesan buruk kepada badan anda.

Hydroquinone dan kegunaannya

Hydroquinone adalah sejenis bahan penghakis yang mempunyai struktur kimia C6 H6 O2. Nama kimianya ialah 1,4 dihydroxybenzene. Hydroquinone sering dicampur palsu dalam produk-produk kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hydroquinone yang diletakkan pada kulit anda menyebabkan terjadi proses nyah-pigmentasi (iaitu proses di mana pigmen dibuang dan ini menyebabkan kulit menjadi lebih cerah). Ini berlaku kerana hydroquinone menghalang proses penukaran tyrosine kepada dopa dan menghalang proses-proses metabolisma yang berkaitan dengan melanosit. Proses de-pigmentasi ini adalah proses yang berbalik (iaitu keadaan asal boleh didapati semula setelah penggunaan hydroquinone diberhentikan).

Oleh itu ianya digunakan untuk keadaan-keadaan tertentu seperti kloasma, melasma, freckles, senile lentigines, dan hiperpigmentasi melanin.

Ia boleh memasuki badan anda melalui sistem pernafasan, melalui kulit dan mulut (contohnya tertelan). Kandungan bahan ini didapati tinggi di bahagian hati dan buah pinggang.

Siapa yang tidak boleh menggunakannya

Berikut adalah individu yang sangat berisiko jika menggunakan hydroquinone:

  • Orang yang alahan pada produk ini 
  • Mengandung dan menyusukan bayi 
  • Budak berusia kurang 12 tahun 

Kesan-kesan sampingan

Berikut disenaraikan kesan sampingan akibat penggunaan hydroquinone:

  • Rasa sakit pada kulit (menyengat) kerana ia menghakis kulit.
  • Kajian menunjukkan ia boleh menyebabkan kerosakan teruk pada mata (buta) sekiranya terdedah kepada bahan ini.
  • Kulit menjadi kering.
  • Batuk dan susah bernafas (sekiranya tersedut).
  • Sekiranya termakan kulit boleh menjadi biru, rasa pening kepala, sakit kepala, berpeluh, rasa dahaga, cirit-birit, sakit perut, sukar bernafas, muntah, tinnitus (bunyi di dalam telinga) dan sebagainya. Boleh menyebabkan respiratory failure (tidak boleh bernafas).
  • Kulit menjadi sensitif, contohnya pada cahaya.
  • Erythema (kulit menjadi merah kerana saluran darah di bahagian yang kena hydroquinone mengembang).
  • Ada bukti yang menyatakan bahawa bahan ini boleh menyebabkan kanser.
  • Penggunaan secara kerap atau untuk jangkamasa yang lama menyebabkan lebih banyak kesan sampingan seperti dermatitis dan lain-lain. Ia juga mungkin menyebabkan masalah genetik (keturunan).

Kesimpulan

Masalah hiperpigmentasi bukanlah suatu penyakit dan selalunya tidak memerlukan rawatan. Walaupun hydroquinone boleh membantu memutihkan kulit, ianya tidak sesuai untuk semua orang dan tidak boleh diambil secara sebarangan kerana mempunyai banyak kesan sampingan.

Sila berjumpa dengan pakar kulit atau doktor estetik bagi mmendapatkan kulit yang cerah atau menghilangkan masalah hiperpigmentasi secara selamat.

Doktor juga boleh mencadangkan banyak rawatan atau ubat lain yang kurang kesan sampingan dan lebih selamat.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.