Bahaya Daun Ketum atau Daun Biak

Beberapa kematian pernah direkodkan akibat ketagihan ketum, tetapi selalunya kematian ini disebabkan pengambilan ketum bersama dadah yang lain.

Pokok ketum merupakan sejenis tumbuhan tropika (Mitragyna speciosa) yang tumbuh di kawasan Asia Tenggara. Ianya juga dikenali sebagai pokok biak di negeri-negeri sebelah utara. Daunnya mengandungi mitragynine iaitu sejenis bahan psikotropik yang boleh merubah fungsi otak.

Daun ketum dikawal mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952 iaitu adalah satu kesalahan bagi aktiviti pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan psikotropik yang tersebut.

Cara digunakan

Daun ketum boleh dikunyah atau direbus bagi menghasilkan air ketum. Selain itu terdapat juga pengguna yang memasak daun ketum untuk dimakan. Pada masa kini, ketum juga boleh dijadikan sebagai pil, kapsul atau ekstrak.

Air rebusan ketum.

Kesan ketum kepada otak

Ketum boleh memberikan kesan yang serupa seperti dadah jenis opiat dan stimulan. Terdapat dua bahan aktif di dalam katum iaitu mitragynine dan 7-α-hydroxymitragynine yang bertindakbalas dengan reseptor opioid pada otak untuk menghasilkan kesan mengantuk, euforia dan mengurangkan kesakitan pada dos yang tinggi.

Mitragynine juga berinteraksi dengan reseptor yang lain pada otak untuk menghasilkan kesan stimulan. Apabila ketum diambil pada dos yang kecil, penggunanya akan mengalami peningkatan tenaga, mudah bersosial dan merasa lebih segar. Walaubagaimanapun ketum juga boleh menyebabkan banyak kesan sampingan berbahaya.

Kesan sampingan daun ketum

Antara masalah kesihatan yang boleh berlaku disebabkan penggunaan ketum adalah:

  • Mual
  • Gatal
  • Berpeluh
  • Mulut kering
  • Sembelit
  • Kencing meningkat
  • Hilang selera makan
  • Sawan
  • Halusinasi
  • Tanda kehitaman pada kulit muka dan bibir

Terdapat juga sesetengah pengguna yang mengalami gejala psikosis.

Kesan overdos

Terdapat beberapa kematian pernah direkodkan di seluruh dunia akibat pengambilan ketum, tetapi selalunya kematian ini disebabkan pengambilan ketum bersama dadah-dadah yang lain. Kajian pada tahun 2019 di Amerika Syarikat* menunjukkan 9 dari 11 kematian akibat penggunaan ketum adalah yang dicampur dengan dadah yang lain seperti diphenhydramin (sejenis antihistamin), alkohol, kafein, benzodiazepin, fentanyl, dan kokain. 2 kematian lagi disebabkan penggunaan ketum sahaja.

*(Post et al, 2019. Clinical Toxicology).

Ketagihan ketum

Seperti dadah yang lain, ketum juga boleh menyebabkan ketagihan di mana penagih ketum akan mengalami gejala tarikan apabila pengambilan ketum dihentikan. Terdapat banyak kes penagihan ketum di Malaysia terutamanya yang dicampur dengan dadah-dadah yang lain.

Gejala tarikan

Antara gejala tarikan yang boleh berlaku akibat penagihan ketum termasuklah:

  • Sakit badan
  • Sukar tidur (insomnia)
  • Senang terganggu
  • Menjadi agresif
  • Perubahan emosi
  • Hidung berhingus
  • Pergerakan badan tidak terkawal atau sentakan

Rawatan penagihan ketum

Tidak terdapat rawatan penagihan secara spesifik untuk ketagihan ketum. Namun sesetengah penagih mendapati terapi perubahan tingkahlaku memberikan kesan positif. Namun kajian lanjut masih sedang dijalankan.

Kegunaan ketum dalam perubatan

Daun ketum selalu digunakan dalam rawatan tradisional atau alternatif. Antara kegunaanya adalah untuk meningkatkan tenaga, merawat cirit-birit, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain lagi. Namun masih belum ada bukti kukuh daun ketum boleh merawat penyakit-penyakit ini dan kajian lanjut masih lagi dijalankan. Belum ada ubat berasaskan ketum yang digunakan dalam perubatan moden.

Terdapat juga mereka yang menggunakan ketum bagi mengurangkan ketagihan opioid atau substans yang lain seperti alkohol. Namun belum ada kajian yang menunjukkan ianya berkesan.

Fakta ringkas ketum

  • Ketum merupakan tumbuhan tropika yang banyak tumbuh di Asia Tenggara dan mempunyai kesan psikotropik.
  • Ketum dikawal di bawah Akta Racun 1952 bagi aktiviti pengimportan, pengeksportan, pengilangan, penjualan dan pemilikan.
  • Ketum selalunya diambil dalam bentuk rebusan, namun boleh juga dimakan dan dimasak. Kini ketum terdapat dalam bentuk pil, kapsul dan ekstrak.
  • Bahan aktif dalam ketum iaitu mitragynine boleh berinteraksi dengan reseptor dalam otak untuk memberikan kesan stimulan dan opiat.
  • Antara kesan sampingan ketum adalah mual, berpeluh, sawan, dan gejala psikotik.
  • Ketum boleh menyebabkan penagihan dan akan menyebabkan gejala tarikan jika pengambilan dihentikan.
  • Rawatan penagihan ketum melibatkan terapi tingkahlaku kognitif.

Print Friendly, PDF & Email
Langgan Newsletter Kami
Jom dapatkan notifikasi artikel-artikel terbaru kami terus ke email anda!
Laman web ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan am sahaja dan tidak membuat sebarang nasihat perubatan individu. Jika anda mempunyai apa-apa simptom sila berjumpa doktor dengan kadar segera.